Tuesday, February 14, 2006

Ayat-ayat Intim dalam Novel Cinta

Surah Yusuf menjadi terkenal disebabkan di dalamnya diceritakan sebuah kisah cinta paling indah, iaitu cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Ini bermakna sastera Islami menerima kisah cinta.



Sejauh manakah sastera Islami membenarkan ayat-ayat romantis dituliskan dalam karya? Adakah novel cinta Islami menerima ayat-ayat yang berbunyi seperti:



a. “Kedua kekasih itu berpegangan tangan....”



b. “Mereka duduk berdua di tepi pantai....”



c. “Rahimi merenung wajah Jamilah yang cantik....”



d. “Faridah masih teringat dakapan mesra Azlan....”



Dalam surah Yusuf, terdapat 5 ayat yang menceritakan babak intim antara Yusuf dan Zulaikha.



1. Kemudian yang empunya rumah di mana dia tinggal (Zulaikha), mengajaknya berbuat serong. Lalu ditutupnya semua pintu, serta katanya, “Mari ke mari!” Jawab Yusuf, “Berlindung aku kepada Allah, sesungguhnya suamimu adalah tuan daku, dia telah memuliakan kedudukanku. Sesungguhnya tidak akan berjaya orang-orang yang aniaya.” (Yusuf, ayat 23)



2. Sesungguhnya perempuan itu suka kepada Yusuf, dan Yusuf suka pula kepadanya, seandainya Yusuf tidak ingat kepada Tuhannya.” (Yusuf, 24)



3. Kedua-duanya berlari ke pintu, lalu perempuan itu menarik baju Yusuf dari belakang sehingga terkoyak. Setibanya di pintu, kedua-duanya terserempak dengan suaminya, lalu perempuan itu berkata, “Apakah balasan bagi orang yang hendak berbuat serong dengan isterimu, melainkan dipenjarakan ataupun disiksa dengan siksaan yang pedih!” (Yusuf, ayat 25)



4. Berkata Yusuf, “Dialah yang mengajak saya.” (Yusuf, ayat 26)



5. Kata seorang saksi antara ahli keluarga perempuan itu, “Jikalau baju Yusuf koyak di depan, maka perempuan itu benar, dan Yusuf berdusta. Jika bajunya koyak di belakang, maka perempuan itu yang berdusta dan Yusuflah yang benar.” (Yusuf, ayat 27)



Dalam kelima-lima ayat surah Yusuf di atas tidak ada episod Nabi Yusuf dan Zulaikha, sebagai lelaki dan perempuan yang dalam alam percintaan, digambarkan duduk-duduk berdua memadu asmara ataupun menyentuh kulit.


Kelima-lima ayat (23, 24, 25, 26 dan 27) itu adalah ayat-ayat yang menerangkan tingkah laku yang didorong oleh emosi cinta antara Nabi Yusuf dan Zulaikha. Ayat-ayat itu adalah ayat-ayat cinta.


Berbeza daripada ayat-ayat cinta dalam surah Yusuf, ayat-ayat seperti ayat (a), (b), (c) dan (d) adalah ayat-ayat asmara. Ketiadaan ayat-ayat asmara dalam surah Yusuf bermakna teori novel cinta Islami menolak ayat-ayat jenis itu. Justeru novel cinta Islami menolak ayat-ayat yang mengandungi unsur romance.


Implikasi penolakan ayat-ayat (a), (b), (c) dan (d) itu bererti teori novel Islami mazhab surah Yusuf membezakan antara novel cinta daripada novel romantic. Sudut pandang teori novel cinta Islami tidak menganggap bahawa cinta itu sinonim dengan romance.


Perbezaan cinta dan romance itu dapat diterangkan begini: Manusia dapat bercinta tanpa ber-romance, dan sebaliknya, yakni manusia dapat ber-romance tanpa cinta.


Justeru teori novel Islami aliran surah Yusuf menerima ayat-ayat cinta, tetapi menolak ayat-ayat asmara. Tuhan lebih mengetahui mengapa.





 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Sastera Islami
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Panduan Belajar dalam Bengkel Previous entry: Penulis dan Pelukis: Tip Mengurus Emosi
Panaharjuna  on  02/16  at  07:54 AM

saya tidak tahu samaada pembaca sedar atau tidak, bahawa Nabi Allah Yusof itu akhirnya mengambil Zulaikha menjadi isterinya, pada ketika itu zulaikha telah menjadi seorang perempuan tua yang zuhud dan memencilkan diri. Kisah ini saya dapat daripada hadis, dan diceritakan juga bahawa qisas Zulaikha itu berbalas dengan perbuatan Nabi Allah yusof yang serupa dengan apa yang di perbuat oleh zulaikha ketika mereka telah berkahwin.
——-

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.