Tuesday, July 28, 2009

Bagaimana dan Mengapa Kaum Bangsawan Melayu Mengkhianati Bahasa Melayu

OLEH Hasmi bin Hashim

Bahasa Melayu bukan bahasa kelas bangsawan. Mereka akan sentiasa mencari sesuatu yang eksklusif, bukan inklusif; mencari ciri yang istimewa untuk diri mereka, dengan meninggalkan ciri yang ramai.

Hanya dengan itu, maka mereka kekal sebagai kelas bangsawan.

Saya merumuskan begitu. Sebabnya? Sebab kelas bangsawan tidak akan pernah berani bersaing di gelanggang terbuka. Demikian mereka merebut segala bentuk “dasar perlindungan”, untuk melindungi diri mereka. Bukan untuk melindungi rakyat jelata. Dan rakyat, selamanya akan kepanasan.

Kata WS Rendra dalam sebuah sajaknya yang utama, “Sajak Orang Kepanasan” yang tidak lain dihalakan kepada kelas berkenaan:

Karena kami kucel
Dan kamu gemerlapan
Karena kami sumpeg
Dan kamu mengunci pintu
Maka kami mencurigaimu

Apa itu yang saya maksudkan sebagai “dasar perlindungan.” Ada. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB), adalah dasar perlindungan. Lihat sahaja bagaimana para pembesar dan anak-anak mereka, dan menantu mereka beriya-iya melalak dan mahu DEB dipertahan.

Bukan untuk rakyat, sementara mereka tahu, keuntungan yang jauh lebih besar adalah untuk diri mereka sendiri–kalau boleh, mereka mahu meletakkan diri di atas segala undang-undang. Kalau boleh di atas Perlembagaan sekalipun.

Bangsawan, secara fitnah dan resamnya, tidak pernah, dan tidak akan berani. Ketidakberanian mereka itu, adalah karena kebangsawanan mereka itu, mereka warisi. Bukan dari kebijaksanaan mereka sendiri.

Sabtu sudah, saya berkesempatan berceramah dengan Sastewaran Negara, A Samad Said. Di kampung saya. Di Semerah, Johor.

Antara yang dikupas Pak Samad adalah, saya rumuskan, seperti yang saya rumuskan di atas– Bahasa Melayu adalah bukan bahasa golongan bangsawan feudal… kaum yang memiliki kekayaan, dan kedudukan tinggi di dalam pemerintahan, adalah karena ‘mewarisi’.

Perdana Menteri ke-6, sekarang, antara contoh jelas. Dia tidak akan melakukan kerja lain, selain sebagai orang politik, sepertimana bapanya, Tun Razak Hussein. Lihat sahaja bagaimana anak bekas PM-4, juga sedang meniti tangga politik dan mati-matian mempertahan dasar PPSMI yang diperkenal dan ‘diperturunkan’ oleh bapanya, Tun Dr Mahathir.

Ketua Pemuda Umno, anak seorang bekas duta; menantu PM ke-5… juga bangsawan yang punya nafsu politik bukan kepalang.

Kata Rendra lagi, dalam sajak yang sama:

Karena kami dibungkam
Dan kamu ncoros bicara
Karena kami diancam
Dan kamu memaksakan kekuasaan
Maka kami bilang TIDAK kepadamu

Apakah mereka peduli dengan “harga diri” dan maruah Bahasa Melayu? Tidak-tidak-tidak!

Seandainya orang Melayu seluruhnya bertutur di dalam bahasa Inggeris, ‘cair’ dan lancar, percayalah, kaum bangsawan ini akan mencari jalan untuk bertutur di dalam bahasa lain, selain daripada bahasa Inggeris. Mungkin waktu itu mereka akan bertutur di dalam bahasa Perancis, atau Jepun, atau Arab… tak mustahil di dalam bahasa Jawa kalau bahasa Jawa dilihat sebagai bahasa yang boleh menunjukkan mereka adalah kelas tersendiri: kelas bangsawan.

Saya agak terkejut apabila Pak Samad membawakan kenyataan kelas sebagai antara hujah mengapa bahasa Melayu dikhianati, bukan oleh orang asing, tetapi oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kenyataan ini adalah kenyataan besar, yang selain lama cuba disembunyikan.

Bangsawan Melayu itu, tidak lain adalah bangsawan feudal. Bangsawan lapuk. Bukan satu kelompok manusia yang gigih dengan perjuangan untuk hidup. Yang akhirnya berjaya. Bangsawan Melayu itu (juga bangsawan Cina dan India, yang lahir daripada kurniaan DEB) tidak pernah ada ketrampilan cediakawan di dalam diri mereka.

Perhatikan sahaja rumah mereka, yang barangkali berjuta, atau puluh juta ringgit, tidak ada perpustakaan walaupun sekecil tandas. Buku adalah perkara yang terakhir yang mereka fikirkan. Atau tidak fikirkan langsung.

Yang pertama bermain di dalam kepala mereka, adalah pakaian. Sudah tentu dengan jenama yang tiada tara. Jam tangan, kasut, kereta. Kemudian baru sukan atau gaya hidup yang perlu meyakinkan diri mereka sendiri bahawa mereka adalah bangsawan.

Rakyat bukan mereka. Mereka bukan sebahagian daripada rakyat. Rakyat bagi mereka boleh dibeli. Boleh diumpan. Boleh diikat hidungnya. Terutama dengan janji-janji pembangunan, dan wang ringgit.

Betapa jeleknya golongan bangsawan ini, seperti yang pernah saya saksikan sendiri, bagaimana misalnya anak-anak mereka pun dilarang untuk berkahwin dengan anak orang kebanyakan. Tidak boleh! Haram! Walaupun pencapaian anak orang bawahan itu, sesungguhnya jauh lebih baik daripada apa yang dicapai oleh anak-anak golongan bangsawan.

Kembali kepada mauduk dan persoalan bahasa, kaum elit dan bangsawan ini, tidak pernah peduli dengan bahasa Melayu… yang sekonyong-konyong mereka anggap sebagai “bahasa kampungan.” Betapa butanya mereka bahawa semua bahasa ada bahasa pasarnya sendiri, dan ada juga bahasa kelas tingginya sendiri.

Pengkhianatan terhadap bahasa ibuanda kita, bahasa Melayu, jelas nyata dilakukan oleh elit-bangsawan ini. Dan merekalah yang harus kita sasarkan serangan.

Sementara kita tahu besar, mereka akan mendirikan tembok dan perisai di kalangan rakyat biasa… yang belum punya kesedaran untuk membebaskan diri daripada janji manis, daripada umpan wang ringgit yang tak seberapa, dan daripada sistem feudal yang dipaksakan agar rakyat percaya dengan penuh yakin.

Karena kami arus air kali
Dan kamu batu tanpa hati
Maka air akan mengikis batu
.

Penentangan terhadap kelompok kecil ini, adalah penentangan terhadap feudalisme itu sendiri. Bukankah itu antara maknanya reformasi?

Baca tulisan asal di sini.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(4) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Apabila Lori Kargo Tidak Berjalan 10 Hari.... Previous entry: Kisah Bagaimana PTS Memperoleh Pembiayaan Membeli Bangunannya
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  07/29  at  02:15 AM

bersetuju dengan tanpa berbelah-bahagi dengan kenyataan tersebut.

Rastom A Rahman  on  07/29  at  10:50 AM

Terima kasih Puanku Sifu Alhajjah, sudah lama tidak menyantap hidangan hidangan yang sedap lagi molek dibaca ini. Tahyaatan wa marhaban!

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  07/29  at  12:56 PM

Artikel ini seakan membantu saya meluahkan apa yang tidak terungkap di dalam hati yang selama ini sering rasa tidak ketahuan akibat nasib yang dialami oleh bangsa sendiri.

annahs  on  08/04  at  03:39 AM

Assalammualaikum

Puan Hjh, boleh saya ‘copy’ entri ini ke dalam blog saya?

Terima kasih

http://annahs.wordpress.com/

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.