Bila Boleh Meminjam Perkataan Inggeris
Berikut adalah konteks yang sesuai bagi saudara meminjam perkataan Inggeris tanpa mengubah ejaannya:
(1) Apabila saudara menulis dalam media tak-kekal.
Maksud "media tak kekal" adalah hayat media itu amat singkat. Bahan-bahan itu tidak disimpan dalam perpustakaan sebagai bahan rujukan. Contoh media tak-kekal adalah blog, surat peribadi, ucapan tak formal, skrip, akhbar nyamuk, majalah hiburan, dan yang seumpama itu.
Sebagai contoh saudara menulis ayat ini untuk media tak-kekal: Majoriti perkhidmatan broadband hanya terdapat di kawasan bandar besar.
Buku adalah media kekal. Akhbar perdana, majalah profesional dan teks warta berita adalah media kekal. Jadi, jangan main tulis sesedap rasa sahaja.
(2) Apabila saudara menulis buat bacaan sesama anggota kelompok eksklusif.
Contoh kelompok ekslusif adalah sesama peminat fotografi. Jadi, apabila saudara menulis artikel untuk majalah fotografi, artikel saudara itu dibaca oleh sesama peminat fotografi. Mereka semua faham jargon-jargon fotografi.
Jenis-jenis perkataan yang sesuai dipinjam tanpa menukar ejaannya adalah seperti berikut:
(1) Apabila perkataan itu adalah nama barangan konsumer.
Contoh barangan konsumer adalah barang-barang yang dibeli oleh individu menggunakan duit peribadi di kedai dan supermarket. Usia barang-barang itu tidak lama, dan namanya pun cepat bertukar. Nama-nama itu pula dicipta oleh syarikat pembikin barang-barang itu.
Contoh barang konsumer adalah scanner, thumb-drive, handphone, PDA yang dapat dibeli di kedai komputer.
(2) Nama profesion dan pekerjaan yang popular.
Contoh nama profesion dan pekerjaan yang popular adalah salesman, businessman, businesswoman, DJ, host, actor, actress, sound engineer, property manager, personal trainer, marketing excecutive, advertiser, banker, remiser, designer, speech writer.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum puan.
Saya ingin bertanya, adakah penggunaan istilah khusus seperti firewall, log server dan sebagainya tidak dapat dimasukkan dalam penulisan buku ataupun novel? Fakulti saya pernah menterjemah perkataan sedemikian, tetapi terjemahannya langsung tidak menggambarkan maksud sebenar yang ingin disampaikan.
Tuan Xara,
Istilah “server” dan “firewall” adalah istilah teknologi konsumer dan istilah trend teknologi semasa, yang dicipta oleh para jurutera dan juruteknik di kilang pembuat teknologi itu. Istilah-istilah itu digunakan seantero dunia. Pinjam istilah-istilah itu, dengan tidak perlu mengubah ejaannya.
Terima kasih atas jawapan yang puan berikan. Err.. saya ‘Cik’.
Post a comment