Monday, May 29, 2006

Bahasa Realiti: Prinsip Surah Yusuf

Falsafah realisme sudah hampir 100 tahun bertapak, dan pengaruhnya semakin besar dalam dunia TV, dan ia disebarkan melalui produk-produk realiti show.


Ciri utama karya TV realiti kontemporari adalah produk-produk itu dihasilkan tanpa menggunakan skrip bertulis untuk dihafal dan ucapkan oleh watak-wataknya. Sebaliknya, skrip diserahkan bulat-bulat kepada apa-apa sahaja yang diucapkan oleh para pelakon. Maka terciptalah produk-produk realiti show itu.


Bagaimanakah posisi teori sastera Islami dalam isu bahasa aliran realisme?


Surah Yusuf diturunkan dalam bahasa Arab. Bahasa Arab yang digunakan dalam surah Yusuf itu mempunyai dua ciri utama:


1. Bahasa langgam tinggi
Langgam bahasa yang digunakan bagi menyampaikan kisah Nabi Yusuf itu adalah seluruhnya bahasa Arab Tinggi, baik bagi ayat-ayat naratif mahupun bagi ayat-ayat dialognya. Bahasa Arab langgam tinggi itulah yang menjadi bahasa penghuni syurga.


2. Bukan bahasa seharian
Meskipun langgam bahasa Arab dalam surah Yusuf itu difahami oleh orang-orang Arab waktu itu, tetapi langgam bahasa surah Yusuf itu bukan langgam bahasa Arab rendah yang dipertuturkan dalam kehidupan harian mereka. Dalam erti kata lain, sewaktu surah Yusuf diturunkan, orang-orang Arab pada zaman Nabi Muhammad tidak bercakap begitu dalam kehidupan seharian mereka. Bahasa Arab harian itu bukanlah bahasa yang digunakan di syurga nanti.


Teori sastera Islami memilih langgam bahasa tinggi, baik bagi menghasilkan ayat-ayat naratif mahupun ayat-ayat dialog. Inilah posisi yang menjadi pegangan teori sastera Islami pada saat kita berdepan dengan fahaman realisme dalam isu bahasa.


Jadi, langgam bahasa yang digunakan dalam dapur rumah, dalam kebun sayur, dalam kilang, dalam lagu-lagu rap, dalam TV realiti, di pasar-pasar malam, di supermarket, di coffeehouse, di kaki lima kedai, dalam teksi dan LRT, tidak diterima oleh teori sastera Islami.


Contoh bahasa rendah yang dihasilkan oleh pengarang yang menganut falsafah realisme:

“Fadzly? Ya Allah mama! Lelaki tulah yang duduk sebelah Yana dalam kapal terbang! Kami berbual panjang. Masa kami berbual, dia tiba-tiba je cakap yang dia sakit kepala. Serangan migrain katanya. Yana pun terus ke belakang dan cari pramugari bertugas. Yana ambilkan ubat painkillers untuk dia. Mungkin waktu Yana ke belakang tu, dia masukkan pistol dan bom ke dalam beg Yana.” Yana benar-benar terkejut. Dia tidak menyangka lelaki yang raut wajahnya begitu baik, sebenarnya seorang penjenayah.


“Itulah Yana. Lain kali bagi tau mama ke mana Yana nak pergi. Selamatlah wakil dari Syarikat Impiana Sdn Bhd telefon mama. Mereka yang kendalikan semua urusan untuk bebaskan Yana dari kes ni. Mmmmh... Syarikat Impiana tu nama syarikat agensi pelancongan yang uruskan percutian Yana ke Bali ke?” mama memandang tepat ke arah Yana. Mahukan kepastian.


Salah satu sikap pengarang yang menganut fahaman realisme itu dapat disimpulkan melalui hujah yang bunyinya begini, "Tapi itulah realiti. Memang orang Melayu bercakap begitu!"


Maka inilah posisi teori satera Islami: Teori sastera Islami tidak menjadi pengikut kepada realiti. Orang-orang yang berada di kaki-kaki lima bukan ahli bahasa, maka pengarang tidak selayaknya menjadi pengikut kepada bahasa pekaki lima.


Langgam bahasa yang digunakan dalam surah Yusuf itu bukan diangkat daripada langgam bahasa kaki lima.






 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Sastera Islami
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Ejaan Previous entry: Nama-nama Evergreen: Prinsip Surah Yusuf

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: