Wednesday, February 07, 2007

Berfikir di Luar Kotak: Bila Kemahiran itu Patut Diajarkan

Sewaktu Perdana Menteri mengumumkan PIPP (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan), sekali lagi beliau mengulang kata-katanya bahawa rakyat Malaysia perlu berfikir di luar kotak. Maka beliau mahukan dengan adanya PIPP itu kerajaan dapat menjadikan pelajar-pelajar Malaysia berfikir di luar kotak.

Setiap bidang kepakaran mencipta 'kotak-kotak'-nya sendiri. Jurutera mempunyai kotak-kotak dalam profesion mereka. Arkitek mempunyai kotak-kotak mereka sendiri. Penerbit buku mempunyai kotak-kotak mereka sendiri.

Apabila kita diajar "cara yang betul" membuat lasagna, maka apa yang kita pelajari itu menjadi 'kotak' kita. Kalau kita tidak pernah tahu apa itu lasagna dan bagaimana cara yang betul membuatnya maka kita tidak ada kotak lasagna dalam kepala kita. Oleh itu kita tidak akan dapat mencipta resipi membuat lasagna cara baru.

Kotak-kotak dalam kepala kita ini tercipta daripada pengetahuan yang kita pelajari. Kalau kita belajar ilmu kujuruteraan maka kita akan mempunyai kotak-kotak dalam bidang itu. Seorang doktor tidak akan terperangkap dalam kotak jurutera.

Kita tidak dapat menyuruh orang berfikir di luar kotak melainkan orang itu mempunyai ilmu dan maklumat dalam sesuatu bidang yang berkaitan kotak itu. Kalau kita mahu bangsa Melayu mencipta idea-idea saintifik, pertama-tama orang Melayu yang disuruh mencipta idea-idea sains itu mestilah seorang saintis.

Jika kita mahukan idea-idea baru dalam bidang kejuruteraan, hanya orang yang memiliki maklumat dalam bidang kejuruteraan sahaja yang dapat mencipta idea-idea baru itu.

Jika PIPP mahukan melahirkan saintis-saintis yang pandai berfikir di luar kotak, yang pandai mencipta idea-idea baru, langkah pertama adalah melahirkan saintis-saintis itu dahulu.

Pakar-pakar psikologi sudah bersetuju bahawa apa yang dikatakan 'general kreativiti' itu tidak wujud. Kreativiti sentiasa berlaku dalam bidang-bidang spesifik. Hanya ahli muzik yang dapat mencipta idea-idea kreatif dalam bidang muzik. Hanya ahli komputer yang pandai mencipta komputer jenis baru.

Perlukah budak-budak sekolah diajarkan teknik-teknik berfikir keluar kotak? Mereka mahu diajar keluar daripada kotak apa?

Sekolah mengajarkan ilmu sains, dengan itu ia melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai pengetahuan sains. Selepas seseorang itu menjadi saintis barulah dia dapat berfikir di luar kotak-kotak sains yang ada.

Sistem pendidikan kita mesti melahirkan jumlah saintis Melayu yang ramai supaya mereka dapat mencipta idea-idea saintifik baru.

Ilmu pengetahuan sains adalah tepung yang akan diuli bagi menghasilkan pelbagai kuih-muih sains oleh si saintis. Kalau otak orang Melayu kosong sains, tepung apa yang mahu diulinya?

Pada fasa persekolahan, yang penting dimasukkan ke dalam otak budak-budak Melayu adalah ilmu-ilmu sains. Ilmu-ilmu sains itulah yang membolehkan mereka menjadi saintis yang kreatif, yang dapat dilatih berfikir di luar kotak-kotak sains yang ada.

Di seluruh dunia, statistik menunjukkan 95% pelajar sekolah luar bandar tidak dapat menguasai bahasa asing, oleh itu mereka tidak dapat membaca bahan-bahan sains yang tertulis dalam bahasa asing.

Jadi, demi membantu budak-budak Melayu luar bandar, kita mesti menerbitkan banyak bahan-bahan sains dalam Bahasa Melayu. Kalau maklumat sains tersimpan dalam buku Inggeris, nanti tinggallah Bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar bagi bahan-bahan yang membahayakan otak orang Melayu.

Tanpa buku-buku sains dalam Bahasa Melayu, yang ada bagi bacaan budak-budak Melayu adalah sampah sarap, umpamanya cerita-cerita tahyul, maka mereka akan menjadi ahli tahyul yang kreatif, yakni mereka akan pandai mencipta lebih banyak idea-idea tahyul.

Kita mesti sumbat otak budak-budak Melayu sampai penuh sesak dengan ilmu-ilmu sains. Dengan izin Tuhan, apabila mereka sudah pakar ilmu sains, kita dapat mengajar saintis-saintis Melayu kita itu teknik-teknik berfikir di luar kotak. Kursus 1 hari pun sudah memadai.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Isu Semasa
(11) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Ejaan 'keluar' dan 'ke luar' Previous entry: Perceraian Korporat DBP-Karangkraf: Bagaimana DBP Terlupa Bertanyakan Soalan Maut kepada Pucuk Pimpi
fudzail  on  02/07  at  11:26 PM

Assalammualaikum wrt
Puan SifuPTS

Tiga kali saya membaca entri ini. Setiap kali, membangkitkan semangat bercampur marah dan geram terhadap mereka yang masih berkokok ‘di bawah tempurung’ (bukan kotak) dengan mempertahankan pengajaran subjek sains dan matematik.

Saya kehilangan kata-kata.
——-

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/08  at  01:31 AM

Assalamualaikum,
Kali pertama saya memberi respond kepada artikel Puan setelah sekian lama memantau laman web ini.

Saya adalah pelajar aliran agama, sains, sastera, massa dan terkini pemasaran. Saya telah beberapa kali keluar masuk daripada pelbagai kotak mencari kotak yang sesuai dengan diri dan peribadi saya.

Alhamdulillah akhirnya saya menemui kotak sebenar di mana sepatutnya saya berada. Kesan dari keluar masuk pelbagai kotak dan menikmati pelbagai juadah serta hidangan yang tersaji dalam kotak2 yang pelbagai ini menjadikan tubuh badan serta pemikiran saya tidak hanya terarah kepada satu kotak.

Malahan setiap tindakan yang saya lakukan kini menjadikan saya menganalisa dan mempertimbangkannya daripada pelbagai sudut hasil dari tarbiyyah kotak2 yang saya singgah walau sebentar cuma itu.

Adakah ini baik atau buruk untuk saya? Ataupun menyebabkan saya tidak dapat fokus kepada satu2 pekerjaan sahaja….

Sekadar secebis respond dari insan kerdil…

Moga bertemu lagi. Wallahualam

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/08  at  10:33 AM

Mungkinkah buku-buku sains yang ingin kita hasilkan untuk anak-anak ini berbentuk explorisasi sains?. Maksud saya yang menggunakan pendekatan berasaskan aktiviti.

Mari kita berkongsi idea ...

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/08  at  10:51 AM

Puan,
Kalau ‘state’ percayakanlah cakap-cakap puan ini - maka, kanak2 sekolah akan diajar ilmu sains sajalah nanti. Maka, akan “elek” dan pupuslah ilmu sains sosial di Semenanjung Tanah Melayu ini kelak. Ha ha.

Intergriti? Toot toot tootttt!*

* Saya mencarut. Lagi.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/08  at  10:53 AM

Puan Sifu yang dihormati,

Sorong papan, tarik papan
Buah keranji di dalam perahu
Orang ke hadapan, kita pun nak ke hadapan
Orang mengaji, kita tak mahu

- siapa yang tak mahu belajar, murid-murid kitakah?

Amiene Rev  on  02/08  at  11:09 AM

Berfikir di luar kotak. Entri ini… ramai orang kata saya berfikir di luar kotak. Ramai orang bertanya, saya pun tak pernah terfikir, macam mana awak dapat berfikir sedemikian?

Kesimpulannya, menjadi orang seperti ini, kita akan sentiasa rasa sunyi… tetapi adalah satu kegembiraan bila kita dapat membuktikan kita jauh lebih baik daripada orang itu setelah berjaya melaksanakan sesuatu idea.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/08  at  02:19 PM

Assalamualaikum Puan Sifu,

“Lakaran luka terlipat di dalam kertas,dikutip rapi susun masih terus mencatit sejarah…menitip jurai yang basah interaksi masih bersilap salah.”

Mohon tunjuk ajar,al-quran mampu dibaca berulangkali namun tidak mampu dihayati,bakat diasah dicerna diulang tubi namun semakin hilang jati etika dan pekerti,alih fikir untuk menyumbang maju namun jiwa dan minda tetap berseteru… negara sebagai rujukan melihat sifat dan integriti bukan hanya penduduknya tetapi pemimpin yang mengurus dan menterjemahkan fungsi warga mendepani siasah dengan berani, melihat modal bukan pada wang tetapi pada sikap menerokai medan hidup dengan peraturan yang mengukuhkan kejujuran keadilan kebenaran…bagaimanakah mahu dijadikan diri kita sebagai ejen yang merubah andai sifat dan sikap melampaui kewajaran mengorbankan hak dan kebebasan dalam usaha memenuhi keinginan melebihi kewajipan.

Jujur di sini (tempat tinggal kini),kekerapan berinteraksi dengan frekuensi berbahasa inggeris memberi kerendahan diri kepada saya kerana saya masih gagal mempelajari bahasa ibunda penduduk rantau Tmur Tengah,yang merupakan bahasa penyatuan di syurga, bahasa rasmi agama saya, bahasa yang memberi tanda harga maruah hamba yang mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Memiliki mardatiLLah Allah tersembunyi di dalam keupayaan menguasai bahasa ibunda bangsa muslimin,.
Ada rungutan di bibir anak-anak tatkala mengetahui ada rakan mereka tidak tahu apakah dia buku lali,keting,...mereka mendakwa itu sifat mengada-ngada tetapi sebenarnya mereka memang tidak tahu apa perkataan itu di dalam bahasa melayu.
Rakan mereka dari Slovakia berasa seronok menggunakan bahasa mudah bahasa kita…
Masa yang terlalu lama memproses maklumat dan info kerap memberi kekeliruan kerana tidak jelas teknik kaedah siapa yang benar-benar berfungsi…membuka ruang membina persefahaman berupaya mempelbagaikan cara selain lebih bersikap terbuka terhadap sesuatu yang baru adalah menerusi penguasaan bahasa yang menunjukkan siapa kita.
Saya menyokong Puan kerana ketelusan mahu memandaikan bangsa kita.Pandangan positif Puan membantu saya memahami banyak perkara…Terima kasih.

Amiene Rev  on  02/08  at  02:33 PM

=.=”

Gaya menulis Teja terlalu mendesak-desak dan keasliannya tenggelam dalam bunga-bunga bahasa. Lebih sesuai kalau diletakkan tanda koma untuk menimbulkan apa yang tenggelam. Juga pertindihan makna yang agak ketara.

Barangkali Teja sedang berpuisi.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/08  at  05:30 PM

Assalamualaikum

Ini bukan menyanggah mana-mana pendapat hanya cuba menilai hakikat diri.

Soalan dasar: Macam mana boleh berfikir di luar kotak kalau hakikatnya diri tidak pasti berada di kotak mana atau apakah diri berada di dalam atau luar kotak?

Untuk berfikir secara dalam kotak perlukan ilmu yang dibina daripada pengalaman dan pencerapan serta kemasukan input formal dan tidak formal. Pengalaman, pencerapan dan input ini membentuk batas dan benteng kotak serta warna dan binaan kotak. Kalau ini tidak ada atau belum ada, mana bisa wujud kotaknya?

Diri saya dok asyik bercakap befikir luar kotak itu pernahkah belajar/mengajar orang berfikir?

Kalau kemahiran berfikir konvensional pun tidak ada maka bererti belum ada kotak. Kalau kotaknya belum ada macam mana nak keluar kotak?

Wallahualam.

Puan Ainon Mohd.  on  02/08  at  07:12 PM

Sdr Saiee,

Saya petik: - Soalan dasar: Macam mana boleh berfikir di luar kotak kalau hakikatnya diri tidak pasti berada di kotak mana atau apakah diri berada di dalam atau luar kotak?

Apa yang sdr tulis itu amat penting difahami implikasinya. Bagi memahami konsep ‘kotak’ itu seseorang memerlukan taraf pendidikan yang tinggi.

Kalau setakat budak sekolah menengah, mereka masih berfikir dalam fasa konkrit sahaja. Pada peringkat IPT barulah kita diajarkan kemahiran berfikir secara abstrak dan konseptual.

Jadi, selari dengan apa yang sdr tulis itu, bagaimanakah agaknya PIPP hendak mengajarkan kemahiran kepada budak-budak sekolah supaya mereka pandai berfikir di luar kotak. Konsep ‘kotak’ itu pun sangat konseptual, sangat abstrak, disebabkan topik ini adalah bahagian falsafah.

Benar seperti tulisan sdr, kita perlu tahu kotak apa yang saat ini kita berada di dalamnya, baru kita dapat mencari jalan-jalan bagaimana mahu keluar daripada kotak itu.

Siapalah pakar kotak yang menasihati PM kita ini!...

KSI  on  02/08  at  08:21 PM

Saudara Amiene Rev: Beberapa bahagian dari reaksi saudara terhadap tulisan Teja saya persetujui.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: