Thursday, May 29, 2008

TAMRIN, ‘Dr. Ayam’ dan Kementerian Sumber Manusia

Perbuatan menyamar dengan tujuan mengelirukan orang lain dan mencari keuntungan bagi diri si penyamar adalah perbuatan jenayah dan ia tertakluk di bawah kanun keseksaan.

Benarkah sebagaimana yang didakwa oleh seorang ahli perniagaan bahawa Kementarian Sumber Manusia Malaysia kita (KSM) menyokong sebuah 'badan' yang menganugerahkan sijil Honorary Certificate of Doctorate in Business Adminstration.

Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) patut menyiasat perkara ini kerana kegiatan 'badan' itu boleh menyebabkan risiko ke atas kebajikan orang awam yang membayar harga ataupun yuran bagi membeli produk ataupun perkhidmatan mereka yang menerima 'sijil kehormat' badan tersebut.

Ini kerana ada individu-individu dalam dunia bisnes yang mengaku dia telah dianugerahkan sijil tersebut dan dalam iklan bisnesnya dia meletakkan 'Dr.' di depan namanya.

TAMRIN patut mendapatkan maklumat betul tentang identiti 'badan' yang didakwa telah diberikan sokongan oleh Kementerian Sumber Manusia bagi mengeluarkan sijil-sijil Honorary Certificate of Doctorate in Business Adminstration, dan atas alasan apakah kementerian itu memberikan sokongan kepada badan-pensijilan seperti itu.

Sebagai penerbit kita sentiasa terdedah kepada risiko pelbagai perbuatan penulis-penulis yang etikanya tidak elok. Sekadar menyebut contoh, ada seorang penulis yang menghantar 10 manuskrip yang di dalamnya terdapat cedokan bulat-bulat daripada buku-buku pengarang Indonesia.

Justeru PTS khuatir jika ada pula penerima-penerima  'sijil-kedoktoran-falsafah' yang dianugerahkan oleh 'badan' itu menulis buku untuk terbitan PTS dengan meletakkan gelar 'Dr.' di depan namanya. Perkara begini sudah berlaku kepada 4 buah rakan penerbit kita.

Dari satu sudut, menerbitkan buku-buku tulisan penyamar-penyamar itu boleh membawa keuntungan, sebab ada bukti yang menunjukkan buku-buku hasil karangan mereka laku keras. Buku seorang jurumasak yang menyamar pemegang PhD boleh terjual sehingga lebih 20 ribu naskhah.

Namun, pada jangka masa panjang, kredibiliti penerbit akan jatuh di mata orang awam yang berilmu, menyebabkan golongan profesional dan berkelulusan tinggi tidak mahu menghantar karya mereka kepada penerbit buku-buku Dr. Ayam itu.

Sebagai penerbit buku-buku syariah-compliant, apatah lagi sebagai penerbit yang menjalankan urusan bisnesnya dengan cara-cara yang syariah-compliant, isu Dr. Ayam ini sangat relevan kepada PTS.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(6) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Khutbah Jumaat PTS: Tokoh Islam Sebagai Sumber Inspirasi Bukan Islam Previous entry: TAMRIN dan "Dr. Ayam"
Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad  on  05/29  at  09:59 AM

Assalamualaikum Puan Sifu dan Warga Penulis PTS,

Saya selaku Presiden TAMRIN memang mengambil berat isu ini malah kami akan menghantar surat ke Kementerian Sumber Manusia bagi menghalang perkara sebegini dari berleluasa.  Malah saya menyeru kepada Ahli-ahli Parlimen kita untuk bangkitkan isu ini di Parlimen agar satu Akta diwujudkan bagi membolehkan tindakan diambil ke atas penyamar-penyamar ini.

Sejak isu ini timbul saya lihat ada dikalangan rakan-rakan trainer yang mendapat gelaran Doktor Homeopati yang menggunakan singkatan Dr. (H) atau HDr. agar masyarakat tidak terkeliru dengan mereka yang mendapat MD dan Ph.D.  Ini satu tindakan yang terpuji.

Misalnya,

Dr. (H) Azizan bin Said, atau
HDr. Azizan bin said, pun boleh juga.

Malah kalau seseorang itu menerima Anugerah Doktor Kehormat, biasanya singkatan doktornya dimasukkan dalam kurungan sebegini (Dr.).  Misalnya,

Dato’ (Dr.) Sulaiman bin Alias, atau
Dato’ Dr. (Kehormat) Sulaiman bin Alias, pun boleh juga.

Malah mereka yang memiliki MD dan Ph.D pun mesti dibezakan.  Misalnya,

Dr. Sharifah Rodiah binti Mansor, MD.

berbeza daripada

Dr. Tengku Asmadi T. Mohamad, Ph.D.

Sebab itu adakalanya saya letakkan Ph.D dihujung nama bukannya untuk berbangga tetapi bagi membolehkan orang membezakannya.  Tidaklah nanti tiba-tiba ada orang pengsan minta saya pula selamatkannya.

Malah cara PTS menulis nama saya pada buku seperti berikut:

Tengku Asmadi, Ph.D

juga sudah memadai dan membuatkan orang ramai faham.

Apa yang kita harapkan adalah usaha yang berterusan bagi membanteras masalah ini dan TAMRIN akan terus memperjuangkan isu ini bagi menjaga kredibiliti Perunding Latihan dan Motivasi Muslim di negara kita ini.

Sekian.

Web Sutera  on  05/29  at  12:52 PM

Isu ‘Dr Ayam’ bukankah sudah lama diperikan? Mengapa baru sekarang manjadi isu? Sudah lama ‘Dr-Dr Ayam’ berkeliaran di pelusuk negara menjaja produk-produknya.

Baik jadi seperti saya, memang tidak ada Dr atau apa-apa pun, sekadar seorang katerer yang berijazah Sains Komputer, hihihihi..

saiFz  on  05/29  at  05:28 PM

Wau..banyak juga taraf bagi gelaran Dr. ni ya. Memang hairan juga sebelum ni sebab apa seseorang dengan gelaran Dr. masih nak letak Ph.D dibelakang namanya.

Nota: Ada juga hajat di hati nak dapat title Dr. Ph.D tapi buat Master pun sekerat jalan tak habis-habis lagi. Huhu.

Fadzli Yusof  on  06/05  at  06:46 AM

Saya telah memasukkan entri ini ke dalam blog saya: http://www.fadzliyusof.com
Ada seorang pengunjung telah memberikan komen berikut:

=============


Saya tidak setuju dengan panggilan nama “Dr Ayam” yang digunakan oleh Pn Ainon. Puan Ainon yang di gelar sebagai “sifu” sepatutnya tidak menggunakan panggilan nama. ia hanya merosakkan reputasi Pn Ainon sahaja. Bagi saya, ia agak kebudak-budakan. Saya tidak dapat bayangkan orang yang berilmu dan dihormati seperti Dato Dr Fadzilah Kamsah menggunakan panggilan nama seperti “Dr Ayam”.

Harap Pn Ainon tidak menjatuhkan maruah diri.

Isu Dr Palsu telah mendapat perhatian penerbit PTS. Beberapa soalan yang saya ingin ajukan:

Bukan kah yang dituduh menggunakan Dr Palsu, Dr HM Tuah adalah penulis di bawah PTS juga? Dulu, saya lihat PTS begitu sayangkan Dr Tuah dan mengangkat-angkatnya. Amat tidak patut, kini, Dr Tuah menghadapi dilema, PTS pula memburuk-burukkannya dengan panggilan Dr Ayam.

Ianya seperti, bila orang tengah naik, kita sokong 100%. Bila orang jatuh, kita keji 100%. Amat hipokrit tindakan itu. Bagaimana pula dengan penulis-penulis PTS yang lain? sudah pasti sekarang diangkat-angkat ke langit, tatpi, sekiranya seseorang berhadapan dengan masalah, habis dikejinya.

Saya juga perasan PTS menggunakan “Universiti PTS” sebagai nama blog. Sekiranya PTS mempersoalkan penggunaan Dr Palsu kerana mengelirukan orang, PTS perlu cermin kelakuan sendiri. Menggunakan perkatan “Universiti” sebagai nama laman web juga tidak dibenarkan dan memerlukan kebenaran tertentu. Adakah PTS mendapat kebenaran untuk menggunakan perkataan “Universiti”? Mengikut panggilan Pn Ainon pula, sekiranya Dr Palsu adalah Dr Ayam, maka, tidakkah jadinya PTS Universiti Ayam?

Sekiranya PTS menjadi Universiti Ayam, apa pula jadi pemiliknya? Jangan orang kata jadi Ibu Ayam sudah la. Sekarang bagaimana perasaan Pn Ainon apabila orang yang mengata anda? Sudah pasti ia amat menghiris hati bukan?

Jadi, perlu lebih berhati-hati apabila memulakan panggilan nama seperti “Dr Ayam”. Nanti terkena batang hidung sendiri pula “Ibu Ayam”

Sememangnya keadaan Dr Palsu ini perlu dibendung dan di ambil perhatian. Tetapi, melalui posting PTS ia hanya menunjukkan sifat yang tidak matang Pn Ainon. Harap dapat ambil kritikan ini sebagai sesuatu yang membina.

Saya tidak langsung membantah isu Dr Palsu perlu diketengahkan. Tetapi, caranya biarlah dengan cara yang lebih berilmu dan islamik dan tidak kearah panggilan nama.

........................

NOTA SIFU: PTS tidak pernah menerbitkan karya mana-mana individu yang menyamar sebagai pemilik PhD, mahupun yang menggunakan gelar “Dr.” palsu pada namanya.

Dr Ayam Belanda  on  06/06  at  12:20 AM

Saya Dr Ayam Belanda menyokong usaha membanteras Dr Ayam ayam palsu yang bukan sahaja berkeliaran malah melepas di merata rata tempat. Jika boleh di buat baja bahan bahan lepasan mereka saya tidak marah, tetapi bahan bahan lepasan itu langsung tidak menyuburkan tanaman sehingga menyebabkan Malaysia kekurangan beras.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  06/06  at  02:40 AM

Tuan Dr Ayam Belanda,

Dalam keadaan saya marah disebabkan kenaikan harga petrol, saya jadi tergelak-gelak membaca tulisan tuan yang berbunyi…

“Dr Ayam ayam palsu yang bukan sahaja berkeliaran malah melepas di merata rata tempat.”

Makin saya ulang baca kata-kata tuan itu, makin saya tergelak-gelak lagi.

Saya fikir saya faham makna thamsil ciptaan tuan itu!

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.