Edisi Jimat: Ada Kedai Suka, Ada Tidak
![]()
![]()
Bagi buku-buku yang laku keras, seperti buku Travelog Haji dan Seni Bercakap-cakap dan Berbual-bual, selepas 2 tahun dalam pasaran PTS akan menerbitkan edisi jimatnya.
Buku edisi jimat bersaiz lebih kecil, manakala royalti yang diterima oleh penulis juga lebih rendah, semata-mata supaya buku-buku edisi jimat dapat dijual dengan harga lebih murah.
Kedua-dua edisi, yakni edisi kulit lembut dan edisi jimat, diterbitkan bersama-sama kerana masing-masing edisi ditargetkan kepada pembeli yang berbeza.
Analisis data jualan kita menunjukkan kedai-kedai buku kecil lebih suka menjual edisi jimat, manakala kedai-kedai buku besar lebih suka menjual edisi kulit lembut.
Menurut seorang pengurus cawangan kedai buku besar yang menjual kedua-dua edisi itu, mereka yang datang ke kedainya adalah golongan berwang, oleh sebab itu harga buku bukan faktor utama yang menentukan sama ada mereka membeli sesuatu buku ataupun tidak.
Malah menurut beliau, ada pengunjung kedainya yang curiga dan menyangka isi buku edisi jimat dikurangi sebab saiz buku itu lebih kecil.
Kedai-kedai buku besar lebih suka menjual edisi kulit keras dan kulit lembut yang harganya lebih mahal, justeru margin keuntungannya lebih. Faktor margin adalah sangat penting kepada kedai buku besar disebabkan kos operasi mereka amat besar.
Kedai buku besar menyewa kedai dalam kompleks membeli-belah, oleh itu sewanya tinggi. Kakitangan mereka juga lebih banyak dan gaji yang mereka bayar juga lebih tinggi. Ini berbeza dengan kedai-kedai buku kecil yang kos operasinya lebih rendah.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment