Bagaimana Kementerian Pengajian Tinggi Mensabotaj Industri Buku Ilmu
Orang ramai tidak tahu bahawa rupa-rupanya semasa Dato' Mustafa Mohamad menjadi menteri pengajian tinggi, beliau telah mengeluarkan surat arahan yang mengatakan bahawa apabila pensyarah universiti menulis dan menerbitkan buku, buku itu tidak layak diberi markah bagi kenaikan pangkat.
Jika pensyarah menulis dan menerbitkan artikel dalam jurnal yang ber-referi atau berwasit, maka artikel itu layak diberi markah.
Begitulah yang dilaporkan oleh Dr. Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya kepada Sifu semasa kami berbincang-bincang pada Pesta Buku 2008 yang lalu.
Kita telah bertanya kepada Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, apakah benar surat arahan itu ada? Beliau mengatakan ya, arahan seperti itu ada.
Kita di PTS menentang kebijaksanaan di sebalik arahan seperti itu. Apabila tenaga akademik di universiti tidak digalakkan menulis buku, hal ini menjejaskan bekalan manuskrip buku ilmu kepada penerbit seperti PTS.
Siapakah orang bijak pandai yang memberi nasihat kepada bekas menteri pendidikan tinggi itu supaya mengeluarkan surat arahan tersebut?
Besar kemungkinan orang yang memberi nasihat begitu kepada menteri adalah profesor yang naik pangkat walaupun beliau tidak menulis sebarang buku akademik, sekadar menulis dalam jurnal sahaja. Artikel yang terbit dalam jurnal belum tentu tinggi kualitinya, ada yang tinggi, ada yang rendah.
Memang karya dalam jurnal berwasit itu penting, tetapi menulis buku ilmu adalah sama pentingnya. Pensyarah yang pandai menulis artikel untuk jurnal belum tentu pandai menulis buku, kerana struktur buku tidak serupa dengan struktur artikel.
Ilmu pengetahuan dan ilmu-ilmu bantu yang diperlukan bagi menghasilkan buku yang berkualiti adalah jauh lebih luas daripada pengetahuan yang diperlukan bagi menulis artikel dalam jurnal.
Masa yang diperlukan bagi menghasilkan buku juga lebih lama daripada masa yang diperlukan bagi menulis artikel.
Kita mendesak Dato' Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi yang ada sekarang, supaya membatalkan surat arahan itu.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Tidak benar mengatakan bahawa pensyarah tidak diberikan kredit jika menulis buku untuk umum.
Menulis buku utk umum itu apa? Adakah terbatas kepada karya fiksyen, karya sastera? Karya non-fiksyen berbentuk ilmiah sesuai dengan kepakaran pensyarah amatlah dialu-alukan.
Bahkan dalam usaha mengekalkan status Research University (RU), banyak universiti (seperti USM) menggalakkan pensyarahnya menulis. Kredit dapat kepada penulis dan juga universiti.
Bukan universiti melarang pensyarah menulis untuk umum, sebaliknya pensyarah itu sendiri yang mungkin liat untuk menulis. Kerja hakiki pensyarah antara lain adalah menulis (umum atau jurnal berwasit).
Mungkin Pn Ainon boleh clear this matter dengan Dr. Ummi Kalthum Ngah, seorang pensyarah USM dan juga penulis PTS.
Salam perkenalan buat Pn Ainon
Izinkan saya memberi respon kepada komen yang diberikan oleh sdr ‘mxypltk’. Memang benar apa yang sdr nyatakan iaitu universiti amat menggalakkan pensyarah menulis, malah penerbitan merupakan antara markah tertinggi dalam sistem penilaian tahunan pensyarah universiti.
Namun isu yang dibangkitkan di sini ialah tentang penerbitan buku yang tiada markah, ataupun rendah markahnya bagi kenaikan pangkat. Mungkin di USM lain halnya tetapi maklumat yang dinyatakan oleh Pn Ainon inilah yang disampaikan kepada institusi saya. Walaupun tidak semua pensyarah menulis untuk naik pangkat semata-mata, namun arahan KPT akan menjejaskan industri buku ilmu di negara yang kita cintai ini.
Post a comment