Bahasa Blog
Kita menerima banyak emel di mana penulisnya juga memperkenalkan blog mereka.
Majoriti penulis emel itu berhasrat mahu mencari peluang menjadi editor di PTS, mahu menjadi penterjemah, dan paling banyak, mereka mahu PTS menerbitkan karya mereka.
Apabila Sifu buka blog mereka, apakah yang saya dapati? Mereka menulis menggunakan Bahasa Melayu Rendah. Pemikiran mereka rendah. Ejaan mereka salah. Tanda bacaan salah. Apakah persepsi saya tentang daya intelek penulis emel itu?
Apabila penulis emel itu mengaku bahawa dirinya adalah seorang penulis, ataupun seorang editor di sebuah rumah penerbitan, tetapi kualiti Bahasa Melayu yang digunakan di blognya tidak membuktikan dia seorang yang memiliki daya intelek tinggi, dia tidak mengamalkan disiplin penulisan yang tinggi, apakah persepsi pengunjung blognya terhadap karekter, diri dan profesionalismenya?
Dia mahu menjadi editor buku-buku PTS yang ditulis oleh pengarang-pengarang PTS yang memiliki kelulusan tinggi. Tetapi apabila saya baca apa yang ditulis dalam blognya, apa yang ditulisnya itu adalah perkara-perkara yang budak sekolah menengah pun tulis, dia menggunakan bahasa yang salah ejaan, tanda bacaan dan tatabahasanya, bagaimanakah dia fikir dia layak membimbing penulis-penulis PTS supaya meningkatkan mutu isi kandungan buku dan mutu bahasa mereka?
Jika saudara seorang penulis berkelulusan tinggi, beranikah saudara menyerahkan karya saudara supaya diedit oleh editor yang Bahasa Melayu di blognya begitu buruk?
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam…
Kelunturan dan kepudaran jiwa dan semangat budaya kemelayuan telah melanda. Banyak dari hasil karya dan penulisan penulis sekarang tidak lagi berseni dan berbudaya seperti dahulu. Bahasa melambangkan jiwa bangsa dan identiti sesuatu golongan itu, jika terhakis dan pudar maka hilanglah ia.
Penggunaan bahasa mudah di dalam blog ataupun jua budaya SMS banyak merosakkan identiti. Ini lama kelamaan mmengkaramkan budaya itu. Tiada lagi kata-kata yang berkias ataupun berseni, yang hanya ada adalah kata-kata yang lurus bak beluti…..
Nampaknya PTS mengikut ‘trend’ terkini dalam mengambil editor baru. Syabas Sifu!
Oh! tidak.
Setuju dengan Pn Ainon.
Cuma kadangkala istilah (term atau konsep) untuk sesuatu perkara teknikal (seperti komputer) itu amat susah diterangkan jika dialih bahasa. Ia sukar, tapi boleh dilakukan. Bukan malu jika didengar pelik, cuma maksud saya takut tidak sampai makna. (Misalnya, laman sesawang adalah website dalam Bahasa Inggeris.)
Semoga berjaya PTS.
Saya juga amat setuju dengan komen daripada DeKaN dimana terdapat susah diterangkan dan diberi penjelasan apabila dialih bahasa. Saya juga seorang lulusan program multimedia dan sememangnya penulisan tesis dalam Bahasa Melayu amat sukar jika dibandingkan Bahasa Inggeris.
Ketika membangunkan Aplikasi Pembelajaran Mudah Alih Keselamatan Jalan Raya pencarian maksud dan istilah Bahasa Melayu menjadi satu masalah besar. Contohnya, Soft Key Handler (Pemegang Kekunci Lembut). Soft key adalah satu butang yang mana berfungsi sebagai butang pilih atau kembali dan keluar pada sesebuah telefon bimbit.
Penggunaan frasa dan gaya penulisan tesis amat berbeza diantara blog dan tesis dan saya hanya menyedari hakikat itu apabila ditegur oleh pensyarah. Bagi Pihak PTS mungkin kesalahan tidak menulis menggunakan BMT ini boleh diketepikan selagi penulis tersebut betul-betul menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang penulisan kerana pada pengamatan saya hanya segelintir Orang Melayu ini menunjukkan minat dalam penulisan Bahasa Melayu.
Jika ada di antara pelajar IPTA disini sudah tentu mereka akan mengeluh apabila mencari artikel atau jurnal menggunakan Bahasa Melayu. Jika dalam bidang komputer pula jurnal Bahasa Melayu sudah ditahap kritkal dan hampir pupus penulis dan penerbitnya. Biasanya, kami dalam bidang ini mencari jurnal dan artikel terbitan universiti di Indonesia untuk merujuk penggunaan istilah dan frasa tertentu kerana bahan rujukan di Indonesia lebih banyak diterjemah berbanding Bahasa Melayu.
Jika Melayu tidak memartabatkan bahasa mereka sendiri siapa lagi?. Apa yang dihadapi oleh PTS sememangnya sukar bagi pihak PTS melayan kerenah mereka, juga menyulitkan pihak PTS untuk menerbitkan karya mereka. Tetapi, berilah mereka peluang untuk memartabatkan bahasa ibunda kita. Bijak pandai Korea pernah mengatakan, jika bukan kita, siapa lagi ? jika bukan sekarang, bila lagi ?. Saya percaya antara salah satu tujuan PTS ditubuhkan adalah untuk memartabatkan Bahasa Melayu bukanya semata-mata wang ringgit diberi keutamaan.
Wassalam, Semoga PTS terus berjaya dan maju kehadapan.
Pembetulan
—————
Saya juga amat setuju dengan komen daripada DeKaN dimana terdapat frasa dan istilah sukar diterangkan dan diberi penjelasan apabila dialih bahasa. Saya juga seorang lulusan program multimedia dan sememangnya penulisan tesis dalam Bahasa Melayu amat sukar jika dibandingkan Bahasa Inggeris.
Skali silap la pulak .. ehhehe..
Post a comment