Apabila Saudara Dilamar Penerbit Lain
Di mulut naga lagikan direbut, inikan pula di tangan orang (baca: penerbit)....Demikianlah kisah bagaimana perempuan jelita (dan penulis berbakat) menjadi rebutan! Memang begitulah adat dunia.
Minggu ini Sifu menerima sepucuk lagi emel yang diterima oleh seorang salah penulis PTS daripada penerbit lain yang melamar beliau supaya menulis untuk penerbit itu. Dengan emel terbaru ini Sifu sudah menerima sekitar 9 ataupun 10 emel forward seperti itu, tidak termasuk apa yang dilaporkan oleh penulis secara lisan sahaja.
Seperti penulis itu, baik dengan penerbit mana saudara sekarang berkahwin, suatu hari nanti, percayalah, sebagai penulis berbakat, saudara akan menerima emel daripada penerbit lain yang melamar saudara supaya menghantar karya saudara kepadanya pula.
Apabila saudara menerima surat seperti itu, apakah yang sebaiknya saudara lakukan?
(a) Jikalau saudara puas hati dengan etika bisnes dan cara kerja penerbit saudara sekarang, forwardkan surat itu kepada editor saudara sekarang. Editor saudara perlu tahu penerbit mana yang sedang cuba melarikan saudara. Dengan itu dia akan memperbaiki lagi hubungan kerjanya dengan saudara.
(b) Jikalau saudara TIDAK puas hati dengan penerbit saudara sekarang, lakukan yang serupa, yakni forwardkan surat itu kepada editor saudara sekarang, supaya dia memperbaiki cara kerjanya sekarang.
(c) Siasat prestasi dan etika kerja penerbit yang melamar saudara itu. Bertanya kepada penulis-penulis lain dan dapatkan maklumat.
Bersikap telus adalah amat penting bagi (i) menjaga hubungan baik yang sedia ada antara saudara dengan penerbit sekarang, dan (ii) menjaga nama baik saudara sebagai penulis.
Dunia penerbitan di negara kita ini amatlah kecil. Ia macam lidi sebatang. Saudara takkan dapat bersembunyi di sebalik lidi sebatang. Saudara takkan dapat menyembunyikan apa yang saudara lakukan daripada diketahui oleh penerbit saudara.
Demikian juga halnya dengan penerbit. Penerbit yang tidak baik etika bisnesnya takkan dapat bersembunyi daripada diketahui oleh komuniti penulis.
Sebagai mana penerbit berhak memilih karya penulis mana yang mahu diterbitkannya, penulis berhak memilih penerbit mana yang mereka mahu serahkan karyanya.
Sentiasa beritahu apa yang saudara sedang fikirkan sekarang kepada editor saudara supaya beliau kekal menaruh kepercayaan yang tinggi ke atas etika bisnes saudara.
Dalam kes PTS yang mempunyai 5 anak syarikat penerbitan, katakanlah saudara sudah lama menulis untuk PTS ONE, apabila saudara mahu menulis untuk anak syarikat lain pun, maklumkan perkara itu kepada editor saudara di PTS ONE.
Dengan cara kerja yang telus itu saudara membantu meningkatkan lagi (i) hubungan kerja yang baik dan (ii) sangka baik, antara editor-editor dalam kumpulan PTS.
Jika saudara hendak masuk sebarang pertandingan menulis sekalipun, maklumkan hasrat saudara itu kepada editor saudara.
Isu penulis lari kepada penerbit lain adalah amat sensitif kepada editor. Ia ditafsirkan sebagai saudara menjatuhkan talak kepada editor saudara. Ia amat memalukan kerana ia ditafsirkan sebagai kegagalannya menjaga jodoh profesional yang berpanjangan dengan penulisnya.
Penerbit yang baik mengutamakan kepercayaan para penulisnya, kerana mereka tahu bahawa penulis adalah modal utama perniagaan sesebuah rumah penerbitan. Justeru para penerbit mencipta pelbagai program kesetiaan atau loyalti programs supaya penulis mereka tidak lari kepada penerbit-penerbit lain.
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Saya menulis sinopsis dan karya kecil untuk penerbit A, tetapi ada penerbit lain (B dan C) yang mahukan karya tersebut. Bolehkah saya menerbitkan karya tersebut dalam dua versi?
Bagaimana penerbit-penerbit ini boleh mencari penulis-penulis baru yang tidak popular? Adakah mereka memiliki pemantau yang memburu penulis-penulis baru?
——-
Erk, tercekik saya apabila membaca entri ini :D
Bagaimana sekiranya saya tidak puas hati dengan cara atau hasil penyuntingan editor tersebut, atau cara bekerja pihak penerbit tersebut, lalu apabila sama ada editor atau penerbit tersebut tidak boleh bekerjasama untuk berunding lagi, maka saya memutuskan untuk menghantar karya tersebut ke penerbit yang lain?
Contohnya, sebuah karya mempunyai jumlah halaman 360 muka surat. Editor tidak mempersetujuinya, lalu mahu sehingga kurang kepada sekitar 180 muka surat. Saya memberi cadangan bahawa karya tersebut boleh dipecahkan menjadi 180 muka (dua bahagian ATAU dua buah buku), memandangkan plot-plotnya boleh diasingkan untuk dijadikan dua cerita berasingan (dua watak utama dipisahkan tetapi setiap cerita akan ada titik pertemuannya). Apabila editor tidak bersetuju, maka saya menghentikan urusan dan menghantar karya tersebut ke pihak penerbit yang lain.
Kedua, saya berupaya melukis ilustrasi untuk buku-buku saya sendiri. Bolehkah saya mensyaratkan kepada penerbit bahawa buku tersebut mesti diterbitkan dengan menggunakan ilustrasi yang dilukis sendiri? Kadangkala, faktor ilustrasi buku menyebabkan saya rasa tidak seronok (kurang berkenan) untuk bekerjasama dengan sesebuah penerbit.
Seperkara lagi, saya berharap para penerbit peka dengan kualiti cetakan buku-buku penulis. Saya dapati ada sesetengah penerbit yang menerbitkan buku penulis, dengan kualiti cetakan yang sedernana. Tulisannya seolah-olah difotostat dengan mesin fotostat yang tidak jelas dakwatnya. Ini juga mengurangkan rasa penulis hendak bekerjasama dengan penerbit tersebut.
Ada juga penerbit yang mengatakan buku-bukunya bagus untuk meningkatkan lagi penguasaan Bahasa Melayu di kalangan masyarakat di negara ini. Apa yang membuatkan saya tersenyum sinis (sebab saya juga tahu ada saya kadangkala melakukan kesilapan tatabahasa), melihatkan bagaimana adanya editor yang membiarkan kesilapan dari segi tatabahasa atau bahasa yang nyata di dalam buku-buku yang mereka sunting. Mereka terlalu mengutamakan Bahasa Melayu Tinggi, sehingga mengabaikan aspek tatabahasa yang sebenarnya lebih penting. Jadi, apakah maknanya penerbit itu menyatakan hasratnya untuk meningkatkan penguasaan menggunakan Bahasa Melayu dengan betul sekiranya dalam buku itu juga terdapat kesilapan bahasa dan tatabahasa?
Yang terakhir, gaya penceritaan komuniti penulis sesebuah penerbit. Saya dapati ada syarikat penerbitan yang membiarkan penulis-penulisnya menulis menggunakan bahasa yang terang-terang merosakkan (seperti kau = ko, lah = ler). Penerbit seperti ini juga tidak saya pandang. Mereka mungkin pilihan terakhir (yang saya anggap berisiko untuk berurusan). Saya berpendapat, penerbit yang tidak menghormati bahasa (tidak kira Bahasa Melayu atau bahasa asing), adalah penerbit yang pasti bermasalah dalam melaksanakan kerjasama terhormat dengan para penulisnya (pada pandangan pertama).
Terlupa untuk menambah seperkara yang penting. Saya juga ada menerima rasa kekesalan tidak terhingga (kenangan pahit bersama penerbit) daripada penulis-penulis buku untuk sebuah syarikat tertentu.
Hal ini kerana penerbit terlalu banyak syarat yang menyekat kreativiti mereka sebagai penulis. Tidak boleh ini, tidak boleh itu. Sedangkan, didapati, secara realitinya, apabila ramai penulis yang menulis dengan penerbit itu melanggar syarat-syarat yang konon-kononnya WAJIB DIPATUHI sekiranya penulis tersebut mahu menerbitkan karyanya dengan penerbit tersebut. Malah, menjadi karya best-seller pula!!!
Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati yang tidak berkesudahan antara penulis dengan penerbit tersebut.
Saya berharap pihak penerbit tidak mengenakan syarat-syarat yang boleh menyekat kreativiti penulis kerana perbuatan ini sama seperti mengongkong bakat-bakat baru daripada berkembang!
.
Sdr. REV,
Realitinya syarikat penerbit KUAT, penulis LEMAH. Ia pahit tetapi benar. Begitulah nasib penulis yang bergantung kepada penerbit.
Begitu juga kes penerbit dengan kedai buku. Kedai buku KUAT. Penerbit LEMAH. Kita katalah buku kita baik, betul dan cantik. Kalau kedai tidak mahu bawa… apa kita hendak buat? Pahit tetapi benar.
Begitu juga dengan kes pembeli buku. Pembeli buku PALING KUAT. Penulis kata elok, penerbit kata elok, pekedai pun kata elok. Kalau pembeli tidak mahu beli… apa kita semua hendak buat? Pahit tetapi benar.
Siapa yang memukul gendang, dia yang menentukan tarinya….
Kalau penulis hendak betul-betul puas hati, tulis sendiri, terbit sendiri, jual sendiri. Pahit tetapi benar!
Menarik betul entri ni, saya suka sangat.
Qoute “Hal ini kerana penerbit terlalu banyak syarat yang menyekat kreativiti mereka sebagai penulis. Tidak boleh ini, tidak boleh itu. Sedangkan, didapati, secara realitinya, apabila ramai penulis yang menulis dengan penerbit itu melanggar syarat-syarat yang konon-kononnya WAJIB DIPATUHI sekiranya penulis tersebut mahu menerbitkan karyanya dengan penerbit tersebut. Malah, menjadi karya best-seller pula!!!”
Saya sendiri hairan, terlalu banyak sangat syarat. Bila saya beli atau baca secara percuma buku terbitan penerbit sama di BORDERS, banyak pula benda yang dilarang, termasuk yang ditulis oleh pekerja penerbitan itu sendiri.
Sebagai contoh ada penerbit yang menghalang penggunaah “Wah, Nah, Hoi,” tetapi ada juga buku terbitan mereka yang ditulis oleh pekerja mereka menggunakan perkataan-perkataan itu.
Entahlah. Mungkin saya terpaksa poligami. Isteri pertama OK tetapi tidak boleh melahirkan anak, kena kahwin isteri lain.
Dan saya sokong AR!
Tulis sahaja, langgar sahaja pantang larang itu semua. Nanti editor syarikat itu yang akan edit.
.
Sdr. Faizul,
Penerbit yang baru masuk pasaran, belum terkenal, belum mempunyai penulis yang ramai, memang mereka sanggup melayan sikap yang macam saudara anjurkan itu. Penerbit baru tidak mempunyai pilihan. PTS pun dulu begitu juga.
Penerbit yang sudah mapan, yang sudah banyak penulis, mereka tidak seronok bekerja dengan penulis yang main langgar pantang larangnya.
Kos editorial adalah kos ke-2 paling mahal, yakni selepas kos percetakan. Itulah sebabnya PTS melabur dengan mengadakan pelbagai kursus penulisan dan bahasa, supaya manuskrip yang masuk tidak memerlukan banyak editing dan dapat diterbitkan ikut jadual.
Demi survival syarikat, penerbit hanya memilih penulis-penulis yang karyanya tidak banyak memerlukan editing.
Entah macam mana, tiba-tiba saya rasa saya bersetuju dengan Pezul.
Terima kasih Fable Fox kerana menyokong saya. Sama-sama kita, sebagai penulis, bersatu-padu!
Hm, bagaimana agaknya apabila suatu ketika nanti wujud Persatuan Penulis Penerbit Buku Sendiri!
.
Sebagai penulis, bersetuju dengan pendapat penerbit saudara lebih banyak plus-nya.
>>>Di mulut naga lagikan direbut, inikan pula di tangan orang….
Ya! Puan panggil sayakah?
.
Uoop! Uoooppp!
Maaf Puan. saya tidak bermaksud untuk bersikap apa yang saya katakan tadi. Sebenarnya ada sesuatu yang telah berlaku pada saya. Perkara yang berlaku itu telah menyedarkan saya betapa pentingnya penulis itu sendiri mengedit bukunya terlebih dahulu sebelum dihantar pada editor. Sebab apa-apa kesalahan pembaca akan salahkan penulis. Saya ingatkan kita tulis sahaja, dan editor akan edit segala kesalahan kita, sebab itukan kerja editor.
Ada satu bengkel penulisan yang saya hadiri, mengatakan, “awak tulis sahaja macamana pun, jangan risau nanti editor akan edit” Ini maknanya kata-katanya itu tidak benar.
.
Tugas dan tanggungjawab editor adalah meningkatkan mutu karya supaya laku dipasarkan.
Editor bekerja seperti mak andam mengandam pengantin. Pengantin yang cantik bertambah cantik dengan sentuhan jari-jari mak andam.
Kerja membersihkan daki di muka pengantin dan menggosok gigi si pengantin adalah kerja si pengantin, bukan kerja mak andam.
Tetapi saya sudah mengedit buku itu banyak kali, namun ada beberapa perkataan yang tersalah eja (tidak banyak salah pun) saya terlepas pandang.
Sinaga-naga!, kau ni potong la! (maaf BMR!)
Salam sejahtera,
Menarik sungguh entri ini. Alhamdulillah, rasa-rasanya saya telah buat apa yang Puan gariskan dalam entri di atas (bahkan bukan setakat editor, saya berbincang dengan Pengurus syarikat lagi!).
Terima kasih.
Assalamualaikum Rakan-rakan seperjuangan,
Bagaikan ada sesuatu yang hangat sedang berlaku.
Saya sangat setuju dengan kata-kata ini :
Kalau penulis hendak betul-betul puas hati, tulis sendiri, terbit sendiri, jual sendiri. Pahit tetapi benar!
Satu bengkel penulisan yang pernah saya hadir tahun lepas, salah seorang penceramahnya juga ada berkata yang maksudnya lebih kurang begitulah.
Semasa saya berkursus enam bulan di Jabatan Penjara, kami kerap diberitahu bahawa, “Jika semua perkara mahu ikut kehendak kita sahaja, pergi masuk hutan, tebang buluh, pacak depan rumah dan buat penjara sendiri.”
Itu cuma sekadar saya hanya teringatkan kata-kata itu hampir punyai persamaan dengan apa yang ditulis di atas. Bukan ada niat untuk meminta sesiapa atau mengajar sesiapa.
Wassalam
Post a comment