Berita Baik untuk Industri Buku
KUALA LUMPUR: Industri buku yang kian lesu akan digiatkan kembali menerusi beberapa pakej bantuan kewangan yang akan disalurkan kepada penerbit dan pengedar buku.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan membantu menjana kembali industri buku yang pernah mencapai zaman cemerlangnya suatu ketika dahulu serta meningkatkan jualan buku yang kian merosot.
Timbalan Menterinya Datuk Saiffuddin Abdullah berkata agensi di bawah kementerian itu seperti Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) akan membantu menambah peluang memasarkan buku serta menambah jumlah pembaca.
"Sebahagian daripada agensi yang menyediakan pinjaman tidak memahami industri buku dengan lebih mendalam, contohnya selama ini SME Bank hanya melihat industri buku dari segi percetakan sahaja sedangkan di bawah industri buku terdapat juga penerbit dan pengedar buku," katanya ketika merasmikan majlis Pertemuan Pengedar Buku Dewan Bahasa Dan Pustaka di sini, Rabu.
Agensi di bawah kementerian itu akan turut membantu membiayai latihan dan kursus untuk pekerja industri berkenaan bagi meningkatkan keberkesanan syarikat pengedar buku.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah dana yang disediakan bagi membantu industri buku.
Saiffuddin menyambut baik langkah untuk menubuhkan satu gabungan pengedar buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
"Langkah itu memang baik, kita akan ada kedai buku yang diusahakan oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan industri buku dan ia akan mengembalikan kedai buku milik bumiputera yang semakin berkurangan," katanya.
Lebih 50 penerbit dan pengedar buku DBP hadir pada majlis bagi membincangkan langkah proaktif untuk meningkatkan kemajuan perniagaan pengedaran buku dan meningkatkan penjualan buku-buku terbitan DBP. BERNAMA
Nota: Disalin dari mStar online.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam sejahtera,
Bersyukur akhirnya ada juga pihak kerajaan yang prihatin. Insentif tidak semestinya dalam bentuk pinjaman dan subsidi, tetapi boleh juga dalam bentuk pengecualian cukai.
1).Contohnya mempertingkatkan pada bajet yang akan datang pengecualian cukai ke atas royalti bagi penulis karya dan penterjemah karya(sekarang RM 20K setahun, mungkin boleh ditingkatkan lagi kepada RM 50K)untuk menggalakkan karya-karya bermutu dihasilkan.Mungkin karya hasil royalti karya sastera dan bukan sastera diasingkan iaitu RM 50K setiap satunya. Dengan ini ramai ahli cendikiawan Malaysia akan teruja untuk menghasilkan karya.
2).Pengecualian cukai ke atas syarikat penerbitan yang bertungkus lumus menerbitkan karya tempatan yang bermutu contohnya 5-10% ke atas pendapatan mereka bagi setiap tahun, selama 5 tahun, iaitu karya yang hanya dicetak di dalam Malaysia.
3).Pengecualian cukai bagi pendapatan hasil daripada karya yang diekspot ke luar negara (iaitu diterjemahkan ke bahasa Indonesia contohnya).Dan juga ‘double deduction ’ ke atas perbelanjaan yang terlibat ketika rundingan untuk mengekspot karya-karya ini.
4).Pengecualian cukai sepenuhnya ke atas hadiah-hadiah, tajaan-tajaan ataupun program-program yang disediakan bagi menggalakkan industri ilmuan dan buku (termasuk komik bermutu) di negara ini oleh mana-mana syarikat korporat di negara ini.Contohnya program seperti Hadiah Sastera Utusan dll.
5).Pengecualian cukai yang lebih tinggi bagi syarikat-syarikat korporat ataupun individu yang sudi mendermakan hadiah berbentuk buku-buku sastera dan bukan sastera hasil penulis tempatan atau luar negara kepada mana-mana perpustakaan awam ataupun sekolah-sekolah.
6). Pengecualian cukai separa (jika ianya separa berbayar ataupun sepenuhnya jika ianya percuma) ke atas perbelanjaan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak swasta sama ada individu ataupun korporat yang sudi menyediakan sebuah perpustakaan komuniti awam di mana-mana pekan, bandar ataupun cerok kampung di
Malaysia ini.
7). Menyediakan peruntukan lebih tinggi untuk perpustakaan awam dan peruntukan perlu diasaingkan bagi karya tempatan dan karya luar negara.Kebanyakan peruntukan masa ini agak terhad. Perpustakaan yang baik isi kandungannya adalah baik untuk masyarakat keseluruhannya, membudayakan tabiat membaca terutamanya di kampung-kampung yang mana akses ke atas perpustakaan maya ataupun khidmat internet adalah terhad ataupun kurang memuaskan.
Mungkin ada banyak lagi, orang industri buku lebih mengetahuinya.
Sekian, hanya sekadar idea.
Post a comment