Buku PTS Hanya Covernya yang Cantik?
Seorang penyokong kuat perjuangan PTS, Tuan Web Sutera (foto beliau dengan Ramlee Awang Murshid), menulis dalam chatbox UNIKA bahawa ada orang mengatakan:
"Memang bukunya banyak di pasaran tetapi kualitinya boleh dipertikaikan. Kualiti kulit dan promosi memang top tapi kandungannya banyak yang menyedihkan."
Inilah respons UNIKA: Kepada penulis-penulis yang bukunya diterbitkan oleh PTS, jangan berasa hati membaca penilaian yang dibuat secara pukul rata itu.
(i) Tidak mungkin orang yang membuat tuduhan itu sudah membaca SEMUA lebih 1000 judul buku PTS, sebelum membuat tuduhan tersebut.
(ii) Kalau pun beliau sudah membaca semua buku PTS, tidak mungkin SEMUA buku PTS tidak berkualiti dan kandungannya menyedihkan.
Tidak mungkin:
(i) Buku-buku PTS yang dihasilkan oleh profesor dan pensyarah univerisiti pun tidak berkualiti.
(ii) Buku-buku PTS yang dilesen oleh penerbit Indonesia pun tidak berkualiti.
(iii) Buku-buku PTS yang dibeli oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Bahagian Teknologi Pendidikan KPM pun tidak berkualiti.
(iv) Buku PTS yang diulangcetak 7 kali dalam tempoh 12 bulan pun tidak berkualiti.
(v) Buku-buku PTS yang sudah terjual lebih 40,000 unit pun tidak berkualiti.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Betul kata Sifu. Komen di blog saya datangnya dari pelbagai golongan pembaca dan peminat buku. Mungkin ada seorang dua yang tidak berpuas hati, sebabnya hanya beliau sahaja yang tahu. Itu hak pembaca tersebut.
Sepanjang pembacaan dan penelitian saya, majoriti buku PTS memang ada nilai tersendiri. Pandangan saya ini bukan disebabkan saya penulis PTS. Saya masih berada dalam kumpulan entiti bebas justeru kerana saya tidak menulis buku.
Sejak saya mengenali Sifu dan PTS, saya sentiasa menyokong perjuangan dan buku-buku terbitan PTS, walaupun pernah saya katakan bahawa buku PTS agak mahal. Saya peduli apa kalau harganya mahal sedikit, saya tetap membelinya.
Tetapi kalau ada diskaun, lagi menarik, hihihi..
Saya sering mendapatkan buku-buku PTS apabila mencari bahan-bahan untuk program TV dan Radio. Tanpa PTS, saya terpaksa membaca buku-buku tulisan barat dan seringkali terkial-kial mencari perkataan yang sesuai untuk dimelayukan.
PTS telah banyak membantu dan memudahkan kerja saya. Kepada penulis-penulis PTS, teruskan perjuangan memandaikan bangsa.
Bila dia mengkritik PTS, telah mengkritiklah dia beberapa puluh wargakerja PTS.
Bila ratusan ribu, juta? buah buku PTS berada dalam almari-almari dalam ribuan rumah-rumah, bermakna dia telah mengritik ribuan pembeli-pembeli buku PTS juga.
Buku PTS berkaitan dengan ekonomi, psikologi, keagamaan dan profesional memang lebih banyak yang berkualiti daripada yang biasa.
Saya rasa tidak adillah bagi pengkritik itu mengkritik buku-buku PTS secara menyeluruh. Satu buku yang buruk, semua buku terpalit, ini sungguh tidak adil.
Jika hendak kritik, kritiklah satu-satu buku sahaja. Kenyataan pengkritik itu sungguh tidak bermoral. Cuma tahu mengkritik sahaja, tetapi apa yang dikritiknya? Kosong!
Apa yang tidak berkualitinya? Kandungan yang bagaimanakah yang menyedihkan? Apa yang membuat kandungan itu menyedihkan? Semuanya tidak diterangkan. Kosong!
Pengkritik seperti ini layak dicampak ke tengah laut sahaja. Tidak pandai mengkritik. Tidak ada isi. Tidak ada mesej yang jitu. Kosong!
Ini namanya ‘kesan sebiji langsat pada sebakul langsat’. Betulkan Sifu? Satu (atau beberapa) buku Pts yang dipertikaikan kualitinya, maka semua buku-buku Pts ‘diborong’ tidak berkualiti.
Saya secara peribadi beranggapan, kritikan ini lebih dimaksudkan kepada karya fiksyen berbanding bukan fiksyen.
Pun begitu, dari sudut bisnes, komen sebegini perlu diambil serius.
“Saya lebih sedih dengan kualiti pemerintahan kerajaa...aaaannn.”
Teruskan menulis!
Dua komen. Sepuluh tidak komen.
Sepuluh lebih banyak dari dua.
10
2
Emm…
Kritikan terhadap kualiti memerlukan kritikan berkualiti.
Buku terbitan PTS, cover kulitnya cantik, isinya mantap dan menarik juga susunan bahasa yang baik, indah dan mempersonakan minda saya.
Tiada keraguan berbelanja di PTS, keuntungan berganda melabur idea di syarikat penerbitan ini.
PTS, lambang keteguhan, keunggulan dan kemajuan industri penerbitan berbahasa melayu. PTS, kini berada di dalam standardnya yang tersendiri, berkualiti, cemerlang dan berdaya saing.
Memang ada buku PTS yang tidak berkualiti (ikut tahap kualiti saya). Tapi itu hanya dua atau tiga daripada berpuluh-puluh buku PTS yang telah dibeli.
Hingga sekarang buku yang tersilap beli itu tidak habis dibaca. Entah kenapa dibelinya buku itu, mungkin kerna pada masa itu saya mempunyai wang besar. Atau saya terdesak untuk mendapatkan jawapan kepada sesuatu persoalan diri.
Buku PTS terkini yang sampai sendiri di rumah ialah TDMHE, tidak peduli akan kualitinya. Hanya menumpukan kepada apa yang disarankan oleh penulis untuk dibuat amalan. Telah berulang kali dibaca, ditanda dan diconteng di sini sana. Ini untuk memudahkan rujukan cepat dan tepat. Dua amalan yang disarankan telah dapat diamalkan. Alhamdulillah… Syukur.
Assalamualaikum Pn. Ainon.
Bagi kakchik pula, PTS telah banyak membantu usaha-usaha kakchik meramaikan orang yang gemar membaca dan terus menjadi pelanggan setia kedai kami, MariBaca.
Bagi orang yang sibuk,
1. Nak membaca tapi tak nak yang panjang-panjang - PTS membuktikannya. Bab-bab buku PTS pendek-pendek.
2. Nak bahasa yang mudah faham - memang buku PTS bahasanya mudah dan ringkas kecuali buku-buku tertentu seperti dalam kategori pendidikan misalnya (tak semua).
3. Nak seronok membacanya - memang yang ini saya pun setuju sangat sebab saya pun banyak membaca buku PTS dari buku kanak-kanak hinggalah buku orang dewasa.
4. Kulitnya memang cantik, kontemporari tapi Islamik - pelanggan kakchik pun setuju.
5. Ada kelainan - ada Basmallah di mukasurat pertama, ada penanda buku (walaupun tak semuanya tapi majoriti buku kanak-kanak & remaja ada… elok juga rasanya kalau di dalam buku untuk golongan dewasa pun diletak Basmallah).
Ini pandangan kakchik dan telah dipersetujui oleh pelanggan MariBaca.
Entah-entah tidak berkualiti yang dimaksudkan adalah kualiti tahap tertinggi. Tiada gunung di Malaysia setinggi itu.
Ketika di hujung usianya Umar alKhattab, khalifah kedua, beliau sering gusar. Beliau bercerita kepada salah seorang penasihatnya, budak muda, Abdullah bin Abbas, “Aku tidak menjumpai seorang yang layak menjawat jawatan ini.” Itulah aras kualiti paling tinggi.
Pada masa itu masih ada 6 orang daripada kalangan 10 sahabat Nabi yang dijanji syurga. Ada puluhan ribu para sahabat. Kerana itulah, beliau tidak mahu menamakan pengganti sebagaimana dibuat khalifah yang awal, Abu Bakar.
Kalau kita menghimpunkan berbilion manusia yang menjejak kaki di atas bumi pada masa sekarang, tentu kita tidak akan menjumpai seorang yang sekualiti sahabat yang paling rendah daripada yang enam orang itu.
Cumanya dalam soal penghasilan buku, rasanya tidak perlu kepada tahap kualiti yang tadi. Sekurang-kurangnya buat masa ini.
Alam semesta tidak terjadi dalam masa satu malam. 1000 tahun selepas alam ini dicipta, alam ini belum bersedia menerima seekor lalat pun. Seorang anak tidak terus jadi selepas ibubapanya bersama pada suatu malam.
Boleh turut memberi pandangan?
Buku penerbitan PTS menepati matlamat untuk menjadikan warga pandai dan berasa bangga dengan bahasanya.
Membina keinteraksian sistem VAKOG yang upaya menatijahkan keyakinan di dalam berkomunikasi.
Semakin ramai warga yang berada di luar negara apabila ingin mendapatkan sesuatu (makanan umpamanya) berikhtiar untuk mendapatkan barangan buatan tanah air.
Apabila syarikat penerbitan PTS dan seangkatannya upaya memfokuskan sama lokasi penempatan warga yang berada di luar negara dengan membekalkan bahan bacaan juga rujukan yang sesuai dengan peringkat umur, warga menjadi semakin berasa memiliki sesuatu sebagai penanda memiliki negara.
buku-buku ciptaan sekarang kurang yang berkualiti,kurang maklumat,sekadar manis di pena.hanya fkirkan keuntungan semata-mata.
Tuan Jange Mare,
Komen macam komen tuan inilah yang membuat saya murka!
Apabila tuan membuat penilaian, tuan tidak memberitahu dengan spesifik buku-buku apa yang tuan katakan “tidak berkualiti, kurang maklumat” itu supaya dapat kita perbaiki.
Tuan juga menuduh penulis dan penerbit hanya “fikirkan keuntungan semata-mata”.
Dari mana tuan tahu dan yakin bahawa semua penulis dan penerbit bersikap begitu?
Sikap tidak bertanggungjawab macam sikap tuan itu boleh menyakiti hati para penulis yang sedang berjuang memandaikan bangsa.
Tuduhan tuan itu tetap dicatit oleh malaikat.
saya tidak bermaksudkan buku keluaran tuan,saya maksudkan kebanyakan buku sekarang.dan kritikan saya adalah bertujuan membina.
buku keluaran pihak tuan ok belaka.
maaf jika membuat tuan melenting.
Subhanallah, Sifu. Sabar
Ok untuk sejukkan hati, saya umumkan bahawa saya membeli dua buah buku untuk anak saya; Di Bawah Naungan Cahaya Mu dan Srikandi Perisai Nabi, dua hari lepas.
Satu pertanyaan, mengapa bab-bab novel sai-fi Transgenesis terlalu panjang? Tidak bolehkah dipecah-pecahkan jadi bab-bab yang pendek?
Tuan Jange Mare,
Kalau tuan mengata buku penerbit lain yang “tidak berkualiti, kurang maklumat”, tulislah begitu di laman web penerbit-penerbit itu ataupun dalam blog penulis yang tuan maksudkan.
Barulah maklumat itu sampai ke pengetahuan mereka supaya ambil langkah membaiki kualiti buku-buku mereka.
Apa manfaatnya menulis dalam UNIKA. (Jangan mengata orang di belakang-belakang.)
Ini yang saya murka!
En. Jangan Mare,
Apa kejadahnya engkau datang ke mari sedangkan engkau kurang membaca? Engkau tidak tahukah yang Puan Ainon itu Puan dan bukannya Tuan. Kritikan demo tu tak membina langsung. Apa membinanya? Tak ada membinanya langsung. Membina dengan tak membina pun tak tahu beza. Tak makan budukah? Pergi makan budu dan bacalah buku berkaitan Seni Berbual-bual supaya engkau tahu bagaimana hendak membuat kritikan membina. Muuuu niiii… Jange Mare, apa nak jadi.
Puan Sifu yang dihormati,
Kata Nabi Muhammad, berkatalah yang baik atau diam sahaja.
Kata Peter Drucker, perniagaan perlu fokus pada peluang, bukan masalah. Bila kita selesaikan masalah, keadaan kembali normal semula, bukannya untung makin bertambah.
Komen negatif memang menyakitkan hati kerana ia menjatuhkan imej perniagaan dan merendahkan usaha tim PTS (penulis + editor + penerbit + pencetak + pengedar + peniaga buku) yang berjuang siang malam memajukan industri buku di Malaysia.
Puan pernah menulis tentang Puan Saridah Hamid yang menerima komen - bukunya biasa-biasa sahaja. Respon Puan, memang buku PTS untuk orang biasa-biasa, bukan untuk orang luar biasa. Komen ‘buku PTS biasa-biasa’ boleh diterima kerana biasa tidak bererti buruk. Kita juga faham isi sebuah buku memberi kesan berbeza kepada pembaca berbeza. ‘Biasa’ pada pembaca A mungkin ‘Sangat Baik’ pada pembaca B.
Komen buku PTS tidak berkualiti agak sukar diterima. PTS memberi pelbagai panduan ‘quality control’ kepada penulis melalui bengkel-bengkel wajib Bahasa Melayu Tinggi, teknik surah Yusuf dan pelbagai bengkel lain meliputi teknik bahasa, psikologi, agama dan pemasaran. Malah, sesetengah projek buku menghendaki penulis lulus ujian-ujian tertentu. Panduan penulisan berkualiti ini dipanjangkan lagi melalui entri-entri UNIKA yang bertujuan mendidik dan membimbing penulis.
Editor-editor juga ada panduan dan kursus tertentu yang perlu diikuti sebelum layak menjadi editor PTS.
Saya rasa orang yang memberi komen-komen umum begini juga boleh dipertikaikan kualitinya - samaada tidak pandai menilai atau tidak pandai memberi pendapat. Mereka tidak sedar kesan kritikannya pada perasaan dan kerja orang malah tidak juga membantu PTS membuat lebih baik.
Mengikut pemerhatian, PTS sangat menghargai komen pembaca sehingga cover-cover buku juga diiklan di UNIKA untuk diberikan pendapat. Pembeli juga disaran mengulas buku dan memberitahu pendapat mereka terus kepada penulis dan PTS untuk tujuan inovasi. Sebenarnya, tidak banyak perniagaan yang mampu ‘melayan’ pelanggan ke tahap begini.
Saya rasa segalanya terpulang kepada niat. Pembaca yang berniat baik akan bertindak seperti yang Puan selalu ucapkan, “Beritahu dengan spesifik apa yang boleh diperbaiki.”
Manusia (dan PTS) hanya boleh mencapai yang terbaik mampu dilakukannya. Tuhan jugalah yang sempurna.
Puan, tambah sikit lagi.
“Memang bukunya banyak di pasaran tetapi kualitinya boleh dipertikaikan. Kualiti kulit dan promosi memang top tapi kandungannya banyak yang menyedihkan.”
Sekurang-kurangnya dia mengakui:
1. Buku PTS banyak di pasaran
2. Kualiti kulit PTS top
3. Kualiti promosi PTS top
Tahniah kepada penulis, pengurus, editor-editor perolehan PTS - buku banyak diterbitkan.
Tahniah kepada team cover designer PTS - kualiti kulit top.
Tahniah kepada team pemasaran PTS - kualiti promosi top.
3 lawan 1.
Puan Rihan yang dikasihi,
Terima kasih atas komen Puan yang panjang itu.
Untuk makluman Puan, PTS mempunyai dasar perniagaan yang memberi ganjaran kepada sesiapa yang menulis kritikan spesifik tentang apa jua kesalahan dalam buku-buku PTS.
Sudah hampir 10 orang yang menerima ganjaran tersebut.
Tulis nombor-nombor muka surat itu, dan apa yang salah. Tuliskan dan emelkan kepada SAYA sendiri pun boleh, malah saya sangat suka begitu.
Jika buku yang dikritik itu terbitan PTS Professional, maka pengkritik diberi peluang memilih mana-mana buku terbitan PTS Profesional dan senaskhah buku itu dihadiahkan (diposkan) percuma.
Begitulah juga dengan buku anak-anak syarikat lain.
Kita di PTS sangat mementingkan kualiti kerana kita hendak menjaga kepercayaan pensyarah universiti, pustakawan, guru-guru dan ibu bapa.
Buku-buku PTS diberi markah oleh universiti bagi tujuan kenaikan pangkat pengarangnya, jadi kita sangat berhati-hati dengan kualiti.
Buku-buku PTS juga dibeli oleh Perpustkaan Negara Malaysia (PNM) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Itu sebab saya murka apabila ada pengkritik yang menulis dengan sikap macam orang celupar, tulis main sedap sahaja, dengan tidak memikirkan perasaan para penulis, editor dan pembeli buku-buku PTS.
Puan Sifu yang dihormati,
Terima kasih kerana berkongsi maklumat tentang dasar PTS memberi reward kepada pembaca yang memberi kritikan spesifik. Ini satu lagi perkara baru saya pelajari tentang PTS. Nanti saya belek semula buku-buku PTS saya
Semoga usaha-usaha PTS menjaga kualiti dan kepercayaan pelanggan akhirnya akan menjadi satu standard perniagaan dan organisasi di negara kita. Hasilnya, produk dan tenaga kerja kita turut bagus.
Orang-orang yang celupar dan tulis main sedap sahaja, semoga akan insaf sendiri selepas membaca entri-entri Puan (Teori Surah Yusuf).
Nota: Teringat cerita Prof. Abdullah tentang kisah lama beliau mencari kesalahan tatabahasa dalam Reader Digest untuk mendapat reward US150 bagi satu kesalahan.
Ehem, saya pernah mengkritik sebuah buku PTS, tetapi tiada pun ganjaran.
.................
Nota Sifu:
Tun WEB,
Bagi mendapatkan ganjaran, kirimkan kepada saya catatan kesilapan-kesilapan itu. Beritahu muka suratnya, dan apa-apanya yang salah. Ini termasuk ejaan yang salah, fakta yang salah, ataupun running head yang salah dan yang seperti itu.
Kita berikan ganjaran sebab ia amat membantu editor membetulkan kesalahan-kesalahan dalam buku itu sebelum buku itu diulangcetak.
Post a comment