Friday, July 31, 2009

Bagaimana Penulis PTS Membelanjakan Royaltinya

Penulis ngetop PTS, Prof. Muhammad Kamil Ibrahim adalah seorang profesor akaunting di UITM. Beliau menulis 2 buah buku "Travelog Haji" dan "Travelog Dakwah". Tulisan di bawah ini disalin daripada blog beliau:....

Dulu namanya Sekolah Rendah Tengku Mahmood [SRTM]. Inilah sekolah rendah saya. Malah hampir kesemua adik-beradik yang lain belajar di sini. Oh…. ia berlanjutan hingga kepada anak-anak saudara yang tinggal di Besut.

Saya sayangkan sekolah ini. Banyak kenangan manis. Di sini, sekurang-kurangnya ada 3-4 pelajar perempuan yang di”padan-padan”kan dengan saya. Main “hendak-hendak”. Seorang pelajar sekelas [darjah 2 x-press] mengadu kepada guru [Cikgu Rabiatul-Adawiah]: “Cikgu, orang gelarkan saya dengan Kamil. Saya tak [tidak] hendak!]. Cikgu Rabiatul memberi jawapan: “Kenapa tak hendak, eloklah tu….”

Kemudian, kami berpisah selepas menamatkan pengajian di darjah dua. Ah… anak DO! Kami berjumpa semula di MRSM, sekelas semasa di tingkatan 4 dan 5. Ketika ini, beliau sudah ada boy-friend! Akhirnya, kami bertugas di bawah satu bumbung, di UiTM.

Ingatan kepada guru-guru saya sentiasa ada. Saya doakan agar mereka sentiasa diberi ganjaran di dunia dan akhirat. Sebagai tanda sayang, bila saya menandatangani perjanjian buku Travelog Haji, saya peruntukkan 20% daripada bayaran royalti kepada SRTM.

Lazimnya, PTS akan membayar royalti 2 kali setahun. Bulan ini dan di penghujung tahun. Bulan lepas saya hubungi PTS dan bercakap dengan pegawai yang menguruskan bayaran royalti. “Puan, royalti saya [Travelog Haji], bahagian sekolah saya minta bayar penuh. Bahagian saya tidak kisah. Bayar hujung tahun pun tidak mengapa.”

Tujuannya mudah. SRTM boleh merancang bagaimana mahu menggunakan wang tersebut. Ia sedikit tetapi ia juga banyak dan boleh digunakan untuk pelbagai kegiatan terutamanya dalam konteks melahirkan pelajar cemerlang.

Saya terima cek royalti untuk mereka berjumlah hampir RM7000. Seronoknya saya! Lalu saya hubungi kakak saya di Besut: “Kak Yah, saya ada cek sekolah [SRTM] hampir RM7000. Bagi tahu guru besar kalau dia hendak cek ini, jemput saya bagi ceramah motivasi! Free of charge. Saya bayar sekolah lagi!”

Kakak saya ketawa dengan perangai adiknya. Memaksa orang untuk memberi dan mendengar ceramah sendiri. Akhirnya, guru besar - Cikgu Rahman Sardar - mengadakan program Sehari bersama Profesor Muhd Kamil Ibrahim untuk pelajar-pelajar tahun 6 dan ibu bapa mereka pada 6hb Ogos ini.

He… he…. saya bayar yuran untuk saya bercakap!

NotaMKI: Saya akan bercuti dan berada di Besut pada 6, 7 dan 8hb Ogos. Jemputlah saya untuk memberi ceramah di sekitar Besut dan Kelantan. InsyaAllah, saya akan hadir. Kosnya free.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(4) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Siapa di Sebalik PTS Previous entry: Berhati-hati dengan Formula Pengiraan Royalti yang Ditawarkan Penerbit Buku
Zayu Hisham  on  07/31  at  11:36 AM

Semoga Allah merahmati Tuan.Apa lagi perlu dikatakan….

Tengku Asmadi T. Mohamad  on  08/02  at  04:50 PM

Seorang insan yang patut dicontohi dan dikagumi.  Semoga Allah sentiasa merahmatinya.  Amin.

gundoruwo  on  08/03  at  02:56 AM

Assalamualaikum,

Gembira dan terhibur hati saya bila tahu ada insan yang berhati mulia seperti ini.

Semoga rezekinya terus melimpah ruah! Amin!

Admin KerjaKerajaan.com  on  08/03  at  11:31 PM

Terasa berbaloi memiliki semua koleksi karya beliau.

Manalah tahu, mungkin RM1 dari pembelian buku beliau dapat membantu adik kita yang masih buta huruf nun jauh di Besut.

InsyaAllah.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.