Testimoni “Bidadari Paderi” Sebuah Novel Cinta dan Perjuangan Yang Indah
Abu Usamah Mohd Masri bin Mohd Ramli menulis dalam blog beliau Lobai Tampin:
Saya selesai membaca novel Bidadari Paderi yang saya beli malam tadi. Mula membaca sebelum ke kelas pagi tadi, di sambung sebelum Zuhur, bersambung semula selepas Zuhur hingga selesai. Ya, novel ini sangat menarik. Di dalamnya ada kisah perjuangan menentang bid'ah, khurafat dan segala macam adat-adat yang melawan syara'. Kaum Paderi boleh jadi jika wujud zaman kini di bumi Malaysia, mereka akan digelar sebagai Wahabi.
Perjuangan Kaum Paderi ditentang oleh kaum adat dan bangsawan. Kaum adat menentang kerana adat istiadat yang bertentangan syara' cuba dihapuskan oleh kaum Paderi. Kaum bangsawan membentuk 'pakatan Ahzab' dengan kaum adat kerana mereka marah dengan sifat perjuangan kaum Paderi yang bukan hanya menentang syirik, bid'ah, khurafat, bahkan cuba menghapuskan segala maksiat seperti perjudian dan lain-lain. Di dalamnya kisah pengkhianatan bangsa.
Bagaimana anak bangsa Minangkabau mengkhianati perjuangan menentang Belanda yang dipelopori Kaum Paderi hingga memberikan laluan kepada si Kafir Belanda menyerang kubu Kaum Paderi yang dipimpin Imam Bonjol. Di dalamnya satu pengajaran kepada pejuang Islam: Golongan pejuang adat dan bangsawan adalah manusia berbahaya yang akan mengkhianati umat tatkala kepentingan mereka atau kesukaan mereka [umpamanya berjudi, tunggang arak] dihapuskan. Saya cuba juga meninjau maklumat-maklumat tentang perang menentang Belanda yang dipelopori Kaum Paderi. Terjumpa maklumat kaum adat meminta bantuan si Kafir Belanda untuk menghapuskan Kaum Paderi.
Dalamnya kisah cinta si dara dan teruna: Cinta tanpa maksiat, apatah lagi memadu asmara. Cinta yang tidak melampaui cinta kepada Allah SWT. Bagaimana seorang dara memberikan syarat ketika bernikah supaya dia dibenarkan terus menyertai pasukan jururawat yang akan membantu perajurit Kaum Paderi yang menentang si kafir Belanda. Bagaimana si suami, isteri, ibu mertua dan bapa mertua menyertai peperangan. Lalu terkorban kesemuanya kecuali si suami. Syahid buruan mereka. [Mana mahu dicari gadis sekental itu? Jika ada berikan kepada saya.]
Ia novel sejarah, ia novel perjuangan Tauhid, ia novel cinta.....
Baca tulisan asal dalam blog Lobai Tampin di sini.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment