DBP dan Dana RM10 Juta untuk Membangunkan Penerbitan
Kerajaan memang ada memberikan RM10 juta kepada DBP dengan tujuan bagi membangunkan industri penerbitan. Namun, banyak orang masih tidak faham perkara sebenar berkenaan dana itu.
Dana RM10 juta itu adalah diberikan kepada DBP bagi dibelanjakan oleh DBP. Terpulanglah kepada DBP bagaimana ia hendak membelanjakan dana sebanyak itu. (Kita mendengar macam-macam cerita bagaimana dana itu sudah dan sedang dibelanjakan oleh DBP.)
Dana RM10 juta itu tidak boleh dipinjam oleh penerbit swasta, seperti PTS, bagi menerbitkan buku-bukunya. Satu ringgit pun kita tidak boleh meminjamnya!
Dana DBP itu tidak seperti dana RM50 juta setahun yang diberikan kepada industri filem, di mana penerbit-penerbit filem boleh meminjam dana itu bagi menerbitkan filem-filem mereka. Dana DBP itu diberikan kepada DBP, bukan diberikan kepada industri penerbitan buku. Ini yang banyak orang tidak faham duduk perkara yang sebenar.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi, memberitahu wartawan bahawa sehingga hari ini baru RM3 juta dibelanjakan oleh DBP. Macam-macam yang beliau berikan alasannya. Baca di sini.
Apa yang sebenarnya berlaku adalah begini:
Pada masa ini cara bagaimana dana itu digunakan oleh DBP tidak mungkin dapat menggalakkan industri penerbitan berkembang. Sebabnya, DBP tidak faham faktor-faktor dan proses-proses bagaimana industri perbukuan itu sendiri berkembang.
Industri buku berkembang hanya apabila setiap hari semakin banyak buku-buku terjual dalam kedai-kedai buku. Jualan buku mendorong peningkatan jumlah peluang pekerjaan editorial, yang mendorong pembesaran syarikat-syarikat penerbit, yang mendorong lebih banyak buku diterbitkan, yang mendorong pembesaran kilang-kilang percetakan, yang mendorong pembesaran syarikat pengedaran, yang mendorong pembesaran syarikat peruncitan buku, yang mendorong peningkatan permintaan kertas, dakwat dan mesin-mesin cetak.
Cara DBP membelanjakan dana RM10 juta memang sia-sia. Bak kata orang bisnes, duit yang dibelanjakan oleh DBP itu akan masuk longkang sahaja.
Pertama, buku-buku yang dirancang oleh DBP itu bukan buku-buku yang laku dijual dalam kedai-kedai buku. Jadi, kedai buku tidak akan mahu mempamerkan buku-buku itu. DBP tidak faham bahawa kedai-kedai buku bukan setor bagi penerbit menyimpan buku-buku mereka yang tidak laku.
Kedua, penerbit-penerbit yang diberi projek oleh DBP itu tidak mempunyai keupayaan mengedarkan buku kepada rangkaian kedai-kedai buku utama, jadi buku-buku itu tidak akan masuk kedai MPH, Popular, Kinokuniya, Borders dan dan lain-lain. Buku-buku itu akan berlonggok dalam setor sahaja - (setor siapa, itu kita tidak tahu, sebab majoriti penerbit yang diberi projek itu tidak mempunyai setor).
Ketiga, majoriti penerbit yang diberi projek itu bukan penerbit profesional, kerana mereka tidak mempunyai jabatan editorial dan jabatan jualan.
Keempat, penerbit profesional tidak mahu menyertai projek DBP itu disebabkan projek itu tidak berbaloi dijalankan. Lebih baik mereka menerbitkan buku-buku mereka sendiri yang laku keras di kedai-kedai buku.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam Pn Ainon,
Memang betul kenyataan ini, apabila orang makan gaji pembayar cukai diberi amanah untuk “menggerakkan industri”.... apa kata pihak persatuan penerbit (kalau ada) melobi untuk menjadi ‘penggerak’ industri ini sendiri?
Saya cintakan buku, perpustakaan dan kedai-kedai buku MPH, Kino dan Popular menjadi padang permainan saya, tapi tak pernah teringin nak selak buku DBP. Sejak membaca terjemahan DBP buku Lee Iacocca terbitan tahun 1990an dulu ..“break even point” (titik pulang modal)...boleh ketawa atas kredibiliti pengarang/penterjemah DBP.
Cadangan: kerajaan tubuhkan organisasi korporat pegangan amanah (trust) untuk mengerakkan dana dan industri. Seperti PSMB untuk tujuan latihan industri. Ambil levi 5 sen dari buku-buku impot terjual atau sebagainya untuk dimasukkan dalam tabung dana. Semua ini boleh difikirkan oleh penggerak industri itu sendiri.
Sekian,
Wassalam.
Post a comment