Buku Agama: Satu Judul, 2 Versi
Kita menerima cadangan supaya buku-buku agama PTS diterbitkan dalam 2 edisi. Satu edisi diterbitkan dengan teks Arabnya, manakala satu lagi edisi diterbitkan tanpa teks Arabnya.
Jadi, mengikut cadangan itu, buku-buku Tuan Guru Abdul Hadi Awang patut semuanya diterbitkan dalam 2 edisi.
Cadangan ini dapat dilaksanakan dalam keadaan:
(1) PTS mempunyai cukup wang bagi membiayai percetakan 2 edisi bagi buku yang sama.
Jika tidak, pengarang-pengarang lain akan mengeluh dan marah-marah disebabkan wang yang sepatutnya digunakan bagi mencetak buku mereka kini digunakan untuk mencetak judul-judul Tuan Guru.
Ataupun wang itu dapat digunakan bagi mencetak buku terbaru Tuan Guru Hadi Awang yang masih belum dicetak.
(2) Judul yang serupa, tetapi yang satu lebih tebal disebabkan ada tambahan teks Arab, terpaksa dijual dengan harga berlainan. Ini mewajibkan pertukaran ISBN dan CIP.
Ini mengelirukan ejen-ejen PTS apabila mereka hendak membuat pesanan, mengapa judul yang sama menggunakan ISBN yang berlainan, dan dijual dengan harga berlainan. Banyak pula soal-jawabnya dengan pegawai-pegawai di jabatan pemasaran.
(3) Adakah kedai-kedai buku sanggup mempamerkan kedua-dua versi serentak?
Banyak orang menyangka, semua buku yang dicetak akan dapat dihantar ke kedai buku. Tidak! Buku yang dicetak belum tentu dipesan oleh kedai buku. Justeru, jika buku Tuan Guru Hadi Awang diterbitkan dalam 2 edisi, kedai-kedai buku belum tentu mahu memesan kedua-dua edisi itu.
Banyak judul PTS, khususnya buku akademik bagi kegunaan pelajar IPT yang diterbitkan oleh PTS Professional, tidak dapat dibeli dalam kedai-kedai buku MPH, POPULAR, KINOKUNIYA dan lain-lain sebab kedai-kedai itu tidak mahu memesan judul-judul tersebut. Buku-buku itu hanya dapat dibeli di kedai buku koperasi universiti.
Ruang dalam kedai buku adalah terhad. Daripada mempamerkan dua buku yang sama, lebih baik ruang itu digunakan bagi mempamerkan buku lain, yang lebih laku dijual, sebab pembeli buku tidak membeli kedua-dua edisi buku Tuan Guru Hadi Awang.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment