Benarkah DBP Membayar Royalti Penuh Walaupun Buku Tidak Laku?
Ruangan "Godam" Berita Harian semalam menyiarkan sebuah artikel yang mendakwa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membayar royalti penuh walaupun buku-buku itu tidak laku?
Amalan begitu pernah dilakukan oleh DBP sehingga akhir tahun 70-an dahulu. Malah dulu-dulu banyak kes berlaku di mana buku belum dicetak, royalti sudah dibayar kepada penulis. Dan banyak berlaku, sampai akhir buku-buku yang dibayar royaltinya tidak pernah dicetak!
Jika perkara seperti itu benar masih diamalkan oleh DBP, ia boleh mendorong banyak kesan sampingan negatif, khususnya amalan kong-kali-kong antara pegawai DBP dan penulis.
Umpamanya, pegawai penerbitan DBP yang mahu memberi banyak royalti kepada kroninya boleh membuat keputusan mencetak banyak (sebagai contoh 5,000 naskhah) walaupun buku jenis itu tidak laku dalam pasaran.
Jika royaltinya adalah RM2.00 setiap naskhah, jumlah yang akan dibayar oleh DBP kepada penulis adalah RM10,000-00.
Ia boleh menggalakkan pegawai-pegawai penerbitan DBP membuat keputusan yang tidak profesional sewaktu menentukan jumlah cetakan buku-buku di bawah seliaannya.
Sebelum ini ruangan sastera dalam Utusan Malaysia menyiarkan keluh kesah sasterawan Sharif Putera yang mengadu bukunya diterbitkan 5000 naskhah oleh DBP, tetapi cuma 1 naskah yang terjual.
Jadi kita tertanya-tanya, benarkah DBP masih mengamalkan pembayaran royalti penuh berdasarkan jumlah dicetak, bukan jumlah buku terjual?
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment