Friday, August 29, 2008

Dato’ Baha Zain Menulis: Ekologi Bahasa

Mewujudkan Ekologi Kebahasaan

Semalam (Rabu) sehari suntuk saya dan beberapa teman menyertai perbincangan tentang isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah-sekolah. Turut hadir perwakilan dari persatuan-persatuan Cina, Tamil, Kadazan dan Iban.

Cukup panas, banyak perbincangan dialektik, tetapi tak ada resolusi. Biasalah budaya moden Malaysia sekarang bincang, bincang, bincang dan tak ada tekad untuk membuat keputusan dan bertindak. Namun demikian ia sangat berfaedah kerana banyak memberi maklumat tentang pelbagai fikiran dan persepsi.

Rupa-rupanya antara peserta yang konon dianggap elit, canggih, berpendidikan tinggi dan moden di situ ramai pula yang tak pandai berfikir secara konseptual dan rasional.

Kalau saya mahu merumuskan keseluruhan perbincangan itu, saya boleh berkata begini: Ada yang setuju , dan ramai yang tak setuju. Masing-masing dengan alasannya berdasarkan latar belakang hidup masing-masing, pekerjaannya, hubungannya dengan kerajaan, falsafah atau tak ada falsafah kebangsaannya.

Apa yang menarik ialah:

(i) ada tanggapan bahawa sesiapa yang tak setuju dengan PPSMI dianggap menentang Bahasa Inggeris.

(ii) Ada yang berpendapat bahawa Bahasa Inggeris itu adalah jendela dan kunci bagi segala ilmu, Sains, Matematik, dan juga kejayaan dalam hidup.

(iii)Ada yang menyangka kenapa dibahaskan sangat isu ini kerana ia hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja ( Sains dan Matematik).

Ketiga-tiga pendapat atau tanggapan di atas jelas menunjukkan sangat ramai penduduk negara ini yang mempunyai persepsi yang keliru terhadap apa yang berlaku dalam pendidikan kita, terutama isu PPSMI. Ia juga menggambarkan budaya berfikir, dan nilai-nilai yang mempengaruhi pandangan hidup masyarakat kita sangat kacau, tidak jelas arah budaya yang hendak dituju, dan tidak mengetahui secara sungguh-sungguh tentang masalah bahasa, ilmu, dan erti kejayaan dalam hidup bangsa kita.

Tentulah banyak sekali faktor-faktor yang menyebabkan kita jadi begitu. Antara sebabnya ialah penduduk kita terdiri daripada tiga kaum besar yang memiilki kepercayaan, bahasa dan adat kebiasaan yang berbeza-beza sehingga menjadi masyarakat yang tidak padu dan tidak sama pandangan dunianya.

Tentu juga rasa iri hati dan persaingan kebudayaan berlaku antara kita. Inilah masalah besar kerajaan yang sampai hari ini masih tak terdaya mengintegrasi kaum mengikut visi kebangsaan sendiri.

Berbalik kepada isu bahasa, tidak ada sesiapa yang waras fikiran menentang penguasaan Bahasa Inggeris atau bahasa apa pun, lebih-lebih lagi Bahasa Kebangsaan (malu kalau tak mahir membaca, menulis, dan berkomunikasi dalam bahasa negara ini). Tetapi janganlah gunakan Bahasa Inggeris untuk mengambil alih Bahasa Kebangsaan dalam Sains dan Matematik. Ini tidak patriotik.

Masakan ada rakyat yang mengaku nasionalis sanggup buat begitu. Jepun, Korea, Cina, Rusia, Perancis, Sepanyol, Arab, Jerman, Belanda dan Brazil buat seperti kita kah? Apakah mereka tidak maju macam Amerika atau England?

Tentang ilmu janganlah kita terperangkap dalam fikiran penjajahan bahawa Bahasa Inggeris itu sahaja yang hebat mengandungi ilmu. Tanyalah Profesor Fizik, Matematik, Sains, danPerubatan bahawa bahasa-bahasa Portugis, Sepanyol, Perancis, Itali, Jerman , Cina dan Jepun kalau tidak lebih, sama sendat padat dengan penemuan-penemuan kajian dan ilmiah dalam bidang sains dan teknologi.

Di sini pun siapa sangat yang pakai kereta dari Amerika dan England. Audi, Mercedes, Volkswagen, dan BMW dari Jerman; Toyota, Lexus, Honda, Nissan, Suzuki, Yamaha, Nikon, Olympus, Canon dan Sony dari Jepun.

Hanya kerana secara tradisi kita daripada dahulu lagi terlatih dalam Bahasa Inggeris maka kita tidak nampak kekuatan bahasa dan negara lain. Memang Bahasa Inggeris itu sangat berpengaruh dalam bidang perdagangan antarabangsa dan diplomasi, tetapi dalam bidang ilmu tidak boleh kata ia paling unggul.

Dalam perbincangan yang berlangsung itu ada dua tiga orang ahli perniagaan (bank, syarikat korporat, dan badan swasta) berpendapat sesiapa yang tidak petah dan lancar berbahasa Inggeris tidak mungkin berjaya dalam negara.

Memang ada juga kebenarannya kerana bukan sahaja syarikat swasta, agensi kerajaan pun hendakkan pekerja pandai Bahasa Inggeris. Cuma perlu ingat bahawa bukan mesti Bahasa Inggeris itu jawapan bagi segala kejayaan hidup. Di England, New York dan Chicago, Filipina atau India ada ramai juga peminta sedekah dan penganggur yang pandai berbahasa Inggeris.

Selain itu pengertian kejayaan itu bukan mesti dijamin oleh Bahasa Inggeris kerana moral, akhlak, kejujuran dan amanah adalah juga penting bagi keperibadian seseorang rakyat. Ingat skandal kewangan BMF yang terbesar dekad 80-an dahulu dilakukan oleh dua tiga orang profesional Melayu yang sangat pintar berbahasa Inggeris.

Jadi janganlah menilai martabat dan kejayaan seseorang itu dipandang daripada kelulusan, kekayaan dan bahasanya. Berapa banyak kereta dia ada mungkin bukan daripada titik peluh yang halal.

Tentang ada yang merungut kenapa hebohkan sangat PPSMI ini kerana melibatkan dua subjek sahaja. Lagi sekali ramai yang keliru. Ada Menteri pun pernah keliru . Apabila tiba pada tahap sekolah menengah semua subjek yang berasaskan Sains dan Matematik ( Fizik, Kimia, Biologi, Matematik, Matematik Tambahan, Kejuruteraan Awam, Elektrik, Teknologi etc.etc) kira-kira 70% semuanya akan diajar dalam Bahasa Inggeris.

Jadi siapa peduli pada Bahasa Melayu lagi. Sekarang pun ibu bapa sudah menghantar anak-anaknya ke kintergarden Inggeris. Tidak boleh salahkan ibu bapa kerana mana ibu bapa mahu anaknya ketinggalan di sekolah nanti kalau begini keadaannya.

Tegasnya memang berlaku kekeliruan besar dalam fikiran dan kebudayaan bangsa kita terhadap soal bahasa, ilmu, kejayaan dan masa depan kebangsaan dan jati diri negara ini.

Saya berpendapat untuk orang Melayu Islam mempertahankan jati diri dan agamanya, mulailah mendidik anak masing-masing menguasai tiga bahasa: pertama Melayu, Inggeris dan Arab.

Dua bahasa lagi yang semakin penting di dunia ialah Mandarin dan Sepanyol yang dijangka akan menggeser Bahasa Inggeris ke tempat ketiga di bawah. Bahasa Melayu, Arab dan Hindi diduga akan berada pada kelompok keempat di bawah Mandarin, Sepanyol dan Inggeris.

Pemimpin negara kita dari sekarang misti memikirkan orientasi kebudayaan di masa depan dalam soal menguasai bahasa dan ilmu. Perlu diwujudkan ekologi kebahasaan di mana penguasaan dan profisensi Bahasa Melayu itu penting, dan dua bahasa lain lagi bagi setiap pelajar.

Nota: Artikel ini disalin dengan izin dari blog DesaKota

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(2) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Makin Kerajaan Kempen Bahasa Inggeris, Makin Mendatar Jualan Buku Inggeris Previous entry: Khutbah Jumaat PTS: Surah Yusuf dan Bahasa Budak
Normalis  on  08/29  at  11:23 PM

Dalam banyak-banyak kewajaran yang pernah saya dengar tentang pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu ini, satu kewajaran yang paling terkesan di hati dan sanubari saya ialah, kewajaran yang diberikan oleh Prof. Dr Teo Kok Siong dalam satu forum di UKM;

“Kita memilih untuk menggunakan bahasa Melayu kerana ini adalah tanah Melayu, sebagaimana kita pertahankan tanah Melayu, sebegitulah kita pertahankan bahasa Melayu’ itu pendapat saya kerana saya minoriti yang baik.”

Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Prof. Abdullah Hassan sebagai KESOMBONGAN BERBAHASA.
Prof. Diraja Ungku Aziz juga pernah berkata, orang Melayu perlu ada sedikit sikap KIASU. 

Betulkan saya jika saya silap.

rastom  on  08/31  at  09:22 AM

Puan, ini wacana yang segar laksana embun setiap pagi. Saya menyimpulkan begini. BI dinamis diluar England, bahasa Sepanyol berkembang kreatif di Amerika Latin, sementara Bahasa Melayu hidup mekar dan kreatif banget di luar Tanah Melayu (di Indonesia)....

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: