Bagaimana Orang Pintar Menyekat Produktiviti, Prestasi dan Kejayaannya Sendiri
Faktor penyekat kejayaan kita yang paling besar pengaruhnya adalah apa yang disebut 'self-audit'.
Lebih kurang maksud 'self-audit' adalah begini: Padahal tidak ada apa-apa undang-undang yang menyekat kita daripada melakukan sesuatu, tetapi kita sendiri yang mengatakan sesuatu itu tidak dibenarkan kita melakukannya.
Tidak ada undang-undang yang mengatakan seseorang itu tidak boleh menjadi pandai dalam bidang-bidang selain bidang yang dipelajarinya di universiti.
Namun banyak orang pandai-pandai yang mengatakan kepada dirinya sendiri, "Saya cuma pandai dalam bidang kelulusan saya sahaja. Saya tidak layak menulis dalam bidang lain selain ijazah saya."
Tidak ada undang-undang yang menyekat pensyarah universiti daripada menulis apa-apa sahaja buku yang dia sukai, tetapi dia sendiri mengatakan, "Tulis untuk jurnal sahaja, ataupun lebih baik jangan menulis langsung!" Kitab suci mana yang berkata begitu? Hadis mana yang berkata begitu?
Banyak sekali orang pandai-pandai, yang amat pandai mengaudit dirinya sendiri.
Sebelum dia mula menulis, dia sudah mengaudit rancangannya sendiri. Dia kata, "Tetapi saya tidak boleh menulis topik ini. Saya hanya boleh menulis topik yang itu." Lalu dia pun tidak menulis.
Sebelum dia menulis apa-apa, dia sudah mengatakan kepada dirinya sendiri, katanya, "Nanti apa kata si polan, dan si polan?" Lalu dia pun tidak menulis apa-apa buku.
Belum apa-apa dia sudah berkata, "Saya belum mempunyai PhD. Tidakkah nanti saya hilang kredibiliti."
Self-audit di kalangan pensyarah universiti menyebabkan timbulnya fenomena yang merugikan semua pihak:
(i) Banyak orang pandai tidak mahu belajar secara tidak formal dalam bidang ilmu lain sehingga menjadi pandai dalam bidang-bidang itu.
(ii) Banyak orang pandai tidak mahu bercakap ataupun menulis dalam bidang-bidang lain, meskipun mereka mempunyai pengetahuan tak-formal dalam bidang-bidang itu.
(iii) Banyak orang pandai sangat takut dirinya dan hasil penulisannya dinilai secara negatif oleh rakan sebidang, lalu lebih selamat jika mereka tidak menulis, sebab apabila dia tidak menulis, orang tidak kritik dia.
(iv) Banyak orang pandai menderita penyakit ragu-diri, sangsi-diri, rendah-diri dan tidak percaya-diri.
(v) Banyak orang pandai, amat pandai mengemukakan pelbagai alasan dan hujah mengapa 'bukunya belum siap ditulis'.
(vi) Banyak orang pandai, pandai sekali mengemukakan pelbagai ratapan dan rungutan, dan menuduh pelbagai faktor di luar diri mereka sendiri, bagi mempertahankan kewajaran mengapa mereka tidak menghasilkan prestasi tinggi.
(vii) Banyak orang pandai, hanya pandai mengkritik kelemahan dan kekurangan pada hasil produktiviti orang-orang pandai lain.
Ini pesan Sifu kepada pensyarah muda:
Kita menulis bagi memandaikan bangsa. Kita bukan menulis untuk memandaikan rakan kita, ketua jabatan kita, dekan kita, ataupun pengarah kita.
Jangan pedulikan orang pandai-pandai lain. Mereka itu sudah pandai-pandai belaka.
Buku-buku PTS bukan ditulis bagi bacaan mereka. Mereka mempunyai banyak buku lain (dalam bahasa Inggeris) yang selayaknya mereka baca.
Buku-buku PTS diterbitkan buat bacaan orang-orang yang sanggup mengeluarkan wang sendiri kerana mahu memandaikan dirinya sendiri.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalammualaikum Puan Sifu,
Bila membaca tulisan puan ini membuatkan ginjal saya rasa seperti tertusuk duri pula. Pedih. Terutama betapa benarnya kenyataan ini :
—) Banyak orang pandai, amat pandai mengemukakan pelbagai alasan dan hujah mengapa ‘bukunya belum siap ditulis’.
Selalunya alasan paling klise ialah :
- Terlalu sibuk
- Laptop tak ada lagi
- Masa tak cukup
Sebenarnya mengikut pengalaman saya yang tak banyak ini, buku tidak semestinya sekali tulis sahaja terus siap,lengkap dan mencukupi. Ada kalanya ianya memerlukan berpuluh kali penambahbaikan dan penyuntingan.
Kalau diikutkan kepuasan menulis, saya amat menggemari puisi hinggakan selalu disindir sebagai ‘orang sastera’.
Amat penting golongan profesional menulis dan memperbanyakkan karya tempatan di perpustakaan-perpustakaan di negara kita dan seterusnya buku-buku tempatan menjadi pilihan ketika membeli buku.
Qoute “Bila membaca tulisan puan ini membuatkan ginjal saya rasa seperti tertusuk duri pula. Pedih. Terutama betapa benarnya kenyataan ini.”
Saya pun… tetapi sebab lain. Banyak pensyarah yang saya kenal lebih suka untuk menjadi ‘penasihat’ (?) syarikat pada waktu lapang mereka - terutama pensyarah dari bidang petrolium, perniagaan, undang-undang, elektronik dan / atau mekanikal. Entahlah, cash per hour of work tinggi dan kerja mudah?
Assalamu’alaikum
Puan Sifu, saya suka apa yang Sifu tulis:
“Kita menulis bagi memandaikan bangsa. Kita bukan menulis untuk memandaikan rakan kita, ketua jabatan kita, dekan kita, ataupun pengarah kita.”
Tepat sekali. Pensyarah-pensyarah muda dan tua juga harus sedar, menulis itu berdasarkan sedikit ilmu yg ALLAH beri adalah untuk menyumbang kepada masyarakat. Bukan semata-mata untuk jadi ‘glamour’ di kalangan orang yg pakar dalam bidang yg diceburi. Yang lebih utama ialah ramai orang dapat manfaat daripada apa yang ditulis.
Sebelum ini saya juga rasa terperangkap dalam mind-set yang saya selaku seorang pensyarah hanya boleh menulis jurnal sahaja. Walau bagaimanapun, setelah saya baca sebuah buku baru-baru ini bertajuk ‘Value of Time’ ternyata ilmuwan Islam zaman dahulu kala sangat multi-disiplin. Mereka tulis apa yg mereka rasa mereka ingin tulis dan ingin sumbang. Iman merekas sangat kuat menyebabkan mereka sangat menghargai masa. Masa digunakan sepenuhnya untuk membaca dan menulis! Sehinggakan makanan mereka pun dicairkan untuk emnjimatkan masa yang digunakan untuk makan! Subhanallah!
Bila difikir semula, banyak sumbangan mereka. Padahal pada zaman mereka, pada pendapat saya mereka menulis bukan untuk mendapatkan duit, tetapi untuk menyumbang kepada masyarakat. Konsep ‘Iman dan Amal Soleh’ mereka tersemat kukuh di dalam hati-hati mereka.
Ketika saya menuntut ilmu di Manchester, seorang Professor membuatkan saya berfikir. Katanya zaman dahulu, penulis-penulis bukannya banyak kemudahan. Lampu pun tiada, tapi mereka mampu menghasilkan karya-karya yang digunakan hingga ke hari ini. ‘How about you Malaysian brothers and sisters?”, tanya Professor Syeikh Salim. Semuanya ada, biasiswa, elaun buku dan alat tulis ...terlalu panjang senarai nikmat dan kemudahan yang ada.
Apa pun yang ingin saya fokuskan ialah, NIAT kita menulis dan sejauh mana kita mampu mengatur masa kita untuk menulis. Alangkah seronoknya sekiranya tajuk yang kita tulis boleh memandaikan bangsa dan MENGUBAH hidup-hidup masyarakat ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya Nabi Muhammad itu agent of change. Kita seharusnya mengikut sunnah tersebut.
Wassalamu’alaikum.
Noorminshah A.Iahad
Pensyarah Muda
Baru Mengorak Langkah
Post a comment