Bahasa Asing dalam Cerita: Prinsip Surah Yusuf
Isu bahasa asing dalam novel Melayu banyak terdapat dalam buku-buku yang diterbitkan, baik oleh DBP, apatah lagi oleh penerbit lain.
Sesetengah penerbit menerima unsur bahasa asing berdasarkan hujah bahawa itu adalah cermin keadaan sebenar. Pandangan ini adalah pandangan aliran realisme.
Menurut aliran realisme, jika dalam kehidupan sebenar sememangya watak yang digambarkan itu bercakap menggunakan bahasa Melayu bercampur Inggeris, maka dalam novel, dialog begitu boleh diterima.
Bagaimanakah sikap kita sebagai penulis dan editor terhadap unsur-unsur bahasa asing?
Di dalam surah Yusuf, seluruh kisah itu dituliskan dalam bahasa Arab Tinggi. Tidak terdapat ayat-ayat dialog yang bercampur aduk dengan unsur-unsur bahasa asing.
Dalam sudut pandang surah Yusuf, karya yang indah adalah karya yang ditulis menggunakan 100% bahasa tinggi. Justeru, kita tidak menerima ayat-ayat yang bercampur aduk dengan unsur-unsur bahasa basahan, bahasa pasar, ataupun bahasa slanga.
Jika saudara menulis novel, sekiranya ada watak bukan Melayu dalam cerita itu, bagaimanakah cara menyampaikan dialog watak-watak seperti itu?
Jangan tulis sebagaimana yang mereka ucapkan. Sebagai contoh:
a. “Lu sulah makan?” Ah Chong bertanya kepada Budin. (SALAH)
b. “Darling, it's okey bukan, kalau kita tak jadi kahwin?” kata Rozie kepada Amran. (SALAH)
c. “Ayah, happy birthday!” kata Mimi kepada ayahnya, melalui telefon. (SALAH)
Tulis semula dialog itu menggunakan bahasa Melayu Tinggi. Sebagai contoh:
“En. Budin sudah makan?” Ah Chong bertanya kepada Budin. (BETUL)
“Kekasihku, engkau tidak terkejut bukan, jika kita tidak jadi berkahwin?” kata Rozie kepada Amran. (BETUL)
“Selamat menyambut hari jadi, ayah,” kata Mimi kepada ayahnya, melalui telefon. (BETUL)
Adakah saudara lihat pada konteks ceritanya. Lihat contoh ini:
a. “Awak mahu limau?” tanya Ah Chong kepada Budin. “Rimau? Awak gilakah?” kata Budin. (BETUL)
b. “Tuan hendak ke mana?” gadis kaunter tiket itu bertanya kepada palancong Arab itu. “Betalin,” jawab si pelancong. Gadis itu terpinga-pinga. “Be-ta-lin!” lelaki Arab itu mula hilang sabar. Kemudian lelaki Arab itu mengeluarkan pen dan buku notanya lalu menuliskan “petaling” di atas kertas, barulah gadis itu sedar orang Arab tidak pandai mengucapkan sesetengah bunyi dalam bahasa Melayu. (BETUL)
Unsur bahasa asing yang menjadi isu pokok dalam cerita sahaja yang mesti dituliskan dalam cerita, dengan disertai penerangannya.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Bahasa dalam al-Quran menggunakan bahasa Arab tinggi, maka puan menyarankan sastera dalam bahasa Malaysia juga menggunakan bahasa Malaysia tinggi. Benar, bahasa asing dan bahasa basahan masuk dalam sastera kita berikutan perkembangan aliran realisme. Soalan saya, apakah panduan-panduan dalam Yusuf dan al-Quran amnya bersifat tetap dan tidak bersifat anjal (atau sejauh mana keanjalannya). Contohnya, adakah perubahan dalam bentuk (seperti kes penggunaan bahasa asing dalam karya)tidak harus berlaku walaupaun hakikatnya al-Quran itu diturunkan mengalahlkan segala sastera besar dan sastera Arab Jahiliah misalnya. Saya mohon keterangan bagaimana garis jelas pemisahan (jika ada) sastera yang dinamakan Islami itu dan sastera yang dinamakan balaghah itu? Maaf jika soalan saya berbelit. Saya sendiri rasa sukar menerangkan.
——-
Sdr Mohd Jimadie,
Terima kasih atas surat sdr ini. Inilah surat yang paling baik isi kandungannya yang pernah saya terima semenjak saya menulis dan bercakap berkenaan teori sastera Islami berdasarkan surah Yusuf. Jelaslah sdr seorang yang biasa berfikir pada peringkat konseptual dan teoritis.
Terus terang, isu-isu dan persoalan yang saudara kemukakan ini, saya pun belum ada pendapat yang konkrit!
Kelemahan saya yang utama adalah saya ini buta bahasa Arab. Kelebihan saya adalah latihan berfikir secara teoritis dan empiris yang pernah saya terima.
Saya mendapat semacam hunch bahawa jika kita berdua mencipta suatu discourse, maka banyak penemuan baru dapat kita perolehi berkenaan teori sastera Islami yang lebih konkrit.
Mohon saya diberi emel sdr supaya dapat saya menulis kepada sdr beberapa isu yang sedang saya fikirkan tetapi tidak mendapat jawabannya disebabkan saya buta Arab. Barangkali sdr dapat membantu saya menganalisis pola-pola keindahan pada struktur sintaks dan kosa kata surah Yusuf.
Terima kasih dan terima kasih.
Saya dapat dihubungi di .(JavaScript must be enabled to view this email address). Puan, saya bukan teoritis dan empiris tetapi saya sangat berminat dengan idea Sastera Islami yang diketengahkan.
Post a comment