Apakah Benar dengan Menulis Dapat Menjadi Jutawan

Banyak orang yakin kalau mahu kaya, caranya adalah dengan membuka bisnes sendiri. Justeru banyak buku ditulis tentang bagaimana cara membuka bisnes dan mengurus bisnes.Tetapi, cuba lihat di sekeliling kita, alangkah banyaknya orang yang membuka bisnes sendiri tetapi tidak juga kaya-raya.
Saat ini sudah ada buku yang mengatakan dengan menjadi penulis seseorang itu dapat menjadi jutawan (bukan buku PTS).
Benarkah sudah ada penulis Malaysia yang menjadi jutawan hanya dengan menulis? Mana dia penulis itu!
Ada 2 kemahiran duit: (i) Kemahiran membuat duit, dan (ii) Kemahiran mengurus duit.
Orang yang pandai buat duit belum tentu pandai mengurus duit. Di kalangan orang bisnes pun banyak yang tidak pandai mengurus duit, akibatnya syarikatnya terkial-kial walaupun produknya laku.
Manakala banyak pula orang yang kurang pandai buat duit, jadi dia makan gaji sahaja, tetapi dia pandai mengurus duit, sehingga dengan gaji yang tidak seberapa itu dia pandai menghimpun harta.
Menjadi kaya amat bergantung pada bagaimana seseorang itu mengurus duit yang diperoleh daripada bisnesnya, ataupun daripada royalti buku-bukunya, ataupun wang gajinya.
Banyak orang hanya pandai berbisnes... sebagai contoh dia pandai menguruskan restorannya, tetapi tidak pandai mengurus duitnya, apatah lagi mengembangkan duitnya. Akibatnya, bertahun-tahun sumber pendapatannya hanyalah restoran itu. Dia tidak mempunyai sumber-sumber pendapatan lain.
Keuntungan daripada restorannya itu entah di mana... Bertahun-tahun dia membuka restoran, tetapi dia tidak mempunyai simpanan, oleh itu dia tidak mampu membuat pelaburan baru, justeru bagaimana pula dia dapat menjadi kaya-raya....
Banyak orang kuat bekerja dan pandai mencari duit, tetapi tidak juga kaya-kaya... sebab dia tidak pandai mengurus duitnya dan tidak tahu cara-cara yang betul mengembangkan duitnya.
Tulislah buku-buku yang menerangkan bagaimana duit dapat dikembangkan supaya beranak-pinak.
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Sifu dan rakan-rakan yang dihormati,
Alhamdulillah, pada Sabtu, 11 Ogos ketika saya sedang sibuk menguruskan persediaan majlis kesyukuran, anak saya menjerit dari luar:
“Mak ada surat!” jerit anak saya dari ruang tamu sambil berlari ke arah saya.
“Bacakan untuk mak,” saya bersikap endah tidak endah sahaja sambil tangan mengacau adunan kek di dapur.
“Ee! bestnya…. mak dapat cek dua ribu, kayalah mak!” sambil menghulurkannya pada saya. (bila dengar saja mak dapat cek, anak yang lain pun turut serbu… isk, isk..)
“Biar betul, siapa yang bermimpi siang hari ni?” saya terus melihat sambil tersenyum simpul (masa buat kek tadi muka serius semacam saja. Siap merungut dalam hati, kalau beli kan senang…)
“Wah! hebat tu PTS, baguslah PTS ni, tak sangka pulak dapat cek. Ha, ni mak bersemangat nak menulis lagi ni!” terpacul laju kata-kata saya sambil menatap cek berkali-kali.
“Sebenarnya mak dapat RM3,281.76 sen tau, kenapa dapat RM2,000 sahaja,” kata anak sulong saya sambil membaca surat.
“Tak kisahlah tu… Itu kerja orang PTS,” kata saya lagi.
“Aha! oklah tu, Along ni tamaklah,” kata anak saya yang seorang lagi.
“Itulah, lepas kenduri ini mak kena serius balik menulis,” kata anak sulong saya.
“Betul tu, sekurang-kurangnya lepaslah duit belanja Bib di Universiti,” saya menambah.
“Biar kita orang buat kerja rumah, mak tak payah buat. Bolehlah mak menaip,” terpacul kata-kata anak lelaki bongsu
saya. (Kata-kata Muhammad mengejutkan kami empat beranak, kerana Muhammad ni liat sikit buat kerja rumah.)
“No hal,” tapi kau kenalah ikut jadual betul-betul,” kata anak ketiga saya menyokong.
“Oklah, kita start hari Isnin ni, Along akan tampal jadual di dapur. Semua kena ikut peraturan.”
Begitulah al-kisah sebahagian dari perbualan kami anak beranak ketika menerima cek pertama dari PTS. Penulis sambilan seperti saya ini, hendak capai taraf jutawan, jauh panggang dari api. Tetapi sekurang-kurangnya nilai-nilai murni bermuafakat yang terbentuk ketika mendapat cek menyeronokkan saya.
Oleh itu saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Puan Ainon yang telah membuka peluang kepada saya untuk menulis (Terima kasih, Puan Ainon, kerana bayaran royalti itu), kepada En. Nazrul, Pengurus PTS yang sentiasa menjawab setiap pertanyaan saya (Masa berurusan dengan beliau, pening juga kepala dengan soalan-soalan saya) dan Cik Majidah, Editor yang rajin memantau perkembangan buku pertama saya.
Kepada rakan-rakan, jangan bertangguh, mulalah menulis. InsyaAllah tuan-tuan dan puan-puan akan dapat merasai nikmatnya mendapat bayaran royalti buku pertama.
Salam.
Rashidah Mat Nor.
.
Puan belum menjadi jutawan, tetapi sudah menyumbang kepada perjuangan memandaikan bangsa!
Cek kedua akan dihantar kemudian, Puan. Maklumlah jumlah royalti tahun ini lebih RM680,000-00, jadi supaya semua penulis dapat cek masing-masing, Jabatan Kewangan buat bayaran 2 kali. Minta maaf, ya Puan.
——-
“Banyak orang kuat bekerja dan pandai mencari duit, tetapi tidak juga kaya-kaya… sebab dia tidak pandai mengurus duitnya dan tidak tahu cara-cara yang betul mengembangkan duitnya.”
Saya teringat kepada kata-kata Robert Kiyosaki dalam Rich Dad Poor Dad. Katanya, bagaimana seorang Fianancial Planner boleh menjadi seorang perancang atau penasihat kewangan yang baik sedangkan dirinya sendiri tidak boleh untuk menjadi kaya (inikan pula mahu menasihati orang lain untuk kaya). Sejak itu, saya sering buat endah tak endah kepada ‘title’ Financial Planner (yang biasanya merujuk kepada agen insurans)
Haha…
.
Ini Encik Sunthara Segar perlu respon!
maaf, tetapi kita tidak boleh melihat sesatu di dalam kontek sati bahagian sahaja - semua orang perlukan mentor. Adakah guru vokal Siti atau mawi boleh menyanyi sehebat kedua-duanya? adakah mentor tiger woods boleh bermain sehebatnya?
Kita perlukan guru dan kita perlukan penasihat, itu sahaja. Donald Trump juga masih mempunyai penasihat walaupun dia sendiri adalah ‘Donald Trump’.
Itu sahaja. Persoalan penting ialah, bolehkan financial planner itu boleh membantu kita menjadi kaya?
Saya pernah melihat guru merokok di dalam kawasan padang sekolah, terus buang putung rokok ke dalam longkang setelah ternampak saya (sebab saya memang pedas, guru, lecturer, timbalan dekan fakulti - semua saya tegus. En. Idrus mohd. Satha sendiri saya pernah tegur (membina).
Tetapi adakah kita tidak akan mendengar nasihatnya agar tidak merokok hanya kerana dia sendiri merokok?
Hmmm… saya tidak lihat kepada pemberi nasihat, saya nilai apakah nasihatnya.
Salam sejahtera. Sedikit bertanya. Seingat saya, ada seorang penterjemah rancangan TV yang bernama Rashidah Mat Nor. Adakah orang yang sama? Maaf bertanya soalan yang kurang relevan.
Post a comment