Thursday, November 16, 2006

Bagaimana Menjual Buku ke Perpustakaan Desa

Bagi saudara yang hendak menjadi penerbit ataupun pengedar buku, saudara mungkin belum tahu bagaimana caranya saudara dapat membekalkan buku-buku saudara ke perpustakaan desa di seluruh negara.

Termasuk di bawah senarai Perpustakaan Desa adalah semua perpustakaan yang berada di luar bandar yang ditadbirkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat KEMAS, kerajaan negeri dan jabatan-jabatan kerajaan.

Sehingga saat ini jumlah PD yang sudah beroperasi adalah 800 buah. Pada 2007, 200 buah lagi dijangka akan siap dibina dan beroperasi, menjadikan jumlahnya 1000 buah.

Semua pembelian untuk perpustakaan desa dibuat oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Jadi saudara perlu mendaftar sebagai kontraktor kerajaan sebelum layak menjadi pembekal kepada PNM.

Langkah pertama, saudara mesti mendaftarkan syarikat sendirian berhad yang dengan jelas adalah sebuah syarikat berkenaan bisnes buku.

Langkah kedua, saudara mendaftarkan syarikat saudara itu sebagai kontraktor kerajaan. Ada sijilnya.

Langkah ketiga, saudara mendaftarkan syarikat saudara itu sebagai bertaraf syarikat Bumiputera. Ada sijilnya.

Ada Persatuan Kontraktor Buku Bumiputera (PKBM) dan saudara sebaiknya menjadi ahli persatuan ini.

Semua judul yang dibeli untuk perpustakaan desa dipilih oleh panel penilai PNM. Buku-buku saudara perlu memenuhi kriteria isi kandungan dan ciri-ciri fizikal yang ditetapkan oleh PNM.

Setiap tahun PNM memilih banyak judul PTS untuk PD dan kontraktor-kontraktor yang menang tender PNM membeli judul-judul PTS itu daripada PTS secara langsung ataupun daripada pengedar-pengedar PTS.

Walaupun PTS adalah sebuah penerbit buku yang mempunyai sijil-sijil kementerian kewangan, tetapi PTS tidak pernah masuk tender sebagai kontraktor kepada kerajaan. Ini adalah dasar perniagaan PTS.

Banyak pengedar PTS adalah kontraktor kerajaan. Biarlah mereka yang masuk tender. Kita cari makan sama-sama, biarlah kita makan pun bersama-sama. Kontraktor jual buku kepada PNM. PTS jual buku kepada kontraktor.

Kalau PTS ikut masuk tender, PTS mampu memberi diskaun sehingga 30% kepada PNM. Pengedar takkan mampu memberi diskaun sebanyak itu sebab mereka sendiri mendapat 30% diskaun dari PTS! Mereka hendak makan apa?

Justeru, apa bezanya kalau PTS masuk tender ataupun tidak? Dari sudut nilai jualan, tidak ada bezanya.

Tetapi ada beza besar, iaitu dari sudut menjaga hubungan baik dan kepercayaan semua pengedar buku-buku PTS. Mereka tahu dan yakin bahawa PTS bukan sebuah penerbit yang tamak.

.

.
.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Pemasaran Buku
(11) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Faisal Tehrani dan Novel Tidak Berkhasiat Previous entry: Artikel Terbaru
alang kelana  on  11/17  at  12:09 AM

Tahniah PTS, kerana tidak mengamalkan dasar ‘menghapuskan angsa yang bertelur emas’...

Semoga dengan dasar memberi peluang kepada semua pihak ini akan membina rangkaian penerbit, pengedar (dan penulis) yang bersepadu…
——-

Puan Ainon Mohd.  on  11/17  at  01:42 AM

Tuan Alang,

Saya diberi maklum oleh pengurus pemasaran PTS supaya sebaiknya PTS jangan masuk tender supply buku kepada kerajaan.

Menurut beliau, kalau PTS masuk, memang PTS boleh compete dengan pengedar2 buku sebab buku2 PTS itu milik kita sendiri, jadi kita boleh beri diskaun yang besar kepada kerajaan. Jadi kita boleh menang dari sudut lawan harga terendah.

Tetapi, banyak kontaktor buku itu adalah pekedai2 buku juga! Jadi kalau PTS buat macam itu, mereka tidak akan promote buku2 PTS dalam kedai-kedai mereka!

Sheikh boleh tengok di mana buku2 PTS sekarang diletakkan di dalam kedai2 buku. Dalam majoriti kedai buku, buku2 PTS disusun di bahagian depan, dekat dengan pintu masuk, ataupun di bahagian di mana orang aktif berlegar2 dalam kedai buku. Itulah tandanya pekedai buku suka menjual buku2 PTS.

Penerbit jangan tikam pengedarnya sendiri. Kita mahu mereka promote buku kita dalam kedai, tetapi kita tikam mereka dengan menjadi pesaing mereka apabila kerajaan buka tender.

Jangan tamak. Orang tamak selalu rugi.

rastom  on  11/17  at  01:48 AM

Kedai buku Union Alor Setar meletakkan buku buku PTS di tempat yang paling strategik. Tingkat bawah buku teks sekolah. Tingkat atas medan berjuang sebenar - bila kita naik tangga, sampai saja di tingkat atas anda tidak dapat tidak mesti mengadap buku buku PTS di atas rak khusus, melainkan jika anda naikki tangga secara songsang secara gostan.

alang kelana  on  11/17  at  04:19 AM

Em, maklumat ini menguatkan lagi semangat saya untuk menulis secara lebih cekal dan lebih banyak, walau pun dengan memanafaatkan “tenaga/masa yang tersisa” yang semakin hari semakin mengecil…....

Helmy  on  11/18  at  04:48 AM

Salam Pn. Ainon.

Bagaimanakah kita hendak menyenaraikan tajuk-tajuk buku yang diterbitkan untuk dinilai oleh panel PNM? WiraBukit berpendirian sama dengan PTS.

Puan Ainon Mohd.  on  11/18  at  10:17 AM

Sdr Helmy,

Di bawah undang-undang dokumentasi bahan bercetak, semua penerbit wajib menghantar 5 nakhah bagi setiap judul yang diterbitkan kepada PNM.

Daripada naskhah2 yang diterima oleh PNM itulah mereka pilih judul2 yang sesuai untuk perpustakaan desa. Bagi judul yang akademik, mereka pilih untuk perpustakaan yang besar2 sahaja.

Bagi projek BTP (Bahagian Teknologi Pendidikan), judul2 buku dicadangkan oleh kontraktor kepada BTP. (Itu sebab dalam pemilihan judul projek BTP, setiap tahun, berlaku banyak cerita yang tidak sedap didengar.)

Helmy  on  11/18  at  10:30 AM

Salam Pn Ainon.

1,000 perpustakaan desa bermakna 2,000 naskah setiap tajuk yang terpilih - betulkah perkiraan saya ini?

Dan adakah pembelian buku-buku untuk perpustakaan desa ini sesuatu yang “ritual” setiap tahun?

p/s: saya terima surat dari PNM awal nov suruh adakan stok yang mencukupi untuk 2 tajuk (2,000 naskah setiap tajuk), tetapi hingga kini senyap saja sedangkan rakan lain (penerbit) sudah mula bekalkan.

Puan Ainon Mohd.  on  11/18  at  10:41 AM

Sdr Helmy,

Segera hubungi PNM, kepada siapa yang tanda tangani surat itu, dan tanyakan apa kedudukan saudara sekarang.

Cakap lembut2, buat macam orang bodoh! Minta maaf banyak2. Pegawai kerajaan amat mementingkan budi bahasa apabila kita berurusan dengan mereka.

Pergi jumpa pegawai itu sendiri dan bawa surat tersebut. Jangan lupa pakai baju lengan panjang dan kasut hitam apabila pergi ke pejabat kerajaan!

Helmy  on  11/18  at  10:45 AM

Isnin sebelum subuh saya pergi!

Terima kasih sifu!

salomaintelek  on  05/12  at  05:13 AM

Saya seorang penulis dan penerbit buku bumiputera ingin mempromosikan buku hasil terbitan sulung saya ke perpustakaan-perpustakaan di negeri Selangor.
Dua buah novel sejarah
Satu antologi skrip teatar
Satu antologi skrip filem.
Semoga dapat perhatian dari pihak kementerian pelajaran dan pihak perpustakaan.

Saloma Binti Mat Lajis  on  10/19  at  12:29 PM

saya seorang penulis dan penerbit dari Shah Alam telah menghantar contoh-contoh buka ke perpustakaan negara untuk dinilai bersama poposal syarikat saya. tetapi saya belum mendapat jawapan samaada buku-buku saya dinilai untuk dibeli oleh perpustakaan negara. saya harap peluang saya sebagai penulis dan penerbit sama pentingnya dengan penerbit bukan Melayu yang mana diberi tempat yang lebih baik dari penerbit bumiputera.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.