Berani Kerana Tidak Masuk Tender Kerajaan
Kita menerima beberapa SMS daripada rakan-rakan yang prihatin dan bertanyakan mengapa saya menulis entri-entri berkenaan gosip-gosip tentang banyak perkara tidak betul dalam pengurusan kontrak perbekalan keperluan sekolah di kementerian pelajaran, sedangkan saya seorang bisneswoman.
Mereka bertanya apakah perkara itu nanti tidak menyebabkan kesan buruk ke atas bisnes PTS sendiri memandangkan PTS adalah penerbit buku-buku yang relevan dengan keperluan guru-guru dan sekolah.
Ada juga yang menyindir apakah saya menulis entri-entri itu disebabkan PTS tidak mendapat sebahagian daripada kontrak-kontrak kementerian pelajaran yang saya sebut itu.
Bagi maklumat tuan-tuan dan puan-puan yang setia setiap hari mengunjungi blog peribadi saya ini, dimaklumkan bahawa PTS tidak masuk apa-apa tender kerajaan, baik tender kementerian pelajaran ataupun mana-mana kementerian dan jabatan lain.
PTS adalah sebuah rumah penerbitan yang amat komersial. PTS menerbitkan buku-buku tradebooks untuk dijual melalui kedai-kedai buku seperti MPH, KINOKUNIYA, POPULAR, BORDERS dan lain-lain. Kita tidak masuk tender kerajaan disebabkan dasar perniagaan PTS adalah "perniagaan bebas-rasuah".
Para kontraktor buku membeli buku-buku PTS yang mereka bekalkan kepada projek-projek perpustakaan awam. Mereka adalah ahli-ahli Persatuan Kontraktor Buku Bumiputera.
Mereka yang mendapat tender perbekalan buku terdiri daripada 3 kategori: (a) Syarikat yang pemiliknya adalah penyokong UMNO dan BN. (b) Syarikat yang menggunakan nama-nama Melayu sebagai muka depan. (c) Syarikat yang aktivitinya tiada kena mengena dengan buku, malah boleh dikatakan aktivitinya dubious.
Kita tidak mempunyai bukti sohih tentang gosip-gosip yang saya tuliskan itu, jadi kita tidak tahu sejauh mana ia benar. Kita hanya melaporkan bahawa gosip-gosip itu ada, dan ia merebak luas dari-mulut-ke-mulut di kalangan komuniti bisnes.
Jika gosip-gosip itu adalah fitnah, menteri pelajaran hendaklah mempertahankan nama baiknya, nama baik pegawai-pegawai tertinggi di KPM yang rapat dengannya, dengan cara dia sendiri memanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya masuk ke kementeriannya dan menjalankan siasatan.
Adalah menjadi tugas BPR menyiasat dan mencari bukti-bukti sohih itu, jika ada, ada. Jika tidak ada, BPR nanti akan melaporkan kepada rakyat bahawa siasatannya mendapati gosip-gosip itu tidak benar, dan dengan itu nama baik menteri pelajaran dibersihkan.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Takbir! Allahu Akbar..
hehe..
Puan dah boleh masuk dunia politik berdasarkan entry-entry yang menghentam penyalahgunaan pemberian tender kontrak, dan berani menyebut nama-nama menteri yang terlibat. Salute!
Puan, selamat berjuang. Semoga berjaya dalam memberi kesedaran dan menegakkan kebenaran.
Post a comment