Tip Survival Penulis: Menulis Buku yang Dapat Dilesenkan ke Jakarta
Indonesia adalah pasaran besar dan mempunyai potensi bagi kita terokai dengan berkesan.
Pada masa ini PTS sudah melesenkan hampir 100 judul kepada penerbit-penerbit Indonesia. Antara yang paling berjaya adalah (a) Siri Novel Pahlawan Islam, (b) siri Usahawan Kecil, (c) siri Young Aishah, dan (d) siri 31 Cerita.
Antara ciri-ciri yang dapat menarik minta penerbit Indonesia bagi melesen judul dari PTS adalah:
(i) Buku itu berpotensi menjadi buku evergreen, seperti halnya dengan siri Pahlawan Islam dan siri 31 Cerita.
(ii) Tema buku tema sepanjang masa, bukan topik yang bermusim.
(iii) Cerita dan bahan dalam buku itu dapat difahami oleh pembaca Malaysia dan Indonesia, seperti halnya dengan siri Usahawan Cilik dan siri Young Aishah.
Oleh hal yang demikian topik tidak boleh yang terlalu lokal sehingga hanya rakyat Malaysia sahaja yang faham isu-isu dalam topik itu. Senbagi contoh, dalam buku panduan menjadi pemimpin, jangan gunakan isu perebutan kuasa di kalangan pemimpin UMNO sebagai contohnya. Masalah UMNO adalah terlalu lokal.
-
Contoh-contoh yang saudara gunakan dalam buku saudara itu bukan contoh-contoh orang yang masih hidup. Kalau saudara gunakan nama 'Dr. Mahathir' ataupun 'Pak Lah' ataupun 'Bill Gates', buku saudara tidak dapat hidup lama dalam pasaran. Sebaliknya, gunakan sebagai contoh tokoh-tokoh yang sudah meninggal dunia seperti Nabi Muhammad, Khalifah Umar bin Aziz, Abraham Lincoln, Ayatollah Khomeini, Thomas Edison dan lain-lain.
-
Nama-nama orang dan organisasi yang saudara gunakan itu jangan nama-nama yang relevan kepada rakyat Malaysia sahaja seperti UMNO, PAS, MARA, Tun Teja, Raden Kartini, Najib Razak, Endon Mahmud, dan lain-lain. Nama-nama itu tidak sama-sama relevan kepada kedua-dua pembaca di Malaysia dan Indonesia. Gunakan nama-nama yang relevan baik di Malaysia mahupun di Indonesia.
-
Menggunakan nama-nama selebriti lokal seperti Siti Norhaliza, M. Nasir, Krisdiyanti, Hetty Koes Endang, Linda Onn ataupun Aznil akan menyebabkan hayat buku saudara amat singkat, lebih singkat daripada menggunakan nama tokoh politik seperti Dr. Mahathir, Amin Raies, Soeharto ataupun Pak Lah.
-
Bahasa yang saudara gunakan bukan bahasa yang difahami oleh orang Melayu Malaysia sahaja. Jangan gunakan istilah-istilah dan frasa-frasa yang terlalu lokal. Perkataan “sama ada” tidak difahami di Indonesia. Apabila saudara banyak membeli dan membaca buku-buku terbitan Jakarta saudara mendapat maklumat berkenaan perbezaan kosa kata Indonesia-Malaysia. Di kedai buku Universiti Malaya terdapat banyak buku-buku berkualiti dari Jakarta, silalah ke sana.
PTS sudah mula mengekspot judul-judul PTS ke Indonesia. Buku-buku itu di-Indonesia-kan oleh editor-editor di Indonesia. Gunakan Bahasa Melayu Tinggi apabila saudara menulis sebab gaya Bahasa Melayu Tinggi tidak banyak berbeza daripada gaya Bahasa Indonesia Tinggi. Yang dikatakan bahasa tinggi itu disebut juga sebagai 'bahasa buku'.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Puan,
Bukankah kita perlukan penterjemah dari bahasa Melayu ke bahasa Melayu Indonesia (dan sebaliknya juga) juga?
——-
err Puan Ainon, tawaran di bawah serius?
Sdr Abdullah Jones, ya, saya serius. Tulislah episod2 pendek yang terdiri daripada peristiwa2 sebenar yang sdr pernah alami selama sdr hidup di tengah2 masyarakat Eropah. Setiap episod, antara 100 - 300 perkataan.
Sdr Naga, ya betul, kita memerlukan penterjemah Malaysia-Indonesia dan Indonesia-Malaysia. Di PTS kita mempunyai bekas pelajar Malaysia yang belajar di Indonesia bagi meMalaysiakan buku-buku PT Mizan yang kita lesen. Di Indonesia PT Mizan menggunakan bekas pelajar Indonesia yang pernah belajar di Malaysia.
Post a comment