Tuesday, January 01, 2008

Doa Supaya “PTS Masuk Neraka”

Ini bukan kali pertama kita menerima laporan bahawa ada golongan yang mendoakan supaya "PTS masuk neraka". Isu ini sudah berlaku semenjak 5 tahun yang lalu, yakni semenjak 2002, tetapi sehingga hari ini masih berterusan.

Mereka yang tidak setuju dengan dasar bahasa PTS pernah menghantar kritikan mereka ke akhbar, dan mengatakan PTS patut dilaporkan ke JAKIM supaya tindakan dikenakan ke atas PTS "kerana menghina Nabi Muhammad". Malah di sebuah daerah di Johor, fotokopi keratan akhbar itu ditampalkan di papan-papan notis masjid-masjid daerah itu.

Faktor yang menyebabkan timbul kemarahan di kalangan sesetengah pihak terhadap PTS adalah isu dasar editorial bahasa di jabatan editorial PTS, khususnya bagi buku-buku agama.

Bagi saudara yang belum membaca buku-buku agama PTS, dimaklumkan bahawa gaya bahasa buku-buku itu adalah berbeza sedikit daripada gaya bahasa buku-buku agama konvensional. Ini dilakukan kerana buku-buku agama PTS bukan ditargetkan bagi bacaan ustaz-ustaz, sebaliknya ia ditargetkan kepada 2 kelompok pembaca, iaitu:

(a) Golongan bukan Islam: Banyak orang bukan Islam berminat hendak mengetahui tentang agama Islam. Mereka langsung tidak mempunyai pengetahuan tentang agama Islam, dan

(b) Golongan Islam pada nama sahaja: Mereka adalah orang Islam, tetapi status agama Islam mereka adalah agama keturunan sahaja. Mereka tidak mempunyai pengetahuan agama, meskipun yang paling asas. Mereka tidak pandai sembahyang, tidak tahu mandi wajib, tidak pandai membaca Fatihah, dan yang seumpamanya.

Ciri-ciri utama 2 golongan di atas itu adalah:

(a) Mereka itu buta huruf Arab.

Faktor ini menyebabkan teks Quran dan hadis dalam buku-buku PTS hanya diberikan maknanya sahaja. Sebagai contoh, pembaca Cina dan India memang tidak tahu membaca tulisan Arab, oleh itu teks Arab tidak ada dalam buku-buku agama yang diterbitkan buat bacaan mereka.

(b) Mereka tidak faham perkataan-perkataan pinjaman daripada Arab.

Dalam Bahasa Melayu terdapat amat banyak perkataan pinjaman Arab yang dijadikan istilah agama dalam Bahasa Melayu, seperti solat, soleh, sohih, syirik, jahiliah, Rasulullah, fardu, sunat, dan beratus-ratus yang lain. Pembaca bukan Islam tidak tahu makna kata pinjaman itu. Dalam buku-buku PTS, perkataan-perkataan jenis ini digantikan dengan perkataan Melayu, supaya mereka faham.

(c) Mereka juga tidak faham sesetengah perkataan dan frasa Melayu yang digunakan sebagai istilah agama.

Bukan semua istilah agama dipinjam daripada bahasa Arab. Sesetengah istilah agama adalah perkataan Melayu, sebagai contoh mereka tidak faham makna menyekutukan Allah, mendustakan Allah, mensucikan Allah, membenarkan Rasulnya, meriwayatkan dan dari (contoh: Dari Abu Hurairah...)

Disebabkan buku-buku agama PTS ditargetkan kepada golongan bukan Islam yang tidak tahu makna istilah-istilah agama, maka PTS mengedit buku-buku agamanya supaya orang bukan Islam sekalipun faham isi buku yang dibacanya. 

Sebagai contoh, dalam buku-buku agama PTS, tidak dituliskan "SAW" selepas nama Nabi Muhammad, manakala perkataan bersabda dan berfirman digantikan dengan 'berkata'. Inilah antara ciri yang menyebabkan timbul kemarahan di kalangan agamawan tradisional yang menganggap dasar bahasa PTS itu menghina Nabi Muhammad dan Allah.

Nota 1: Pada halaman imprint semua buku agama PTS ada dicetak nota yang menganjurkan supaya pembaca Islam yang kebetulan membaca mana-mana buku PTS, supaya membaca selawat dan salam setiap kali selepas terjumpa nama Nabi Muhammad. Ini dilakukan atas nasihat panel penasihat hal-ehwal agama PTS yang memberitahu bahawa Sheikh al-Azhar melakukan itu pada buku beliau tentang Islam yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris di London, khusus bagi menerangkan Islam kepada masyarakat Inggeris bukan Islam di negara itu. 

Nota 2: Gaya editorial PTS itu dipersetujui oleh ulama-ulama seperti Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Dr. Harun Din, dan Prof. Dr. Zulkifli Mohd. Yusuf, (bekas Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya) di mana buku-buku mereka sendiri pun diedit supaya orang bukan Islam dapat memahami isi kandungannya.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Buku Agama
(3) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Surat Pilihan: Didatangi Mubaligh Kristian yang Peramah dan Lembah Lembut Previous entry: Sabtu 26.1.08 Bengkel KJ METHOD
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/02  at  09:17 AM

Assalamualaikum,

Komen ringkas saya.
Apabila pemahaman tentang agama tidak jelas, perkara yang kecil diperbesarkan sebaliknya perkara yang besar dipandang enteng.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/02  at  10:09 AM

Puan Sifu,

Saya ingin memberi komen mengenai buku-buku agama yang diterbitkan oleh PTS. Saya juga bukan dari aliran agama formal dan saya suka membaca buku-buku berkaitan agama Islam untuk menambahkan pengetahuan saya sendiri. Sememangnya, kebanyakan buku-buku agama Islam yang ada - bahasanya agak sukar difahami oleh golongan seperti saya. Bagi saya, niat PTS adalah murni - untuk menyebarkan ilmu tentang agama Islam dalam bahasa yang mudah difahami. Moga-moga dengan inisiatif PTS ini - usaha kita untuk menarik mereka yang bukan beragama Islam mempelajari tentang agama Islam ini akan membuahkan hasil yang positif.

Ketika saya di seberang laut, saya sering didatangi oleh mubaligh-mubaligh Kristian yang selalu menjemput saya untuk menghadiri perjumpaan gereja mereka. Apa yang menarik perhatian saya ialah cara mereka cuba menarik penuntut-penuntut antarabangsa untuk mendekati Kristian. Bahasa yang digunakan amat lemah-lembut, perwatakan mereka yang begitu peramah dan cara mereka menyapa memang akan mencairkan sesiapa saja untuk datang. Walaupun saya menolak dengan cara yang baik - mereka tidak pernah menunjukkan perasaan tidak puas hati sebaliknya tetap mengekalkan aura positif mereka.

Memang ianya satu kejutan budaya bagi saya tapi ia membuatkan saya terfikir tentang sesuatu. Mengapakah pendakwah-pendakwah Islam tidak mengambil pendekatan positif yang sama? Mungkin ada segelintir yang melakukannya tetapi kebanyakannya lebih gemar menggunakan ayat-ayat atau perkataan-perkataan yang “keras” untuk “menghukum” mereka yang tidak mengikut landasan yang betul seperti yang disyariatkan oleh Islam. Bukankah cara yang lebih lembut dan berdiplomasi itu lebih besar kesannya daripada cara agresif yang menggunakan ayat-ayat berbau “kekerasan”?

Islam itu sendiri menggalakkan penganut-penganutnya mengamalkan sikap lemah lembut dan menggunakan perkataan-perkataan yang sedap didengar. Kerana itulah sebenarnya fitrah manusia. Manusia lebih tertarik dengan perkara-perkara yang indah dilihat dan didengar.

Jika kita bersungguh-sungguh menggunakan segala ilmu / taktik yang kita pelajari dalam bidang pemasaran untuk menarik perhatian pengguna membeli barangan kita yang tidak ada kena mengena dengan agama, mengapa ilmu dan taktik yang sama kita tidak gunakan untuk menarik perhatian umat kita mendekati agama kita sendiri melalui pendekatan yang positif.

Wallahualam.

alang  on  01/03  at  02:58 AM

Assalamu’alaikum Puan Sifu,

Doakan PTS masuk neraka? Sedangkan Nabi Muhammad mendoakan orang yang belum Islam dibukakan hati untuk menerima Islam, apatah mendoakan orang Islam masuk neraka!

Semoga ancaman yang sebegini akan menguatkan azam PTS untuk mempertingkatkan usaha dakwah.

-Alang-

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: