Buku Motivasi: ‘Populariti’ versus ‘Kredibiliti’
Sebagai penulis buku-buku motivasi, saudara mempunyai peluang memilih antara:
(i) Hidup dengan royalti buku semata-mata.
Sebagai contoh, ini dilakukan oleh Razzi Armansur. Beliau sudah menulis banyak buku dan mempunyai banyak peminat, tetapi sengaja tidak pernah muncul di mana-mana majlis ataupun rancangan TV memberikan ceramahnya. Beliau memberitahu Sifu, beliau memang tidak pandai bercakap di depan audiens.
(ii) Menimba pendapatan sampingan selain daripada royalti buku-buku melalui yuran 'show' saudara.
Sebagai contoh, ini dilakukan oleh Dato' Dr. Fadhillah Kamsah, Dr. Shukri Abdullah, dan A A Gym. Nama-nama mereka yang amat popular dapat meningkatkan jualan buku-bukunya.
(iii) Menjadi trainer.
Bagi menjadi trainer yang banyak pelanggan korporat, kredibiliti adalah ciri paling utama. Saudara tidak perlu popular. Ini berbeza dengan pasaran ceramah yang bersifat popularity-base.
Sebagai contoh, Sifu pernah memasuki pasaran training korporat disebabkan saya menulis buku-buku Lateral Thinking. Selama 14 tahun saya hanya memberikan perkhidmatan training kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dengan menggunakan kemahiran berfikir secara lateral. Lebihan wang yuran daripada 'show' itulah yang saya gunakan bagi menubuhkan penerbit PTS.
Jenis buku-buku yang saudara tulis amat mempengaruhi sama ada saudara dapat memasuki (a) pasaran ceramah, ataupun (b) pasaran training.
Sesetengah buku hanya sesuai untuk pasaran ceramah, manakala sesetengah buku hanya sesuai untuk pasaran training.
Sebagai contoh, buku bertajuk "Menjalin Hubungan Bahagia" hanya dapat membuka pintu pasaran ceramah. Buku itu tidak mempunyai ciri-ciri yang membolehkan isi kandungannya dibengkelkan, mahupun dikursuskan.
Penceramah mempunyai banyak persamaan dengan artis album. Selain saudara mempunyai isi kandungan ceramah, saudara perlu memiliki bakat showmanship.
Seperti artis, yuran penceramah yang popular adalah lebih tinggi daripada yuran penceramah yang kurang popular. Seperti artis hiburan juga, jika saudara mahu menjadi penceramah yang popular, saudara perlu memasarkan diri saudara menggunakan saluran media massa. Jadi saudara perlu banyak muncul di skrin TV dan radio, bercakap dan memberi ceramah, serta menjadi bahan berita dalam akhbar dan majalah.
Bagi penerbit yang mahu menerbitkan buku-buku motivasi popular, saudara dapat melakukan 2 strategi bagi mendapatkan penulis popular:
(i) Cari selebriti-selebriti TV supaya mahu menulis dan menerbitkan karya mereka dengan saudara. Jika mereka tidak pandai menulis buku, saudara boleh dapatkan penulis lain sebagai co-author selebriti TV itu. Ataupun, saudara dapatkan penulis yang sanggup menjadi penulis hantu bagi si selebriti.
(ii) Cari pengarang yang sudah mempunyai banyak buku supaya menulis buku khusus untuk saudara terbitkan, dan selepas itu, keluarkan modal bagi mempromosikan wajah beliau di TV secukup-cukupnya sehingga pengarang itu menjadi selebriti TV.
Penerbit buku-buku motivasi popular mempunyai persamaan dengan penerbit rancangan TV hiburan. Kedua-duanya memerlukan 'star' yang 'HIT' dari masa ke masa. Sebagai contoh, Akademi Fantasia adalah strategi bagi menemukan artis 'HIT', tetapi sudah beberapa lama AF gagal menemukan jawapan kepada 'Siapa Selepas Mawi?'.
Sebagai penerbit buku-buku popular, saudara juga memerlukan penulis 'star' yang 'HIT' dari masa ke masa. Sebagaimana jualan album artis lama semakin menurun, demikian juga halnya dengan jualan buku-buku selebriti TV. Jadi, apabila saudara masuk ke dalam sektor produk-produk popular, saudara sentiasa perlukan lepas satu, satu, 'star' baru yang 'HIT'.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum.
Puan Ainon yang saya hormati, semoga Puan sentiasa dilindungi rahmat Allah dan dikurniakan keceriaan sepanjang masa.
Saya selalu merasa bersemangat apabila mendengar cerita Puan Ainon mengenai kejayaan Puan dalam bidang training. Dalam diam, saya memang menyimpan cita-cita untuk berjaya dalam bidang training ini seperti Puan.
Saya sangat bersetuju mengenai peranan kredibiliti untuk berjaya sebagai seorang trainer. Saya lihat ramai trainer bermula dengan menjadi seorang penulis buku. Saya pula terbalik. Saya jadi trainer dulu baru saya dapat hasilkan buku.
Apa yang saya dapat lihat, buku benar-benar memberi seorang trainer satu kredibiliti yang sangat baik dan hebat. Kerjaya saya semakin meningkat sejak buku saya terbit dengan PTS Millenia. Kini, disamping PTS Millenia membuat promosi untuk buku tersebut, saya turut sama berusaha untuk mempromosikannya dengan cara saya sendiri (yang mungkin agak terhad).
Setakat ini, apa yang saya lakukan, saya berikan 3 buah buku SmartStudy sebagai hadiah pertandingan bagi majalah Fokus SPM Karangkraf setiap bulan. Tujuannya ialah supaya gambar buku itu dapat dipaparkan di majalah tersebut setiap bulan. Dapatlah sedikit pendedahan untuk buku saya itu.
Satu lagi saya sering lakukan ialah jadikan buku ini sebagai ‘business card’ saya. Kalau saya jumpa orang-orang tertentu yang boleh membantu saya mempromosikan lagi buku dan training saya, saya akan berikan buku tersebut secara percuma. Setakat ini hasilnya agak memuaskan berdasarkan jemputan program yang saya terima. Dalam awal tahun 2008 ini, saya sudah di jemput menjadi tetamu selamat pagi Malaysia dan tetamu siaran radio 24 (saya ada tulis kisah ini di http://www.motivasibelajar.com) . Semua ini kerana ingin membincangkan apa yang ada dalam buku tersebut.
Jadi mesej saya ialah sesiapa yang sudah ada buku dan berminat untuk menjadi trainer, peluangnya adalah sangat besar kerana kredibiliti sudah ada. Cuma perlu sedikit latihan dalam bidang training. Tambahan pula, kita masih kekurangan trainer Melayu yang boleh jadi setanding dengan dengan bangsa-bangsa lain.
Akhir kata, saya sangat terhutang budi kepada PTS. Jika Puan ada keinginan untuk menganjurkan satu lagi program untuk memberi pendedahan kepada rakan penulis tentang cara menjadi seorang trainer (termasuk cara menghilangkan rasa berdebar semasa berdiri di depan khalayak ramai, cara memudahkan peserta training faham apa yang disampaikan dan sebagainya), saya sudi untuk mengendalikan program tersebut dan berkongsi pengalaman saya secara percuma.
Terima kasih Puan.
Osman Affan
http://www.OsmanAffan.com
Post a comment