Bagaimana Penerbit Kecil Boleh Membunuh Bisnesnya Sendiri
Salah satu faktor yang menyebabkan banyak penerbit kecil-kecil yang baru memulakan bisnes, oleh itu mereka belum ada nama, belum mempunyai produk yang berkualiti tinggi, telah membunuh bisnesnya sendiri akibat tersalah memberikan potongan diskaun kepada pengedar, kedai dan agen.
Disebabkan mereka belum mempunyai nama, cara mereka memujuk pengedar dan kedai-kedai buku supaya mengambil buku mereka adalah dengan memberikan potongan harga yang tidak masuk akal, iaitu sehingga 50%, malah ada yang sanggup memberi 70%.
Apabila banyak penerbit-penerbit kecil main diskaun gila-gila seperti itu, ia menyebabkan kedai-kedai buku mendapat persepsi yang salah sama sekali berkenaan kosting buku. Kedai-kedai menyangka bahawa kos menerbitkan buku amat rendah, jikalau tidak masakan pula penerbit mampu memberi potongan harga sehingga 50%.
Akibatnya, kedai-kedai buku menyangka semua penerbit mampu memberi potongan 50% ataupun lebih. Lalu mereka menekan semua penerbit supaya memberi potongan 50%, jika tidak mereka tidak mahu menjual buku penerbit yang enggan memberi potongan kadar gila itu.
Presiden MABOPA, Mr. Law King Hui, pernah menerangkan perkara ini kepada PTS, apabila pada tahun-tahun 1980-an dahulu, di mana pasaran buku bersilabus sakit tenat akibat banyaknya penerbit kecil yang memberi diskaun gila-gila kepada kedai buku, istilahnya "perang harga".
Sebenarnya, apa yang berlaku adalah penerbit-penerbit kecil tidak melakukan analisis kosting dengan cermat dan tepat sebagaimana yang dilakukan oleh penerbit besar kerana mereka tidak mempunyai jabatan kewangan yang professional. Mereka hanya menggunakan akal biasa sahaja, itulah sebabnya mereka menyangka dengan memberi diskaun lebih 50% kepada kedai buku mereka masih boleh buat untung dan survive, padahal itu sangkaan itu salah.
Memanglah, dengan memberikan diskaun gila-gila kepada kedai buku, pada tahun pertama banyak duit tunai masuk, jadi penerbit kecil berasa mereka dapat survive dengan cara itu.
Tetapi kos operasi bisnes pada tahun ke-3, ke-3 dan seterusnya akan meningkat. Pada waktu itu baru mereka sedar bahawa dengan memberikan diskaun sampai 50% mereka tidak pulang modal. Apabila mereka menyedari perkara itu, keadaan sudah terlambat. Mereka tidak dapat pergi ke kedai buku dan memberitahu bahawa mereka akan turunkan diskaun daripada 50% kepada 35%. Kedai buku takkan mahu terima. Inilah yang menjadi faktor utama mengapa banyak penerbit kecil itu tutup bisnes. Inilah contoh kes buku laku tetapi bisnes tutup!
NOTA: Apabila penerbit-penerbit kecil memberi diskaun gila-gila kepada kedai buku, penerbit seperti PTS terkena tempiasnya juga.
(i) Kedai buku akan meminta diskaun gila-gila itu kepada PTS sebab mereka yakin kos penerbitan buku sangat rendah oleh itu PTS masih mampu memberi mereka diskaun gila-gila itu. Padahal, dengan memberikan kadar maksimum 45%margin keuntungan PTS tinggal 3% sahaja.
(ii) Bukan hanya kedai-kedai buku mendapat persepsi salah tentang kosting buku, malah penulis-penulis juga mendapat persepsi yang salah kerana cerita-cerita diskaun sampai 50% - 70% tetap sampai ke telinga penulis-penulis. Akibatnya mereka yakin penerbit telah memberi mereka kadar royalti yang terlalu kecil, lalu mereka tidak puas hati dan meminta kadar yang lebih tinggi daripada penerbit.
(iii) Cerita diskaun gila-gila itu juga sampai ke telinga pengurus bank-bank yang membiayai bisnes PTS lalu mereka menyangka PTS mampu membayar kadar pinjaman yang lebih tinggi.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Satu lagi maklumat yang sangat membantu!! Terima kasih, Puan Ainon.
Post a comment