Apabila Sistem Peperiksaan Ditukar kepada Sistem Pentaksiran: Apa Nasib Penerbit Buku Teks
Pada tahun 2011, Kementerian Pelajaran akan memansuhkan sistem peperiksaan dan memperkenalkan sistem pentaksiran. Baca di sini.
Dalam sistem baru itu nanti, penekanan bukan lagi ke atas kecemerlangan keputusan "peperiksaan" akademik semata-mata. Sistem peperiksaan yang macam kita kenal sekarang ini akan dimansuhkan, oleh itu buku-buku teks seperti yang kita kenal sekarang juga tidak diperlukan lagi. Malah nama "Lembaga Peperiksaan" pun akan ditukar kepada "Lembaga Pentaksiran".
Pelaksanaan sistem "pentaksiran" ini mempunyai kesan yang menghuru-harakan ke atas nasib penerbit yang selama ini hidup dengan menerbitkan buku-buku teks dan buku ulangkaji sekolah. Rata-rata mereka tidak mempunyai kemahiran menerbitkan buku-buku lain, selain buku bersilabus.
Penerbit buku bersilabus mempunyai 3 pilihan:
(a) Belajar menerbitkan buku-buku pemerkayaan yang digunakan oleh sekolah, termasuk ensiklopedia.
Buku jenis ini tidak dijual dalam kedai-kedai buku, sebaliknya dijual langsung ke sekolah-sekolah. Ini bermakna mereka perlu belajar dua kemahiran baru, yakni belajar menerbitkan buku-buku pemerkayaan, dan belajar menjualnya ke sekolah-sekolah.
Tetapi perubahan ini tidaklah sangat drastik kerana buku-buku pemerkayaan masih lagi ada perkaitan dengan keperluan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Sebagai contoh, penerbit SASBADI sudah siap sedia mula menceburi sektor buku pemerkayaan. Bagi tahun 2008 sahaja penerbit itu akan menerbitkan lebih 150 judul baru pelbagai set buku-buku yang sesuai dengan keperluan pendidikan.
(b) Belajar menerbitkan buku-buku tradebooks, yakni buku-buku yang laku dijual dalam kedai-kedai buku.
Buku jenis ini langsung tidak ada kaitan secara direct dengan apa yang berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Oleh itu jika penerbit buku bersilabus hendak memasuki sektor ini, prosesnya lebih sukar.
Tenaga editorial mereka tidak mempunyai kemahiran menghasilkan buku-buku umum. Malah mereka tidak kenal pun penulis buku-buku umum.
Tiga sektor yang besar kemungkinan mereka akan ceburi adalah (i) buku cerita kanak-kanak, (ii) sektor novel remaja dan (iii) novel popular. Kemasukan mereka ke dalam sektor ini akan menjadikan sektor ini bertambah rancak dan persaingan mendapatkan penulis menjadi bertambah sengit.
Penerbit buku remaja seperti PTS ONE dan KarnaDya akan merasai kesan kemasukan mereka ke dalam sektor ini, pertama-tama daripada sudut kecurian penulis dan ilustrator. Penerbit buku teks mempunyai simpanan tunai yang banyak, oleh itu mereka dapat menggunakan simpanan itu bagi membeli manuskrip dan ilustrasi secara kontan. Penulis-penulis yang kesempitan wang akan dapat mereka tarik dengan mudah.
Suatu aspek yang menarik adalah, penerbit buku-buku teks tidak mempunyai mindset membayar royalti. Mereka rata-rata tidak berminat dengan sistem royalti baik bagi pengarang mahupun bagi ilustrator. Jadi apabila mereka hendak masuk sektor buku kanak-kanak, novel remaja dan novel popular, mereka lebih suka membeli hakcipta. Selagi mereka tidak mahu menawarkan sistem royalti, mereka sukar mendapatkan penulis-penulis gred premium.
(c) Beralih kepada kegiatan bisnes lain.
Mereka mungkin masuk ke sektor majalah, sektor penerbitan CD dan VCD, ataupun keluar langsung daripada sektor penerbitan.
Pelaksanaan sistem pentaksiran ini juga meninggalkan kesan serius ke atas kedai-kedai buku yang selama ini hidup dengan menjual buku-buku bersalibus. Mereka terpaksa belajar menjual buku-buku umum.
Sistem baru ini juga meninggalkan kesan serius kepada penerbit buku umum seperti PTS:
(1) Terbukanya peluang baru meningkatkan jualan.
Dari satu sudut, apabila kedai buku sekolah mula beralih kepada menjual buku-buku umum, ini adalah berita baik kepada penerbit buku-buku umum seperti PTS. Disebabkan buku teks dan buku ulangkaji sudah tidak relevan lagi, kedai-kedai indie di pekan-pekan kecil pun, jika mereka mahu survive, mereka terpaksa menjual buku-buku umum.
(2) Beban hutang operasi meningkat.
Dari sudut lain, disebabkan sistem jualan buku umum adalah berdasarkan kredit, ini bermakna penerbit seperti PTS terpaksa memberi kredit kepada kedai-kedai indie itu. Jika satu kedai memerlukan kredit sebanyak RM10 ribu, jika ada 100 kedai indie yang mahu menjual buku-buku PTS.
Ini bermakna PTS terpaksa (i) mendapatkan dana tambahan bagi meningkatkan jumlah cetakan setiap judul kerana judul yang sama terpaksa dibekalkan kepada lebih banyak jumlah kedai, dan (ii) menanggung risiko hutang tambahan sebanyak RM1 juta.
Ada 3 faktor yang menyebabkan kedai-kedai buku indie terpukul teruk oleh perubahan dalam sistem pendidikan negara nanti. Tidak mudah bagi kedai-kedai buku yang selama ini hidup dengan menjual buku silabus berpindah kepada menjual buku-buku umum. Justeru, banyak kedai-kedai itu akan mengalami keadaan sukar hendak survive jika semata-mata mengharapkan jualan alat-alat tulis sahaja. Faktor-faktor itu adalah:
(1) Kesukaran mendapatkan bekalan buku umum.
Penerbit buku-buku umum seperti PTS tidak mudah mahu membekalkan buku-buku mereka kepada majoriti kedai indie sebab takut mereka tidak berdisiplin membayar hutang. Justeru penerbit akan mengenakan syarat lebih ketat, sebagai contoh syarat wang cagaran mesti dibayar sebelum buku mula dibekalkan.
(2) Penerbit buku umum tidak mempunyai kapasiti memenuhi semua permintaan kedai.
Jika penerbit mahu membekalkan buku-buku yang dipesan oleh kedai, penerbit belum tentu mampu mencetak jumlah tambahan itu. Aspek risiko beban hutang adalah faktor utama yang menyebabkan penerbit seperti PTS akan sangat berhati-hati apabila memilih kedai-kedai buku indie yang macam apa yang akan dibekalkan dengan buku-bukunya.
(3) Penerbit buku-buku umum tidak suka cara niaga kedai-kedai buku indie.
Kedai-kedai buku yang menjual buku-buku teks dan ulangkaji sudah terbiasa menikmati potongan diskaun yang amat tinggi, yang 'gila-gila', yang tidak dapat diterima oleh penerbit buku umum. Mereka mahukan diskaun yang gila-gila itu juga bagi buku-buku umum.
Satu lagi perangai towke-towke kedai buku indie yang tidak disukai oleh penerbit buku umum adalah perangai meminta supaya penerbit membayar kos membuat rak buku dalam kedai mereka.
Walau sakit sekalipun kesan yang akan dirasai oleh semua pihak akibat perubahan dalam sistem pendidikan negara ini nanti, pemain dalam industri buku tidak ada pilihan kecuali menyesuaikan diri.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam,
Jika buku teks tiada lagi, ini bermakna tiada lagi skim pinjaman buku teks. Jika skim ini tiada, maka bagaimana situasinya untuk pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan, yang saya rasa bergantung kepada buku teks sebagai rujukan.
Puan Sifu,
Saya tidak pernah terkejut sekiranya pada tahun 2011 nanti, sistem peperiksaan itu hanya bertukar kulit sahaja, tapi isi di dalamnya tetap sama. Saya juga tidak akan terkejut sekiranya sistem peperiksaan yang ada sekarang ini dikekalkan demi memenuhi impian dan cita-cita segolongan kapitalis rakus yang menjadi parasit dikulit-kulit pembesar-pembesar negara.
Sebenarnya di kementerian Pelajaran segala yang mengembek itu tidak boleh dipanggil kambing kerana terdapat segelintir orang yang diatas memanggilnya serigala. Maka jadilah kambing itu sebagai serigala!
Ahhhh…lagipun bukankah sistem pendidikan di negara kita selalu menjadi tikus putih para pembuat dasar!!?? Jadi, apabila guruh berdentum di Kementerian Pelajaran, janganlah air di tempayan kita curahkan…..
Post a comment