Buku Baik Belum Tentu Laku
Katakanlah, tuan mempunyai hasrat menulis sebuah buku tentang cara-cara yang baik dan betul bagi menguruskan syarikat perbankan Islam dan takaful, adakah buku seperti itu mempunyai pasaran yang besar?
Pasaran buku-buku yang mengajar orang bagaimana cara menguruskan bank-bank dan syarikat-syarikat insurans sangat sukar dijual disebabkan beberapa faktor:
(i) Jumlah individu yang mahu membeli buku demi belajar menguruskan bank dan syarikat takaful amat sedikit.
(ii) Pegawai-pegawai bank dan takaful menjalankan tugas mereka dengan mengikuti kursus-kursus dalam syarikat masing-masing.
(iii) Kedai-kedai buku tidak berminat menjual buku jenis itu disebabkan ia tidak laku keras.
Banyak penulis mempunyai andaian, jika banyak orang mempunyai masalah, maka buku berkenaan masalah itu sudah pasti laku dijual, lalu mereka berminat menulis buku seperti itu.
Orang membeli buku bukan disebabkan mereka mempunyai masalah. Ini adalah realiti.
Banyak orang mempunyai masalah kesihatan, seperti menghidap penyakit kencing manis, tetapi mereka tidak membaca buku-buku panduan kesihatan. Banyak orang mempunyai masalah tidak mampu membayar hutang kad kredit, tetapi mereka tidak membeli buku-buku panduan menguruskan hutang kad kredit. Banyak orang mempunyai masalah menagih dadah, tetapi penagih dadah tidak membeli, apatah lagi membaca, buku.
Faktor yang mendorong orang membeli buku adalah disebabkan mereka memang suka membaca buku.
Jadi, berapa banyakkah orang yang suka membaca buku tentang cara-cara yang betul bagi menguruskan bank-bank Islam dan syarikat takaful? Sangat sedikit.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Puan,
Seorang teman bekas pegawai kanan sebuah bank dari utara tanah air, mempunyai skrip buku mirip seperti entri puan ini. Katanya, skrip itu sudah lama dibayangkannya kepada PTS tapi tiada reaksi.
Saya harap beliau membaca entri ini.
Wassalam.
Hal ini mempunyai dua sudut. Kalau begini jadinya, ia bermakna banyak buku teknikal tidak akan diterbitkan (pengaturcaraan robotik, penyolekan kesan khas, dan lain lain). Adakah kita akan membaca buku mengenai artis popular setiap hari?
Sebenarnya hal ini telah berlaku sebelum ini apabila Utusan memutuskan untuk menutup operasi majalah Massa (jadi hal ini tidak terhad kepada buku sahaja). Majalah / buku Mastika juga berubah rupa.
Tetapi, adakah kerana hal ini kita akan menerbitkan buku laku keras sahaja dan tidak menggunakan sebahagian keuntung untuk tanggungjawab sosial (dengan sebegitu banyak majalah hiburan, adakah utusan masih sukar untuk menerbitkan semula Massa?).
Entahlah, mungkin sebagai bisnes, mereka perlu tutup operasi yang tidak menguntungkan. begitu juga PTS sebagai penerbit.
Tetapi apabila kita melihat hal ini dari sudut pendidikan, ia juga bermasalah. Dahulu syarikat komen sukar mendapatkan pekerja - maka universiti berubah menjadi cookie cutter - menerbitkan pelajar / pekerja yang dikhendaki masyarakat sahaja. Apabila kita gagal menceburi bidang baru (kerana univerisiti tidak mahu mengeluarkan pelajar yang pintar tetapi terkial-kial mencari kerja kerana tiada bidangnya di negara ini) maka timbul pula masalah lain.
Entahlah. Mungkin ini adalah ‘grey area’ yang kita kena seimbangkan - tidak boleh terlalu pentingkan keuntungan, tetapi tidak boleh sampai syarikat kita bankrap. Sama seperti microfinance MFI - interest tidak boleh terlalu tinggi, dan tidak boleh terlalu rendah. Terlalu tinggi, gagal objektif, terlalu rendah, menggagalkan diri sendiri…
Fable Fox http://www.fablefox.com
Post a comment