Bukan Kerajaan BN, Bukan DEB, tetapi Orang Cina Juga yang Menolong Penerbit Melayu
Pada tahun 1988, Sifu meletakkan jawatan di DBP kerana nekad mahu menjadi trainer Lateral Thinking. Di depan DBP, di deretan kedai-kedai di Jalan Maharajalela, ada sebuah pejabat peguam Cina. Kami kenal sebab sesekali kami makan di gerai bawah pokok yang sama. Peguam itu kasihan kepada Sifu yang tercari-cari ruang pejabat. Dia pun menyuruh stafnya mengosongkan sedikit ruang di pejabatnya, supaya saya dapat sewa.
Saya pun tidak tahu di mana hendak mencari kontraktor supaya buat dinding pemisah. Peguam Cina itu pun menelefon kawannya, seorang kontraktor Cina. Lalu dengan harga RM1800, saya pun dapat ruang 10'X8' pejabat dengan sewa RM400 sebulan. Dia izinkan saya tumpang tandasnya.
Sewaktu kontraktor Cina itu hendak mula membuat dinding partition, saya minta dia buat bilik untuk saya. Kata kontraktor itu, "Jangan buat bilik," katanya menasihati saya. Padahal, kalau saya buat bilik, dia lebih untung. "Tunjukkan semua staf yang kamu ada. Nanti orang akan nampak ofis kamu sibuk, macam banyak bisnes," dia menasihati saya.
Kemudian dia sambung lagi, "Jangan beli meja baru. Kamu beli meja di kedai second-hand. Bila orang nampak meja kamu sudah lama, mereka sangka kamu sudah lama bisnes."
Pada satu hari, pagi-pagi lagi peguam Cina itu masuk ke pejabat saya lalu duduk. Saya terkejut! Rupa-rupanya dia datang memberi nasihat. "Kamu dengar berita buruk malam tadi?" katanya. Berita itu adalah berita tentera Saddam Hussain menyerang Kuwait. "Kamu jangan beli apa-apa. Simpan setiap sen yang kamu ada. Kita tidak tahu apa akan jadi pada ekonomi. Kalau tak mati, jangan belanja!" Begitulah dia menasihati saya.
Pada 2000, apabila PTS Publications baru ditubuhkan, dalam keadaan tidak cukup modal, 2 buah pencetak Cina telah sanggup mencetak buku-buku PTS dengan memberi kredit 90 hari, tanpa meminta sebarang cagaran, semata-mata berdasarkan kepercayaan terhadap nama baik AINON MOHD dan Prof. ABDULLAH HASSAN atas rekomendasi personal seorang sahabat Melayu yang kenal baik kedua-dua towkay Cina itu.
Disebabkan pencetak Cina itu mengambil risiko ratusan ribu ringgit, mereka sentiasa memberi 'kuliah' kepada staf PTS yang pergi ke kilang mereka atas urusan cetak-mencetak. Macam-macam teguran, nasihat dan leteran yang mereka sumbat ke telinga staf PTS, semata-mata supaya PTS survive dan dapat membayar hutang percetakannya.
Salah seorang towkay itu berkata begini kepada staf PTS: "Lu Melayu, lu bukan bodoh. Kalau lu bodoh, lu boleh masuk universitikah? Lu jangan dengar cakap Mahathir. Dia kata Melayu bodoh. Lu jangan dengar dia.... blah, blah, blah...."
Apabila buku-buku PTS sudah terbit, pegawai-pegawai Cina di KINOKUNIYA, kemudian MHP, kemudian POPULAR membantu menjual buku-buku PTS. Mereka memberi banyak nasihat bagaimana merancang judul buku-buku yang laku dijual dalam kedai-kedai mereka.
Apabila PTS perlu membeli bangunan sendiri, pengurus Cina dari PUBLIC BANK yang bersungguh-sungguh membantu meluluskan permohonan pinjaman RM3 juta. Malah beliau membantu memberikan tambahan RM1 juta modal operasi dengan mencagarkan bangunan yang kita beli itu.
Sekarang, Encik Law, Chairman MABOPA dan Pengerusi SASBADI, penerbit buku bersilabus yang terbesar di Malaysia, beliau me-mentor-i pegawai-pegawai PTS yang berkhidmat dalam jawatankuasanya, dengan memberikan nasihat demi nasihat bagaimana cara yang betul menguruskan PTS supaya terus berkembang dan membesar.
Bangunan-bangunan yang kami sewa sekarang adalah milik Cina. Agen Cina juga yang membantu kami mencari bangunan kilang yang menjadi depot PTS di Batu Caves.
PTS berhutang budi kepada orang-orang Cina yang mendukung kita sehingga berjaya menjadi seperti keadaannya sekarang.
Orang-orang UMNO tidak putus-putus memomok-momokkan orang Melayu supaya jangan percaya kepada keikhlasan Cina, supaya mencurigai mereka, supaya takutkan mereka, supaya bencikan mereka, supaya orang Melayu terus mengundi calon-calon UMNO dan BN yang korup.
Pengalaman kami di PTS, orang Cinalah yang menolong, mendukung dan membimbing PTS sehingga berjaya menjadi penerbit 'tradebooks' dalam Bahasa Melayu yang terbesar dalam tempoh 7 tahun sahaja.
Jika ada bisnesman Melayu yang Cina tidak mahu tolong, puncanya adalah perangai buruk bisnesman Melayu itu sendiri. Lazimnya, mereka itu tidak mahu membayar hutang. Siapa pula yang mahu menolong orang yang tidak mahu membayar hutangnya. Kalau Cina tidak bayar hutang, sesama Cina pun tidak mahu menolong Cina itu.
Bagi orang Cina, duit adalah Tuhan, duit tak kenal kaum. Cina akan tolong sesiapa sahaja, asalkan dia untung. Kita orang Melayu mesti berdisiplin membayar hutang, barulah Cina suka menolong kita berjaya dalam bisnes.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Puan Sifu, baru kami tahu situasi sebenar..selama ini kami disua dengan maklumat-maklumat palsu rupanya.
Setuju.
Dalam barisan pertama sahabat-sahabat saya, ada orang Cina (lelaki) dan ada juga India (wanita). Mereka ini tidak putus-putus memberi sokongan kepada saya.
Sampai sekarang, biar jauh di mata, kami masih tidak putus menerima berita. Sejak dahulu lagi, saya pelik, apakah sebenarnya yang menyebabkan susah untuk bersahabat dengan orang Cina dan India?
Saya tidak faham mereka yang mengatakan demikian. Tidak kira Cina atau Melayu, tidak ada bezanya dengan bangsa sendiri. Mereka juga manusia. Dengan satu agama, kita semua boleh bersatu. Tidak kira Cina atau India.
Yang paling penting adalah, apakah kita benar-benar tahu, apa hak kita dan apa hak yang boleh kita kongsi bersama. Ramai orang tidak tahu, atau pura-pura tidak tahu. Saya tidak faham kenapa.
Orang Cina, atau India, tak ada bezanya dengan orang Melayu. Mereka manusia. Darah mereka sama merah seperti kita. Angka satu mereka satu baris seperti angka satu kita. Kenapa tidak boleh kita bersatu padu?
Saya tidak faham kenapa tidak boleh.
Assalamualaikum.
Puan Ainon yang dikasihi,
Bisnes saya juga banyak dibantu kaum Cina. Pada tahun 1989 ketika bapa saya meninggal dunia, syarikatnya masih berstatus milik tunggal. Ekoran itu, akaun-akaun dan kemudahan kewangan (LC/TR) bernilai RM700 ribu yang diberikan di atas nama bapa saya serta-merta dibekukan oleh pihak bank.
Waktu itu wang hanya boleh masuk ke akaunnya tetapi satu sen pun tidak boleh dikeluarkan, sehinggalah Pejabat Pesaka mengeluarkan surat kebenaran. Urusan pesaka itu memakan masa 9 bulan. Syarikat kami hampir lumpuh kerana modal pusingan tersekat.
Untuk meneruskan urusniaga, saya pergi berunding dengan pembekal-pembekal bahan mentah bangsa Cina yang memang mengenali arwah bapa saya. Mereka mendengar dan bersetuju menolong saya dengan memberi kredit sehingga 120 hari.
Apabila syarikat Sdn. Bhd. kami (yang sebelum itu dormant) diaktifkan semula, saya memohon kemudahan kewangan bank yang baru. Proses itu memakan masa beberapa bulan lagi.
Ringkasnya Puan, pertolongan pembekal-pembekal Cina itu memberi saya ruang masa untuk bertindak. Pihak bank sendiri masih mahu mengikut berbagai prosedur dan tidak dapat membantu kami selama hampir setahun.
Ya, saya setuju, Puan. Bantuan rakan-rakan niaga kaum Cina kepada bisnes saya tidak boleh dinafikan. Yang penting ialah kita tunaikan janji dengan membayar hutang kepada mereka dengan betul.
Wah… saya suka baca entri ini. Paling saya suka tip “jangan buat partition” dan “jangan beli meja baru” yang kontraktor itu ajar. Bukan sahaja dapat menjimatkan wang, tetapi mempengaruhi psikologi dan persepsi pelanggan terhadap bisnes kita. Serampang dua mata!
Salam sejahtera,
Saya teringat kisah ketika bekerja sebagai auditor di sebuah firma perakaunan antarabangsa. Salah satu pelanggan besar mereka ialah sebuah syarikat perbankan milik bangsa Cina yang amat tersohor di Malaysia (sehingga ke hari ini mereka menunjukkan prestasi yang baik pada setiap tahun dan menolak penggabungan yang disarankan oleh Bank Negara).
Kami terpaksa berkampung di pejabat dan juga cawangan-cawangan tertentu untuk membuat kerja audit. Walaupun bank ini tersangat kaya dan mampu menyediakan hiasan dalaman mewah dan selesa. Sebaliknya mereka memilih untuk lebih ‘simple’ dan ‘functional’. Bangunan ibu pejabatnya, disediakan telefon awam pada setiap tingkat. Tujuan telefon ini adalah untuk kegunaan staf apabila waktu pejabat berakhir iaitu bagi membuat panggilan peribadi. Kesemua telefon pejabat hanya boleh menerima panggilan masuk tetapi tidak boleh membuat panggilan keluar.
Mereka amat berjimat cermat. Ketika waktu pejabat lagu-lagu patriotik ‘produktiviti’ akan dimainkan dan diulang-ulang. Sehingga apabila kerja pengauditan habis kami masih teringat-ingat lagu ini malah hafal liriknya.
Pelanggan bank ini juga bukanlah wanita atau lelaki glamor yang kaya dan bergaya, sebaliknya uncle-uncle dan auntie Cina yang berseluar pendek dan berselipar jepun buruk membonceng motorsikal ‘kapcai’. Apabila tiba di kaunter bank itu mereka akan meraba kocek seluar dan membuka gumpalan beg plastik yang penuh berisi wang sampai RM 30,000 seorang.
Saya cuba membuat perbandingan antara syarikat ini dengan syarikat GLC, memang jauh bezanya. GLC kurang berhemah kerana pengurusan dan staf dilantik kerajaan dan mereka tidak perlu bersengkang mata dan mengikat perut untuk mencari modal perniagaan. Malah ketika ekonomi gawat sekalipun gaji mereka masih seperti biasa.
Orang-orang Cina mempunyai budaya yang berbeza dengan orang Melayu. Kita tidak perlu menjadi seperti mereka sebaliknya harus berusaha memahami budaya mereka. Kita ambil tauladan yang baik dan buangkan yang buruk. Orang-orang Cina bersungguh-sungguh dan serius sewaktu berniaga dan bekerja (oleh itu kelihatannya sedikit kasar, namun niat sebenarnya baik).
Orang Melayu pula terlalu bersopan-santun dan suka menyimpan dendam perasaan. Apabila dikasari ketika bekerja orang Melayu mudah berasa hati, dendam dan merajuk.
Pengalaman-pengalaman memahami budaya di antara satu sama lain ini memang menarik mungkin boleh dijadikan buku…
Sekian,
Sekadar ingin berkongsi.
Orang Melayu dimomok sejak zaman persekolahan lagi. Saya juga membawa mentaliti yang sama sehinggalah memasuki tingkatan enam yang majoritinya berbangsa Cina.
Perspektif berubah apabila melihat daya kooperatif yang tinggi sesama kami berlainan bangsa. Jika terlalu selesa dengan pergaulan bangsa sendiri, kita mudah prejudis. Itulah sebabnya polarisasi kaum di kampus semakin melebar.
Hakikat memahami kaum bukan sahaja melalui buku dan subjek semata-mata, adakalanya kita perlu mencipta ruang minoriti dalam diri untuk melihat sudut positif bangsa lain.
Dalam pengalaman bisnes pula, saudara saya pernah kehilangan semua rakan Melayunya ketika bisnesnya terbantut (belum gagal).Hendak mohon bantuan susu anak pun dikatanya tiada wang.
Kontraktor Cina yang membantu dari sudut kewangan, khususnya renovasi pejabat tanpa mengambil sesen pun. Katanya jika bisnes sudah kukuh barulah bayar.
Kata saudara saya, jika kita tidak mampu bayar pada masa yang dijanjikan, beritahu dan jangan lari. Bisnes orang Cina berdasarkan kepercayaan.
Sepanjang pengamatan dalam media, satu mesej perpaduan yang perlu distruktur semula ialah mesej perpaduan berdasarkan menakut-nakutkan orang lain mengenai penguasaan kaum lain. Itukah perpaduan?
Mesej tidak ada rasa bertuhan ini memang membahayakan. Mereka kena semak ayat Hujurat 13 semula. Malah dalam al Quran disebut, bangsa yang kuat adalah bangsa yang adil pada diri, masyarakat dan agamanya. Jika tidak, Allah gantikan kaum yang lebih baik. Contohnya kebangkitan Mongol yang dahulunya minoriti, siapa sangka kerajaan bertamadun yang hebat-hebat ketika itu tunduk di kaki Mongol yang dahulunya kaum belasahan yang duduk di sempadan. Kerajaan yang hebat tinggal kehebatan di atas kertas sahaja selepas itu.
Saya menyokong DEB
Saya menyokong DEB
Saya menyokong DEB
Saya menyokong DEB iaitu Dasar Ekonomi BERSAMA
http://www.motivasimindamu.blogspot.com
http://www.zamrimohamad.com
Puan Sifu yang saya kasihi,
Membangunkan sebuah perniagaan ternyata tidak melalui jalan yang lurus dan rata.
Dalam usia yang muda, ilmu dan pengalaman yang masih hijau, terasa sungguh kuat cabaran dan dugaan melintang dan membujur.
Tapi tatkala membaca entri ini, semuanya terasa lapang. Terasa luas. Terasa ringan.
Terima kasih sifu kerana sentiasa memberikan anak muda seperti saya ini motivasi. Walaupun hanya melalui aksara yang disusun membentuk satu makna.
Ia bermakna.
Jazakallah.
Salam,
Sudah masanya kita keluar dari kepompong politik sempit berdasarkan kaum.
InsyaAllah kita akan mulakan di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. 4-5 tahun waktu percubaan. Semoga kita tidak melatah atau tersalah arah.
Fanatik Perkauman atau Kebangsaan tidak dibenarkan dalam Islam. Umat Islam bersaudara, dan bukan Islam wajib dipelihara hak dia.
Ngeri bila baca surat khabar terkini banyak yang berbau acum mengacum sesama kaum.
wassalam
Puanku Sifu,
Wah rujukan link yang brutal! DEB antara beberapa batu ajaib milik parti politik yang itu tu selain daripada keris, bahasa Inggeris (rujuk kepada namanya)dan sebagainya. Seorang MB (sekarang mantan) cuba memasukkan elemen baru kedalam koleksi ajaib kebangsaan (tempe)tetapi gagal kerana bahan tersebut bakal mencetuskan satu lagi konflik dengan pulau Jawa.
DEB sudah bukan lagi dasar baru. Dah lamaaa daaaah!
Puan Sifu,
Saya terharu membaca artikel di atas...saya merupakan antara pelanggan PTS dan suka membaca buku2 dari PTS kerana daya penampilan lain dari yang lain… teruskan.
Post a comment