Wednesday, February 21, 2007

Bank Cina Lebih Yakin kepada PTS

PTS berkembang daripada kecil sehingga sekarang atas dukungan sebuah bank Islamik. Jadi kita amat terhutang budi kepada bank Islamik itu, khususnya kepada pengurus cawangan bank itu, di mana PTS membuka akaunnya dan meletakkan harta dan simpanan tetapnya sebagai cagaran bagi kemudahan yang digunakan.

Apabila lembaga pengarah PTS sebulat suara bersetuju membeli dua pintu kilang berderet di zon industri Batu Caves, kita memohon dukungan bank Islamik itu.

Maka wakil bank itu telah datang ke premis PTS bagi memeriksa kesahihan maklumat tentang status bisnes PTS.

Selang beberapa lama, kita dimaklumkan bank tersebut tidak berani memberi pembiayaan penuh. Ini bermakna PTS perlu mengeluarkan wang tunai RM600 ribu sebagai bayaran antara harga kilang dan kos guaman, dengan jumlah pembiayaan yang dapat diberikan oleh bank Islamik itu.

Dengan kos berpindah dan mengubahsuai kilang kosong itu yang dianggarkan RM200 ribu, ini bermakna PTS memerlukan RM800 ribu tunai, kalau mahu masuk bangunan milik sendiri.

Kemudian kita pergi ke sebuah bank Cina. Pegawainya segera datang, dan selepas melihat betapa sibuknya operasi PTS, on-the-spot pegawai Cina itu memberitahu, bank beliau sanggup memberi pembiayaan penuh.

Ini bermakna PTS hanya memerlukan kos berpindah RM200 ribu, suatu jumlah yang mampu disediakan oleh ahli-ahli lembaga pengarah PTS.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Pengurusan Syarikat
(28) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Awalan 'di' Previous entry: 'macam mana'
Kang  on  02/21  at  01:46 PM

Jadi, di mana, sejauh mana kebenaran kata-kata karut, “Kayakan Cina?” Juga sejauh mana kebenaran kata-kata, “Tolong Melayu” atau, “Bantu Islam”?

Sesiapa yang pernah berurusan dengan Pusat Islam Kuala Lumpur setuju bahawa berurusan dengan Cina lebih mudah dan menguntungkan kedua-dua belah pihak.
——-

Puan Ainon Mohd.  on  02/21  at  01:58 PM

Tun Dr. Kang, (Tidak lama lagi sdr tidak dibenarkan menggunakan nama samaran ‘Dr’ lagi!)

Kata bisnesman Cina, “Everybody must make money, maaa…”

Itulah falsafah Cina berniaga. Kalau dia boleh buat duit dengan kita, dia akan buat bisnes dengan kita.

Cina bukan peduli kita ini Jawakah, Kedahkah, Kelantankah. Terbit buku Inggeriskah. Terbit buku Melayukah. Terbit buku cabulkah.

Cina bukan hendak tahu siapa Chairman syarikat. Siapa pemilik saham syarikat. Perempuankah. Lelakikah.

Cina tidak peduli apa yang kita buat. Dia cuma hendak buat duit!

“Everybody must make money, maaa…” itulah pesan mentor saya kepada saya. “Go make your money, so you can pay me!”

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/21  at  02:02 PM

Berapi kali ini puan. Buat malu orang Islam sahaja bank Islamik itu!

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/21  at  05:11 PM

Assalamualaikum,

Betullah, bank Cina lebih berani tanggung risiko, lebih pandai melihat peluang, lebih bijak membuat membuat keuntungan. Tetapi bagaimanakah kita boleh membantu orang Islam supaya berubah dan bijak bertindak…?

dingin  on  02/21  at  05:24 PM

Tahniah sifu,

Kerana Bank Islam itu sanggup juga memberi pembiyaan, biar pun tidak penuh. Ini adalah satu kejayaan yang besar.

grin

Puan Ainon Mohd.  on  02/21  at  10:42 PM

Sdr Dingin,

Bagi bank Islamik itu, apabila PTS menerima tawaran baripada bank Cina, bank Islamik itu tidak dapat apa-apa bisnes daripada pembelian kilang PTS itu. Satu sen pun tidak dapat. Jadi, tidak ada kejayaan bagi bank Islamik itu. Malah bank itu gagal buat bisnes.

Bank hidup dengan membiayai pelanggan. Kalau bank tidak meminjamkan duitnya kepada pelanggan, bank rugi, sebab bank mesti bayar pendepositnya dalam bentuk riba, faedah, dividen, yang dikira ikut hari!

Jadi bank tidak boleh simpan duitnya cantik-cantik dalam peti besinya. Duit bank mesti bekerja, kalau tidak bagaimana bank hendak bayar faedah para pendeposit.

Itu sebab pada masa ini ada sebuah bank Cina yang tidak mahu ambil fix deposit lagi, sebab dia mesti bayar faedah bagi setiap ringgit yang diterimanya. Bank itu sudah cukup banyak duit yang mesti diperniagakannya, sebab orang ramai sangat suka menyimpan duit di bank itu.

Itu sebab, apabila pasaran kereta merudum, dan orang ramai tidak pinjam duit bagi membeli kereta, bank-bank tempatan pening kepala, lalu mereka sibuk menawarkan pinjaman peribadi pula.

Ramai orang terima surat bank memberitahu mereka ditawarkan pinjaman, tinggal isi borang penerimaan sahaja, dan duit itu akan dimasukkan ke dalam akaun mereka.

Mengapakah bank-bank begitu baik hati, kita tidak minta, dia tawarkan pinjaman peribadi?

Sebab cara bank hidup adalah dengan pinjam duit kita, bayar kita kadar faedah rendah, kemudian pinjamkan duit kita itu kepada orang lain, kenakan kadar yang lebih tinggi!

Bank yang berjaya adalah bank yang banyak buat duit dengan cara meminjamkan duit kepada pelanggan yang mampu membayar balik hutangnya. Bukan bank yang banyak simpan duit pendeposit duduk diam-diam dalam peti besinya.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/22  at  12:08 AM

Maka benarlah satu pepatah arab menyebut `kepada anjing, siapa yang memberi tulang maka dialah tuan`. Mungkin pepatah tersebut agak kasar bunyinya tetapi itulah hakikatnya kita sebagai manusia yang lemah.

Andai kata pinjaman tersebut diluluskan nescaya akan dipuji-pujilah kebaikkan bank islam tersebut.

Wahai saudara-saudaraku yang di kasihi.. marilah kita sama-sama bertaubat dan kembali kepada Allah serta bersyukur atas nikmat-nikmat yang telah di berikannya melimpah ruah kepada kita selama ini dan bersikap qanaah lah kerana Allah lebih mengetahui apa yang baik dan apa yang tidak untuk.

Jika dapat, bersyukurlah.. jika tidak redholah. Mudah-mudahan kita tidak di masukkan dalam golongan orang-orang yang lalai. Wallhualam.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/22  at  12:14 AM

Memang kita akan banyak mendapati pelbagai birokrasi dan macam-macam bila “orang kita” buat urusan dengan bank. Ada sesuatu yang perlu kita perbetulkan.

Tentang kepercayaan etc kata Usman Awang “meski telah memiliki telaga, tangan masih memegang tali, sedang orang mencapai timba, berbuahlah pisang tiga kali, Melayu itu masih bermimpi”

Sesiapa yang pernah berniaga sendiri, dipermiankan, menyogok, disogok, itulah antara sifat yang paling hina yang perlu dibuang.

Kalau kita sendiri tidak boleh menampilkan kita sebagai yang hebat dan terbilang, orang lain pun tidak boleh hendak kata kita hebat. Jadi macam mana, ya.

alang kelana  on  02/22  at  12:36 AM

Assalamu’alaikum Puan Sifu,

Mungkinkah pegawai bank Islamik itu gagal melihat di sebalik ‘keserabutan’ (memanglah nampak kelam kabut sebab operasi sibuk..) lokasi PTS? Sedangkan pegawai bank China itu dapat menafsir bahawa ‘keserabutan’ dan kesibukan itu mencerminkan bisnes yang maju dan mempunyai potensi tinggi.

Mungkinkah pegawai bank Islamik itu lebih kepada teori tanpa pengalaman praktikal sedangkan pegawai bank China itu lebih berpengalaman di dalam menilai potensi bisnes?

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/22  at  12:38 AM

Saya juga mempunyai pengalaman mengharukan bila berurusan dengan bank islamik ini, kadang saya terfikir betapa kita ingin mengelak riba tetapi betapa berat ‘azab’ yang terpaksa dipikul. Kalau diikutkan ‘profit rate’ mereka tetap tinggi malah lebih tinggi daripada bank konvensional.

Mereka tetap sebuah bank yang memperdagangkan duit untuk keuntungan. Mereka tutup cara itu dan gali cara lain untuk ‘memeras’ pelanggan. Cubalah kaji sistem kewangan Islam di negara kita dan jika saudara dan saudari membuat pinjaman perumahan cara Islam cthnya akan tahu bagaimana. Pinjaman perniagaan apa tah lagi kan?

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/22  at  02:17 AM

Memanglah, hendak buat benda baik dan halal memang payah. Berniaga dengan Cina senang, tidak kira halal haram. Main sapu sahaja semua.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/22  at  04:02 AM

Assalamualaikum…

Saya adalah salah seorang daripada ribuan umat Islam yang ingin mengelak daripada terlibat daripada sistem riba. Dengan itu, saya telah membuat pinjaman untuk membeli rumah.

Namun apabila dikira kembali, kadar keuntungan yang dibuat oleh bank Islamik tersebut jauh lebih tinggi daripada bank konvensional yang menggunakan sistem riba.

Untuk mengelak daripada ditafsirkan sebagai riba, bank itu telah membeli harta yang ingin dimiliki oleh seseorang dan setelah dikira segala keuntungan yang dijangkakan mengikut tempoh tertentu, bank itu menjual pula kepada si pembeli dengan menaikkan harga belian sehingga 2.5 kali ganda.

Itulah sistem bank islamik cara Malaysia boleh.

Ingatkah anda satu kes yang melibatkan seorang pembeli rumah dengan sebuah bank yang mengamalkan sistem islamik cara malaysia boleh ini?

Sudahlah rumahnya jatuh ketangan bank, dia pula perlu membayar harga keuntungan yang ditetapkan oleh bank.

Hakim bukan Islam yang mengadili kes tersebut berkata, “Inikah yang dikatakan sebagai sistem islamik? Saya rasa ia lebih zalim daripada sistem riba.”

Si mangsa terpaksa membayar juga hutangnya kepada bank kerana telah termaktub didalam surat perjanjian jual beli yang telah ditandatanganinya.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/22  at  04:34 AM

Saudara Yusri,

Ya itu adalah salah satu sesi penghakiman yang paling bersejarah. Bagaimana jika membuat pinjaman secara Islam bagi rumah contohnya 100k perlu membayar 2.5 kali ganda dari jumlah yang dipinjamkan. Ini amat membingungkan dan bersikap kejam lagi menzalimi berbanding sistem perbankkan konvensional.

Pemikir Agung jika saudara berada dalam situasi tersebut pasti saudara faham bagaimana, apa yang islamiknya.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/22  at  04:48 AM

Puan Sifu,

Pada pandangan saya, perbankan Islam ini mengambil kesempatan dari isu halal dan haram yang menguasai kebanyakan umat Islam di Malaysia. Jadi, mereka tawarkan sebanyak mungkin produk halal yang diperakui syariah supaya umat Islam boleh buat pilihan.

Niat untuk membantu orang Islam dari segi kemudahan kewangan dah jadi agenda tersembunyi.


Wallahu’alam.

dingin  on  02/22  at  05:06 AM

Setuju sifu,

Cuma pada kebiasaannya bank islamik itu tidak akan meluluskan pinjaman kepada bumiputra. hehehe

Fable Fox  on  02/22  at  05:26 AM

Alhamdulillah, saya gembira masalah ini telah pun selesai. Hidup PTS (tengah letih bertukang rumah ni, baru sahaja punggah pasir guna kereta tolak…)

Puan Ainon Mohd.  on  02/22  at  06:04 AM

(1) Saya sekarang menggunakan kemudahan overdraf peribadi RM70 ribu daripada sebuah bank konvensional. Jika saya gunakan RM20 ribu maka riba dikenakan ke atas RM20 ribu itu sahaja.

Jika saya tidak gunakan langsung, 1 sen pun saya tidak dikenakan riba.

Jadi, sampai hari ini, overdraf saya itu ‘stand-by’ sahajalah, manalah tahu, jika ada kecemasan, maka baru ia akan saya gunakan.

(2) Disebabkan saya hendak overdraf yang halal, saya pernah pergi ke sebuah bank Islamik. Pegawai bank itu memberitahu saya banknya boleh beri saya RM100 ribu overdraf. Bagus! No problem.

Kemudian saya tanya apa syaratnya. Beliau memberitahu, saya akan diminta melafazkan ‘akad’. Dalam akad itu, saya bersetuju bahawa setiap bulan saya akan dikenakan ‘faedah’ ke atas RM100 ribu itu, meskipun jika saya tidak gunakan walau RM1 overdraf itu!

Puan Ainon Mohd.  on  02/22  at  06:09 AM

(3) Saya pernah pergi ke sebuah bank Islamik sebab saya hendak membeli rumah (nak tambah harta kononnya).

Harga rumah itu yang hendak saya beli itu RM150 ribu.

Apabila sampai di bank, saya diberitahu oleh pegawai bertugas bahawa, bank Islamik itu akan beli rumah itu daripada pemaju. Kemudian bank itu akan jual rumah itu kepada saya dengan harga lebih kurang RM400 ribu.

Saya akan bayar setiap bulan harga belian RM400 ribu itu sampai saya pencen (15 tahun lagi akan pencen, waktu itu saya masih bertugas di DBP).

Kemudian saya bertanya kepada pegawai bank itu, katakanlah dalam masa 2 tahun kemudian, saya kahwin dengan jutawan, jadi tentulah saya ada cukup wang untuk bayar ‘hutang’ saya sepenuhnya, berapa saya kena bayar?

Pegawai itu memberitahu, saya kena bayar RM400 ribu juga, sebab jumlah itu sudah diakadkan!

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/22  at  06:20 AM

Puan Sifu,

Itulah yang saya maksudkan ‘betapa indahnya’ Islamik bank di negara kita.

Bila kita punya duit dan ingin membuat penyelesaian awal bezanya tidak banyak sebagaimana kita membuat pembayaran lambat untuk tempoh yang diakadkan. Siapalah yang buat sistem cara ini saya hendak luku-luku kepalanya.

Puan Ainon Mohd.  on  02/22  at  06:34 AM

Saudara MAL,

Saya yang telah tidak jadi membeli rumah itu, apabila terkenang, sakit hati saya tidak habis-habis.

Bayangkan, harga rumah itu RM150 ribu sahaja. Dua tahun kemudian bank Islamik itu paksa saya bayar RM400 ribu.

Kalau saya tidak mahu bayar, bank akan tarik rumah itu, dan tarik saya ke mahkamah. Mahkamah tidak boleh buat apa, sebab dalam kontrak yang saya tandatangani (akad) saya sudah setuju dengan terma-terma yang tertulis dalam dokumen itu.

Nasib baik, saya seorang yang banyak bertanya. Jadi saya mendapat tahu ‘kezaliman tersembunyi’ itu. Lalu saya hilang mood langsung hendak membeli harta tambahan. Maka terselamatlah saya daripada skim penyamun tarbus Islamik itu.

Bayangkan, berapa banyak peminjam lain yang main sain sahaja, maklumlah, siapa sangka sebuah bank Islamik, boleh melakukan perkara seperti itu.

Pelik, tetapi benar. Bandingkan skim pinjaman perumahan bank Islamik dengan skim bank konvensional.

Apabila dibandingkan dengan skim pinjaman perumahan bank-bank Yahudi sekalipun, skim bank Yahudi adalah lebih ‘berperikemanusiaan’. Jika peminjam hendak melangsaikan hutang rumahnya lebih cepat, maka bank Yahudi (di KL banyak bank Yahudi) mengurangkan riba yang dikenakan. Makin cepat pinjaman itu dibayar balik, makin turun riba’nya.

Saya ada membaca kitab ulama yang mengatakan, termasuk riba’ (usury) adalah keuntungan yang berlebihan.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/22  at  07:22 AM

Merujuk komen Puan Ainon no. 18 di atas.

Saya dan isteri pernah membuat pinjaman dari sebuah bank Islam. Rumah kami yang harga belian dari pemaju RM210K di’akad’kan kepada RM500 untuk 20 tahun.

Apabila kerajaan menaikkan kadar had pinjaman perumahan kepada kakitangannya, isteri saya (seorang pegawai kerajaan) telah membuat pinjaman perumahan kerajaan. Kami hanya perlu membayar bank berkenaan sekitar RM150K sahaja walaupun di’akad’kan sebanyak RM 500K sebelum itu.

Ada terma “bergantung kepada budi bicara bank” ketika kami menandatangani perjanjian pinjaman sebelum itu.

Berkenaan overdraf, tidak dinafikan overdraf secara Islam agak sukar diperolehi. Saya telah memohon, tetapi sehingga ini masih “dalam proses pertimbangan”.

Kata pegawai bank itu kepada saya,“Kalau hendak overdraf konvensional, mudah sikit…”. Saya tekankan kepadanya, saya masih hendak cara Islam. Kalau mereka tidak luluskan pun tidak apalah…

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/22  at  07:39 AM

Salam

Puan, saya pernah bertanya kepada beberapa orang pakar perbankan dan kewangan dari Timur Tengah termasuk yang juga menjadi penasihat shariah kepada Dow Jones Islamic Index, etc.

Ramai daripada kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan beberapa tools perbankan Islam di Malaysia. Mereka berkata ada antara tools itu seolah-olah cuba menghalalkan riba dengan kaedah yang dinamakan Islamik.  Wallahu’alam.

Puan Ainon Mohd.  on  02/22  at  09:04 AM

Tuan Abu,

Saya juga pernah bercakap-cakap dengan seorang tokoh perbankan (beliau pernah memiliki saham minoriti dalam salah sebuah bank Islamik, kini beliau sudah jual sahamnya itu).

Menurut beliau ada tools perbankan Islam yang digunakan di Malaysia tidak diiktiraf sebagai Islamic oleh ulama di Quwait. (Beliau pernah ke Quwait atas urusan mencari fatwa tentang tools perbankan Islamic. Barangkali kerana itu beliau kemudian menjual sahamnya dalam bank Islamik itu…)

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/23  at  12:42 AM

Jika begitu keadaannya tolong jangan sebut bank itu sebagai bank Islamik. Sebut saja BANK BERTOPENGKAN ISLAM supaya nama Islam tidak tercemar dengan pelbagai label yang saudara-saudara sedang kempenkan sekarang, supaya makhluk-makhluk lain yang kurang cerdik tidak berterusan melabel Islam dengan pelbagai gelaran yang tidak sesuai - seperti Islam militan, Islam sederhana, Islam hadhari, Islam ortodoks dan entah apa-apa lagi.

Islam itu hanya satu dan ianya paling sempurna. Jika terdapat kecacatan di dalam sesuatu hal berkaitan Islam (bank islamik contohnya) maka yang cacat itu manusia yang mengendalikannya.

Boleh jadi seorang yang jahil, boleh jadi seorang yang munafiq ataupun boleh jadi juga seorang kafir yang memakai songkok.

Wallahualam.

Puan Ainon Mohd.  on  02/23  at  01:15 AM

Tuan Saifuddin

Saya petik: “Ada terma “bergantung kepada budi bicara bank” ketika kami menandatangani perjanjian pinjaman sebelum itu.”

Faktor “bergantung kepada budi bicara bank” ini luar biasa dimasukkan dalam dokumen sebab ia tidak membolehkan pelanggan mempersoal, walaupun dalam mahkamah, apa jua keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh pegawai bank yang diberi kuasa budi bicara itu!

Bank mesti mempunyai SOP (standard operating procedurs) yang tepat dan ketat, bagi mengawal kemungkinan rasuah dan penyalahgunaan kuasa para pegawai bank itu.

Hmm…

Page 1 of 2 pages  1 2 >

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.