Friday, February 27, 2009

Buku bagi Kenaikan Pangkat Penulis

Salah satu soalan lazim dari pensyarah universiti adalah, “Siapa yang menilai buku-buku akademik PTS sebelum diterbitkan?”

Apabila diberitahu bahawa PTS adalah syarikat swasta, oleh itu ia tidak bekerja menggunakan prosedur dan amalan-amalan yang seperti yang terdapat di penerbit universiti ataupun Dewan Bahasa dan Pustaka, ada pensyarah-pensyarah yang tidak suka mendengar penerangan itu.

Mereka mahu buku mereka dinilai oleh pakar-pakar bidang mereka selaras dengan amalan dalam dunia akademik. Ada yang mencadangkan supaya pada bahagian dalam buku-buku terbitan PTS, dicetak nama pakar-pakar bidang yang dilantik bagi menilai setiap buku.

Mereka yakin apabila buku mereka dinilai oleh panel yang terdiri daripada tokoh-tokoh akademik maka buku-buku itu lebih mudah menerima pengiktirafan untuk tujuan naik pangkat di universiti.

Pihak pengurusan PTS pernah bertanya dengan seorang sumber yang dipercayai dari sebuah universiti ulung, “Adakah di universiti tuan, buku-buku akademik terbitan PTS diiktiraf untuk tujuan naik pangkat?” “Ya. Buku-buku akademik PTS memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan oleh universiti,” kata sumber itu.

Ada beberapa faktor mengapa pengurusan PTS tidak melantik panel penilai luar:

(i) Yuran yang harus dibayar adalah mahal iaitu RM500 seorang bagi setiap penilaian. Ini meningkatkan kos pengeluaran. Harga buku terpaksa dinaikkan. Harga yang tinggi menyusahkan pelajar membelinya. Akibatnya mereka akan memfotokopi buku-buku itu. Penerbit tidak dapat menjual buku, dan penulis tidak mendapat royalti.

(ii) Proses penilaian melambatkan kerja-kerja penerbitan. Jangan hairan ada panel penilai yang menyimpan manuskrip hampir setahun, baru dinilai!

(iii) Penilaian oleh pakar akademik sekalipun tidak terlepas daripada pengaruh politik akademik. Buku yang baik tetapi kalau ia mengkritik teori si panel penilai, buku itu akan dinilai sebagai 'tidak layak' diterbitkan dengan diberikan berbagai macam-macam kritikan balasan.

(iv) Penilaian yang dibuat oleh pakar akademik menggunakan kriteria yang berbeza daripada penilaian yang dibuat oleh pengurusan PTS yang mementingkan aspek-aspek pemasaran.

(v) Mutu penilaian yang dibuat oleh panel belum tentu teliti. Selepas menunggu 4 bulan, penerbit pernah menerima laporan penilaian yang terdiri daripada 5 potong ayat. Apa gunanya laporan seperti itu?

(vi) Untuk tujuan kenaikan pangkat, pihak universiti melantik penilai-penilainya sendiri bagi menilai buku-buku dan pencapaian akademik pensyarah berkenaan. Sedikit pun mereka tidak peduli meminta salinan laporan penilaian daripada panel penerbit!

Tanpa PTS membazirkan waktu dan wang bagi menghantar manuskrip kepada panel penilai, majoriti kakitangan universiti yang menerbitkan buku-buku mereka dengan PTS berjaya naik pangkat, dengan syarat mereka memohon untuk naik pangkat di universiti mereka.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Dibaling Batu dan Botol Previous entry: PTS Masuk Kampung

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.