Tip Survival Penerbit: Formula Diskaun untuk Pengedar dan Kedai Buku
Dalam perniagaan, semua pihak yang berniaga dengan kita adalah rakan niaga kita. Justeru, kita bertanggungjawab membantu mereka semua supaya survive.
Survival bisnes penerbitan buku bergantung kepada jumlah kedai-kedai buku di seluruh negara. Semakin banyak jumlah kedai buku, semakin banyak buku terjual, semakin besar pasaran buku.
Sebagai penerbit, kita semestinya membantu para pengedar, agen dan kedai-kedai buku supaya bisnes mereka untung dan berkembang maju. Apabila bisnes mereka untung mereka dapat membayar hutang kita. Apabila bisnes mereka berkembang mereka akan menjual lebih banyak buku kita.
Pengedar, agen dan kedai-kedai buku yang mengedarkan dan menjual buku-buku kita perlu hidup, sebagaimana kita juga perlu hidup. Justeru kita perlu memberikan kadar diskaun yang membolehkan semua rakan niaga kita hidup. Kalau agen-agen kita tutup bisnes, bisnes kita pun akan terpukul.
Diskaun yang membolehkan semua pihak survive adalah 35%. Diskaun yang melebihi 35% pasti akhirnya membunuh penerbit.
Semasa penerbit masih kecil, memang diskaun 40-50% masih dapat kita tanggung, sebab sebagai syarikat kecil, kos kita juga kecil. Tetapi apabila bisnes kita semakin besar, kos kita juga meningkat semakin besar sebab kita perlu memberi pelbagai 'perks' kepada para pekerja, seperti EPF, SOCSO, insurans kesihatan, elaun perbatuan, dan macam-macam kos yang kita tanggung.
Sebagai penerbit, kita jangan membunuh bisnes kita sendiri dengan memberi diskaun yang tidak rasional. Apabila penerbit tutup bisnes, semua agen, pengedar dan kedai buku akan terkena pukulannya kerana bisnes mereka bergantung pada buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit.
Berikan diskaun antara 35-37% kepada agen yang membeli minimum RM2 ribu sekali pembelian, dan dia mesti membayar tunai on-the-spot, tidak ada tangguh-tangguh.
Berikan diskaun 40% hanya kepada agen yang membeli buku kita melebihi RM200 ribu setahun.
Bagi agen yang membeli lebih daripada RM1 juta setahun, maksimum diskaun adalah 45%.
Nota: Foto hiasan di atas adalah Pustaka Habibi salah sebuah agen PTS yang baik.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Puan,
Saya setuju dengan struktur diskaun (tentunya amalan PTS ) yang puan coretkan, akan menguntungkan semua pihak termasuk pengguna. Telah menjadi amalan tidak rasmi pengedar untuk memberikan diskaun 10 peratus kepada pengguna termasuk sekolah.
Bagaimanapun, saya teringat kepada struktur diskaun yang diberikan DBP kepada pengedarnya dahulu. Saya tidak pasti sama ada puan sedar atau tidak bahawa diskaun yang kami terima ialah antara 40 hingga 55 peratus.
Diskaun bagi pesanan yang kurang 50 naskah untuk buku kategori komersial ialah 40 persen dan 45 persen bagi buku kategori sosial. Apabila memesan antara 51 hingga 100 naskah diskaun bertambah kepada 45 persen untuk buku kategori komersial dan 50 persen untuk sosial. Begitulah sehingga menjadi 50 dan 55 persen apabila membuat pesanan melebihi 101 naskah. Lumayan bukan ?
Atas faktor itu dan dengan senarai buku yang panjang sepatutnyalah, pengedar-pengedar DBP dapat membuat fokus kepada buku DBP. Tapi sebaliknya yang berlaku. Beralasankan buku DBP tiada nilai kormersial, kononnya buku DBP susah dijual. Sebenarnya, bagi saya, sebahagian besar mereka sudah `boroi dengan wang komisyen buku teks` yang jumlahnya ratusan ribu.
Kesal, kerana sekalipun disuap diskaun yang begitu tinggi mereka sentiasa bersungut dan merenget bila berurusan dengan DBP. Sepatutnya diskaun sebegitu besar menjadi dorongan kepada mereka `untuk mengosongkan` stor DBP.
Kini, setelah diswastakan, semua pengedar terpaksa menerima diskaun yang lebih rendah daripada yang puan sebutkan jika ingin memesan atau untuk mempromosikan buku DBP.
Diskaun 25 persen yang mereka tawarkan memang tidak berdaya maju malah tidak masuk akal. Terlihat banyak pengedar dan kedai buku seakan tidak memperdulikan buku DBP. Saat ini teringat kembali saya kepada entri puan dahulu yang mengambarkan tenatnya nasib seorang pengarang apabila hanya senaskah sahaja bukunya terbitan DBP yang terjual.
..........................
Respon SifuPTS: Tuan Adnan yang dimuliakan,
Dulu-dulu, DBP mampu memberikan diskaun sehingga 55% disebabkan DBP tidak membayar gaji kakitangannya. Gaji dibayar oleh kerajaan (wang rakyat). Itu yang memboelhkan harga buku DBP relatif sangat murah. Meskipun demikian, seperti yang tuan sebut itu, buku-buku DBP tidak laku, melainkan yang laku adalah buku-buku teks sahaja.
Banyak faktor mengapa buku-buku DBP tidak laku keras, bukan disebabkan satu ataupun dua faktor.
Pada masa ini, semenjak penswasaan DAWAMA, angka jualan buku-buku terbitan DBP sangat mengaibkan. Macam-macam keluhan dan cerita kita dengar berkenaan DAWAMA….
Post a comment