Apa Sebaiknya Dilakukan Apabila Penulis Ditimpakan Musibah Kritikan Pedih
Apabila kita masuk ke dalam kebun ular, tentu ada risiko dipatuk ular. Demikianlah halnya apabila kita memasuki dunia penulisan, baik kreatif mahupun nonkreatif.
Buku-buku kreatif paling terdedah kepada kritikan negatif. Buku-buku sasterawan negara pun teruk dikritik orang, apatah lagi buku-buku penulis yang statusnya tidak setinggi itu.
Antara buku-buku non-kreatif yang paling terdedah kepada kritikan adalah buku-buku yang menjanjikan kebahagiaan, kejayaan dan kekayaan cara mudah dan pantas.
Buku-buku 'quick-fix' seperti itu memberikan gambaran palsu seolah-olah sesiapa sahaja dapat menikmati kebahagiaan, kejayaan dan kekayaan, dengan menelan bulat-bulat apa-apa sahaja yang tertulis dalam buku itu.
Sebagai penulis, apabila buku kita, dan diri kita sendiri sebagai pengarang buku-buku itu, dikritik dengan cara-cara dan kata-kata yang parah, apakah yang paling baik kita lakukan?
Patutkah kita tarik orang yang mengkritik, dan memfitnah kita itu, ke mahkamah? Apakah pro dan kontra langkah membawa pengkritik kita itu ke mahkamah?
Sasterawan Fartimah Busu mengambil langkah menarik ke mahkamah seorang penulis artikel yang menghentam beliau, dan akhbar Utusan Malaysia yang menyiarkannya. Sampai saat ini sudah lebih 10 tahun, kes itu belum sampai ke mana-mana, sedangkan wang yuran peguam sudah dibayar.
Pada pendapat Sifu, kita ikut apa yang Nabi Muhammad (salam dan selawat buat beliau, ahli keluarga beliau dan sabahat-sahabat beliau) lakukan setiap kali beliau difitnah dan dicerca. Beliau diam sahaja seraya mendoakan moga-moga orang yang mencacinya diberi hidayah oleh Tuhan. Beliau tidak menarik pemfitnah dan pencerca beliau ke pengadilan.
Contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad itu diikuti oleh tokoh-tokoh seperti Dato' Seri Nik Aziz, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Dato' Dr. Haron Din, Dato' Dr. Hassan Ali, dan juga Dato' Dr. Fadhilah Kamsah (mereka semua menulis banyak buku) apabila mereka dikritik dengan kritikan yang parah.
Apabila kita ambil tindakan membalas dendam, Tuhan tidak lagi akan membalas perbuatan orang itu, sebab kita tidak menaruh percaya kepada Tuhan yang maha adil, dan maha pembalas. Dalam erti kata lain, kita sudah melakukan 'vote-of-no-confidence' terhadap Tuhan.
Apabila kita bergaduh 'in-public', banyaklah orang-orang yang sadistik akan bertepuk sorak, mengapi-apikan kita, sebab mereka mempunyai mindset macam kaki tengok orang bertinju. Mereka teruja apabila menonton orang bergaduh. Yang bertinju yang lebam-lebum. Yang menonton seronok. Makin si petinju lebum-lebam, makin mereka seronok.
Kita adalah manusia biasa-biasa, malah ulamak pun bukan. Jadi tentu sekali kita melakukan banyak kesilapan pada apa yang kita lakukan dan tuliskan. Tidak mungkin perbuatan kita betul belaka, dan apa yang kita tulis tidak mungkin betul belaka. Tidak mungkin kritikan orang salah semuanya, tentu ada betulnya, kalau tidak banyak, sedikit tentu ada.
Apabila kita bergaduh sampai naik-naik mahkamah, kita memutuskan tali silaturrahim. Perbuatan itu dibalas dengan rezeki yang dipersempitkan, dan umur yang dipendekkan.
Apabila kita mendoakan kebaikan ke atas orang-orang yang menyakiti kita, kita dibalas dengan rezeki yang lebih banyak, dan umur yang lebih panjang.
Allah jua yang maha mengetahui mengapa kita diuji dengan ditimpakan musibah kritikan pedih.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Berbeda sungguh dengan amalan karyawan dulu. Hujah lawan hujah. Kritik lawan kritik. Baru anak jantan. Dengan cara itu semakin banyak buku diterbitkan dan pembaca sendiri akan timbang hujah siapa yang lebih benar. Al Ghazali tidak pula menyaman lawannya yang berfalsafah, bahkan menulis Tahafut untuk dikunyah pembaca dan memilih hujah siapa yang lebih kuat.
Tuanku Rastom,
Saya setuju dengan pandangan Tuanku itu.
Ulamak dulu-dulu, atas nama buku-buku yang mereka karang, mereka bukan hanya dikritik sebagai pendusta, malah dituduh ‘sesat’, ‘murtad’, ‘kafir’ dan buku-buku mereka diharamkan, dibakar, mereka sendiri dicambuk, dikurung, dihukum bunuh di tali gantung dan ditembak oleh pasukan penembak tepat.
Mereka tidak saman-menyaman. Itulah bedanya penulis ulamak dan bukan ulamak.
Sungguh menarik nasihat Puan, tetapi untuk berlaku adil, bila pula Puan hendak menasihat penulis puan agar menjaga mulut?
Saya juga suka berbahas dan mengkritik - tetapi saya mementingkan fakta, sebab dan musabab (cause and effect / this and therefore ).
Saya tidak kisah kalau orang mengkritik berasaskan fakta, tetapi kalau menggunakan bahasa entah apa-apa, saya pun tidak tahu apa yang hendak dikata. Seperti komen di blog saya :
http://fablefox.com/blog/?p=156#comment-726
Komen nombor 5 dan nombor 7. Saya tidak mahu buang masa dengan orang sebegini, jadi saya kira berundur sahajalah.
http://fablefox.com/blog/?p=159
Sekali lagi saya ingin meminta maaf, tetapi Puan turut kena nasihati penulis puan agar menjaga mulut mereka (Nota - Saya tidak mengatakan bahawa penulis komen itu adalah penulis puan). Sekadar untuk berlaku adil.
PS - Saya ada baca banyak artikel Razzi sebelum di padamkan, dan banyak yang saya simpan sebagai *.mht (saya guna cyber cafe, save cepat-cepat dan balik baca di rumah). Saya tahu berapa kasarnya bahasa, dan beberapa fakta yang salah…
Assalamualaikum…
Saya ingin bertanya, sejak bila Dato’ Nik Abdul Aziz ber’Seri’? Kalau dah ber’Seri’ tak mengapalah. Dapatlah juga walaupun tidak sepantas Dato’ K mendapat ‘Seri’nya. Walau apa pun itu hanyalah anugerah manusia semata. Saya percaya bukan itu yang dikejar oleh Tuan Guru.
Wassalam.
Post a comment