Bagaimana Buku-Buku Melayu untuk Remaja Membodohkan Remaja
Mengapakah buku-buku Harry Potter diterbitkan dengan dua wajah kulit yang berbeza? Harry Potter pada asalnya memang dikarang dan diterbitkan untuk pembaca remaja. Kemudian penerbit menerima permintaan daripada pembaca dewasa yang mahu membaca buku-buku itu tetapi malu hendak memegang buku yang kulitnya berwajah remaja. Jawapannya: Satu kulit untuk pembaca remaja, dan satu lagi kulit untuk pembaca dewasa. Keadaan ini menunjukkan trend terbaru dalam dunia sastera remaja hari ini di mana perbezaan antara fiksyen untuk remaja dan dewasa sudah tidak wujud lagi.
Dalam sebuah seminar, seorang pustakawan dari Perbadanan Perpustakan Negeri Selangor mengkritik para penulis dan penerbit buku-buku Melayu yang beliau sifatkan sebagai tidak kenal minda pembaca kanak-kanak dan remaja awal. Beliau mengatakan para remaja awal tidak suka meminjam dan membaca buku-buku nipis, tetapi buku-buku bacaan remaja dalam bahasa Melayu terus diterbitkan dalam bentuk nipis.
Buku-buku bacaan remaja yang nipis meninggalkan banyak kesan negatif, baik ke atas minda pengarang, apatah lagi ke atas minda kanak-kanak dan remaja awal yang membacanya.
Kesan negatif ke atas pengarang yang paling ketara adalah, apabila buku nipis, plot cerita tidak panjang dan kompleks. Ini menyebabkan pengarangnya tidak perlu mempunyai pemikiran yang tinggi dan kompleks bagi menghasilkan buku-buku bacaan remaja itu.
Plot yang ringkas dan pendek tidak memerlukan pengarang menjalankan penyelidikan ataupun pembacaan yang luas, cukuplah dengan menggunakan imaginasi simpel dan akal biasa sahaja.
Kesan negatif buku-buku nipis ke atas minda kanak-kanak dan remaja tidak perlu diperjelaskan. Cukup dengan sekadar kita mengatakan, buku-buku nipis memperbodoh remaja.
Anggapan bahawa kanak-kanak dan remaja hari ini tidak mampu membaca dan memahami isi kandungan buku-buku tebal adalah tidak berdasarkan ilmu psikologi kanak-kanak dan remaja. Anggapan itu sama tidak benarnya dengan sangkaan bahawa buku yang tebal semestinya susah dibaca dan difahami oleh remaja. Lihat sahaja bagaimana remaja awal perempuan dengan banyaknya membaca novel-novel cinta yang tebal-tebal.
Buku-buku bacaan yang kompleks dan mengandungi maklumat saintifik dan teknikal melatih otak remaja berfikir secara kompleks dan teknikal. Tetapi, bagi menghasilkan karya-karya seperti itu kita memerlukan penulis-penulis yang berpengetahuan tinggi dan memiliki bakat bercerita yang tinggi juga.
Di kalangan penerbit yang sudah menyedari perkara ini, mengapakah mereka masih menerbitkan buku bacaan remaja yang nipis? Perkara itu terpaksa dilakukan disebabkan sikap pentadbiran sekolah-sekolah rendah negara ini yang masih mahukan buku-buku nipis untuk perpustakaan. Sekolah-sekolah rendah mahu buku-buku bacaan yang nipis dan murah-murah. Jadi keadaan ini menghasilkan putaran negatif di mana sekolah mahukan buku nipis, lalu pengarang menerbitkan buku nipis, meskipun murid-murid mahu membaca buku-buku tebal.
Kita mencadangkan Kementerian Pelajaran mengeluarkan garis panduan baru kepada sekolah-sekolah rendah dalam memilih buku-buku bacaan untuk perpustakaan. Buku-buku yang kurang daripada 120 halaman sesuai untuk bacaan murid-murid darjah 2 dan 3. Bagi murid-murid darjah 4, 5 dan 6, buku-buku untuk mereka semestinya antara 200 hingga 300 halaman.
Garis panduan ini dapat memaksa para pengarang menghasilkan bahan-bahan bacaan yang isi kandungannya kompleks dan penuh dengan maklumat teknikal yang terperinci. Ini memaksa para pengarang melakukan pembacaan yang luas dan menjalankan penyelidikan sebelum mula mengarang.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam puan, Wah tulisan ini sungguh mencabar penulis yang suka ambil mudah. Tetapi ada penulis novel remaja yang sedar tentang hal ini, malangnya penerbit masih mahu manuskrip yang nipis-nipis.
Apa yang ditulis di sini benar, bagi murid darjah 4, 5, 6 bukan zaman ini sahaja bersikap seperti itu, malah dari zaman saya dahulu pun begitu.
Novel-novel tebal seperti Salina, saya sudah baca ketika usia itu. Novel-novel Pak Hamka yang berbahasa Indonesia itu pun saya baca dan faham.
Post a comment