Corat-coret Pesta Buku: Cerita Sedih
Pada pesta buku lalu, ada seorang wanita pertengahan 30-an datang ke booth PTS. Dia datang dan terus bertanya kepada saya, yang kebetulan sedang berdiri-diri di rak novel dewasa.
Beliau terus berkata kepada saya, "Saya mahu cerita sedih!"
Hmm.... fikir saya.
Saya pun terus memilihkan buatnya dua karya yang mempunyai banyak babak-babak sedih di dalamnya, lalu saya berikan kepada beliau. Ditimang-timangnya kedua-dua novel kisah benar itu.
Saya menerangkan, "Novel ini cerita janda enam orang anak dihalau keluar rumah oleh ibunya sendiri sendiri disebabkan ibunya mengalami tekanan perasaan apabila suaminya meninggal dunia. Salah seorang anak janda itu berjaya melanjutkan pelajarannya ke Amerika."
"Novel ini pula cerita budak kampung yang bodoh lagi miskin, anak seorang Cina tua masuk Islam. Akhirnya dia dapat masuk fakulti perubatan UKM, daan sekarang beliau seorang doktor bertugas di Terengganu," kata saya lagi.
Lalu tanpa banyak soal jawab, kedua-dua buku itu dibelinya.
Demikianlah salah satu tingkah laku pembeli buku. Sebahagian daripada mereka memang datang dengan pilihan yang sudah dikenal pasti dengan tepat. Perempuan itu mahu buku cerita sedih. Noktah.
Tiap-tiap genre mempunyai peminatnya sendiri. Adalah kekecualian apabila kita terjumpa pembaca buku yang berkata, "Saya meminati semua jenis buku." ataupun yang berkata, "Saya meminati semua jenis novel cinta."
Ini bermakna semua genre mempunyai pasarannya. Yang berbeza adalah saiz pasaran itu.
Genre cerita sedih adalah sektor yang sudah beberapa lama dibangunkan oleh PTS. Semua siri jibunsyi PTS menghidangkan unsur kisah sedih.
Siapakah yang membeli genre kisah sedih PTS?
Kita percaya perempuan itu dahulu adalah pembaca novel-novel cinta, tetapi selepas berumahtangga, dan kini usianya masuk 30-an, citarasa beliau berubah. Novel-novel asmara sudah tidak sesuai lagi dengan fasa kehidupannya sekarang. Lalu dia berpindah genre.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam Puan Ainon.
Entri ini bagai magnet yang menarik saya untuk berkongsi pendapat di sini.
Secara umumnya, memang kaum Hawa, terutama yang masih muda (bawah 30an), belum berumahtangga, sering dilabelkan sebagai kumpulan pembaca yang meminati novel-novel asmara, percintaan, kisah rumahtangga, dan yang seangkatan dengannya.
Tetapi berdasarkan pengamatan saya (di tempat kerja sendiri), kumpulan pembaca aliran ini tidak semestinya wanita yang disebutkan kategorinya di atas. Memang agak tepat kalau dikatakan trend pembelian buku novel cinta/asmara, berkisar pada kaum Hawa. Cuma kategori mereka bukan semestinya berdasarkan umur, dan status perkahwinan. Saya kurang pasti apakah yang menarik kumpulan pembaca ini ke arah novel aliran percintaan. Cuma satu kesimpulan yang dapat saya temui, kebanyakan mereka yang meminati novel aliran ini - yang sudah berumahtangga, kurang berpuas hati dengan perhubungan dalam rumahtangga masing-masing. Oops, kenyataan ini adalah kesimpulan saya sendiri, berdasarkan sampel yang kecil, di tempat kerja sendiri. Mungkin ia hanyalah kebetulan. Saya berharap, jika ia tidak tepat dengan anda (para pembaca sekalian), saya memohon maaf. Bukan niat saya hendak menyinggung sesiapapun.
Saya sekadar pemerhati dari luar lingkungan tersebut, yang sedang mengkaji apakah ada sebarang kaitan antara taraf hidup, latar belakang pendidikan, hubungan kekeluargaan, dan sebagainya, dengan pilihan bahan bacaan.
Wallahualam.
.......................
NOTA SIFU:
Saya amat berminat mahu mengetahui hasil kajian Cikpuan tentang antara taraf hidup, latar belakang pendidikan, hubungan kekeluargaan, dan sebagainya, dengan pilihan bahan bacaan. Kalau hasil itu masih “lebih kurang” pun tidak mengapa.
Maklumat yang Cikpuan kaji itu amat berguna kepada penerbit kerana kita perlu memahami “buku yang bagaimana yang dibeli dan dibaca oleh pembaca yang bagaimana”.
Post a comment