Badan Pencegah Rasuah (BPR) Siasat PTS
Pada tahun 2007, Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah datang ke pejabat pengurusan PTS bagi siasatan kes rasuah dalam kategori salah guna kuasa. Mereka datang bagi mendapatkan maklumat tentang cara-cara PTS menjalankan urusan bisnesnya.
Sifu menerangkan perkara ini di sini supaya para penulis PTS ambil perhatian kerana ia melibatkan kepentingan pihak penulis mahupun pihak PTS sebagai penerbit.
Dalam kes ini, seorang penulis PTS telah membeli beberapa naskhah buku karangannya sendiri bagi kegunaan jabatannya. Kebetulan beliau adalah ketua jabatan itu.
Pembelian itu telah sampai ke pengetahuan BPR, entah bagaimana hal itu terjadi PTS pun tidak diberitahu oleh pegawai-pegawai BPR yang datang menjalankan siasatan. Mungkin jugalah ada staf di jabatan penulis itu yang melaporkan kepada BPR. Perkara ini biasa berlaku disebabkan oleh faktor 'politik pejabat'.
Maka pegawai-pegawai di jabatan jualan dan khidmat pelanggan PTS yang disoalsiasat menerangkan kepada BPR bahawa semua penulis PTS diberi diskaun 35% apabila mereka membeli bukunya terus dari PTS. Diskaun itu diberikan dengan tidak ada soal-jawab lagi kerana itu adalah tatakerja di PTS.
Banyak penulis PTS membeli buku-buku mereka sendiri, dan juga buku-buku karangan penulis lain, dan ini adalah perkara yang digalakkan dalam dasar perniagaan PTS. Diskaun yang diberikan itu memang amat bagus kerana ia adalah salah satu program-setia PTS, yakni supaya penulis-penulis PTS kekal bernaung di bawah bendera PTS.
Kedatangan pegawai-pegawai BPR itu amat mengejutkan pegawai-pegawai PTS. Kita sudah meminta pandangan peguam sebab dalam kes seperti ini pegawai PTS yang meluluskan penjualan itu boleh dituduh bersubahat dengan penulis itu.
Kepada penulis-penulis PTS, ini pesan Sifu: Jangan sekali-kali saudara membeli buku saudara sendiri untuk kegunaan jabatan saudara.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam,
Amat menarik apa yang berlaku. Harap-harap tidak akan timbul masalah apabila saya membekalkan buku-buku tulisan saya bersama PTS untuk dijual di koperasi NST. Ini kerana, koperasi NST menggalakkan ahli-ahlinya berniaga menerusi koperasi dan mereka telah cadangkan supaya buku-buku tulisan saya dijual di situ. Kini, masih dalam peringkat perbincangan.
Wasalam
begitu kisahnya…
Post a comment