Apabila Pengedar Terbesar Novel Cinta Ikut Menjadi Penerbit Novel Cinta
Seorang sahabat yang menerbitkan novel-novel cinta baru-baru ini mengeluh. Katanya, jualan novel-novelnya tidak selaju suatu masa dahulu. Puncanya adalah pengedarnya yang terbesar kini sudah tidak membuat pesanan besar lagi.
Sebelum ini, bagi setiap novel yang diterbitkannya, dalam tempoh 12 bulan pengedar itu memesan paling sedikit antara 10 - 12 ribu naskhah kerana pengedar itu adalah pengedar novel cinta yang paling luas rangakaiannya.
Tetapi sejak 2 tahun yang lalu pengedar itu tidak lagi membuat pesanan besar. Ini menyebabkan jualan novel-novelnya turun hampir 40 peratus, suatu pukulan yang parah.
Apabila pengedar sendiri sudah menerbitkan 10 judul novel cinta, buat apa lagi dia mahu promote novel penerbit lain? Maka dia pun edarkan novel-novelnya sahaja.
Apabila kedai meminta novel-novel terbitan syarikat lain, dia pun berkata, "Itu novel sudah tidak ada. Penerbit sudah tidak print lagi."
Kemudian dia akan berkata lagi, "Novel-novel lain ada. Baru masuk setor. Lebih bagus! Lebih laku! Baru 2 minggu terbit ribu-ribu sudah laku. Awak berapa mahu? No problem. Kita boleh hantar hari ini juga!"
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Kak Ainon,
Sukar untuk ditentukan apakah ini ‘kemajuan’ atau sebenarnya ‘kerakusan’. Tetapi secara peribadi saya memilih yang kedua.
Setahu saya perkara ini tidak hanya dilakukan oleh ‘pengedar terbesar’ itu sahaja. Yang sederhana dan kecil pun dua kali lima. Berebut-rebut menjadi penerbit. Berebut-rebut mengangkut buku terbitan mereka ‘dengan’ kos pengangkutan yang dibiaya oleh penerbit-penerbit lain (baca: penerbit tulen).
Tidak hanya pengedar. Pencetak pun ada juga yang gila hendak menjadi penerbit. Yang bersekongkol dengan pengedar juga ramai. Yang menjadi mangsa: penerbit tulen. Yang mati kering: penulis.
Pengalaman pendek saya dalam dunia penerbitan buku dan majalah menyebabkan saya tidak teragak-agak untuk berkata yang dunia kecil yang dilihat besar ini sebenarnya sangat bercelaru. Maksud saya di Malaysia. Ia bergerak tanpa arah dan tanpa panduan. Sesiapa juga boleh menjadi apa sahaja yang dia mahu. Mudah!
Selama menjadi orang kecil di dunia penerbitan juga saya telah melihat begitu ramai penerbit, bumiputera (baca: Melayu) terutamanya, yang berkubur. Kebanyakannya tanpa nesan. Tetapi dalam tempoh yang sama berapa banyakkah pengedar dan pencetak yang terkubur? Membandingkan saiz kedua-duanya samalah seperti membandingkan bola sepak dengan guli!
Itu sahaja.
Wassalam.
Semoga kita semua dilindungi dari sifat tamak haloba. Amin.
Sedikit pandangan peribadi saya..
Saya rasa saya tahu siapa ‘pengedar novel’ berkenaan kerana beliau juga membekalkan buku-buku serta novel ke kedai saya.Jika kita mengatakan beliau tidak lagi mempromote buku dan novel terbitan lain, ini adalah tidak benar kerana saya masih menerima buku dan novel terbitan ‘orang lain’.
Tuduhan yang mengatakan beliau tamak juga kurang benar kerana setahu saya tuan punya syarikat berkenaan adalah eorang yang ‘humble’ dan tidak bercakap banyak.
Kadang kala ‘perangai’ penerbit-penerbit kecil ini juga seolah-olah “lebih sudu dari kuah”. Pernah sekali saya cuba untuk menempah buku/novel terus dari mereka, tetapi layanan dan servis yang diberikan amat mendukacitakan, membuatkan saya tertanya-tanya pada diri sendiri, “Mereka ni nak bisnes ke tidak?”.
Cukuplah setakat ni. Nak cerita keburukan orang lain banyak sangat pun tak patut juga…
Post a comment