Apabila Penulis Selebriti Naik Mahkamah
Memang ada penulis yang mahu menjadi selebriti. Buktinya, sejak buku pertamanya dia sudah tampalkan mukanya pada kulit buku. Bukan penerbitnya yang tampal, dia yang tampal. Perangai suka tengok gambar sendiri adalah tingkah laku selebriti.Siapakah selebriti di sebelah ini? Klik di sini. (Jangan marah, Prof! Nanti kena jual!)
Di kalangan penulis PTS, ada beberapa nama yang sudah lama menjadi selebriti. Ada pula beberapa nama yang sedang mula menaiki anak tangga menuju status penulis selebriti.
Bagi saudara yang berhasrat mahu menjadi selebriti, ada beberapa perkara yang saudara perlu terima sebagai risiko menjadi selebriti.
1. Sebagaimana kita menilai orang lain, orang-orang lain pun menilai kita. Ini sering kali kita lupa.
Sebagai selebriti, apa yang kita buat sudahlah tentu dinilai orang akan buruk baiknya. Yang kita tidak buat pun dinilai orang! Kata mereka, "Mengapa dia tidak buat itu? Mengapa dia tidak buat ini?" Namanya pun "selebriti".
Kalau saudara tidak sanggup berdepan dengan risiko peribadi dan karya saudara dinilai orang secara negatif, cukup dengan menjadi penulis sahaja, jangan jadi selebriti.
2. Sebagai selebriti, apabila saudara dijadikan bahan tulisan negatif, diam sahaja.
Jangan ambil pusing, apatah lagi jika tulisan itu cuma dalam blog. Bersabar, jangan buat apa-apa, jangan cakap apa-apa.
Jangan tumbuk orang yang mengutuk kita. Kalau orang kecil menumbuk orang kecil, itu bukan berita. Kalau selebriti menumbuk orang kecil, itu berita! Kalau suami selebriti menumbuk entah siapa pun masuk berita utama TV!
Jangan tarik orang kecil itu ke mahkamah. Sebagai selebriti, perbuatan menyaman malu sesiapa sahaja, adalah perbuatan memberi bahan berita sensasi kepada media yang memang hauskan berita-berita sensasi. Saudara habis duit, media buat duit!
Elok-elok tidak berapa orang yang tahu, apabila gambar saudara masuk muka depan akhbar, habis satu Malaysia tahu saudara dikutuk orang dalam blog!
Sudah menjadi psikologi manusia biasa-biasa, kalau ada berita buruk tentang selebriti, orang lebih percaya berita itu tentu ada asasnya. Semakin saudara nafikan, semakin orang percaya berita itu, tidak banyak sedikit, tentu ada benarnya.
Apabila saudara masuk mahkamah, peguambela defendan akan "telanjangkan" saudara dan akan dedahkan pekung-pekung saudara, bagi membuktikan apa yang ditulis oleh anak guamnya itu memang ada asasnya.
Peguam saudara takkan memberitahu bahawa dalam mahkamah nanti saudara akan ditelanjangkan habis-habisan oleh peguam defendan. Kalau dia terangkan, habislah bisnesnya!
Peguam saudara baru memfailkan saman saudara, wartawan sudah terhidu berita itu, besok pagi keluar cerita dalam surat khabar. Perbicaraan belum bermula, belum apa-apa, saudara sudah mendapat malu. Ingatkah lagi kisah selebriti dengan rumputnya?
Wartawan juga yang senyum-senyum, maklumlah dia mendapat berita bagi melariskan jualan surat khabarnya yang semakin merudum....
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment