Apabila Penulis Tidak Puas Hati
Dunia buku Melayu amat kecil. Semua orang kenal semua orang.
Apabila saudara menjadi penerbit, saudara mesti memberi layanan yang baik kepada penulis saudara. Jika tidak, mereka akan bercerita kepada penulis-penulis lain dan nama baik kita cepat rosak. Akibatnya, kita sukar mendapatkan penulis yang berkualiti.
Salah satu perkara yang mudah merosakkan nama baik sesebuah penerbit adalah isu perjanjian penerbitan dan hakcipta.
Ada sebuah penerbit majalah yang sedang berkembang. Ia sekarang sedang mula menerbitkan buku-buku agama untuk bacaan remaja.
Seorang penulis telah menghantarkan karyanya kepada penerbit tersebut, dengan keyakinan penerbit itu mengamalkan etika bisnes yang betul.
Apa yang berlaku, diam-diam bukunya diterbitkan. Tidak ada sebarang dokumen perjanjian diserahkan kepada penulis itu. Tiba-tiba beliau menerima kiriman cek bernilai RM1 ribu sebagai bayaran bagi pembelian manuskrip buku itu.
Pada saat ini nama penerbit itu sedang dijaja oleh penulis yang tidak puas hati itu. Apabila menyuarakan perasaan, si penulis menyebut penerbit itu sebagai "penipu". Gelaran itu sangat merosakkan nama baik saudara dan nama syarikat saudara.
Zaman sudah berubah. Pada masa ini majoriti penulis sudah tahu undang-undang hakcipta.
Demi menjaga kepentingan bisnes kita sendiri jaga nama baik bisnes kita dengan menghormati hak-hak penulis ke atas karya mereka.
Foto dari blog Indiana Book.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment