Monday, May 18, 2009

Emel Pilihan: Keliru Banyak PTS

Assalamualaikum Pn. Ainon,

Semoga Puan sentiasa berada dalam lindungan Allah sentiasa.

Puan, saya adalah seorang yang sangat suka membaca. Ketika berada di bangku sekolah, saya sangat mencintai novel dan koleksi novel milik saya sudah membolehkan saya membuka sebuah perpustakaan mini di rumah.

Namun, benarlah kata-kata guru saya, anjakan usia akan mengubah selera membaca seseorang. Dari novel, saya mula meminati buku-buku ilmiah. Walau bagaimanapun, minat saya terhadap novel tidak terkubur, cuma minat tersebut telah beralih arah dari novel terbitan penerbit lain kepada novel terbitan PTS. Alasan saya mudah, saya lebih berpuas hati dengan kualiti (gaya penulisan dan tema) novel terbitan PTS.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya cenderung memiliki buku-buku terbitan PTS berbanding beberapa penerbit lain. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit kemusykilan apabila saya mula mengemas kini perpustakaan mini milik saya (saya suka mengasingkan buku-buku mengikut penerbit). Ketika menyusun buku-buku terbitan PTS, saya dapati ada beberapa perbezaan label (atau logo?) pada setiap buku PTS sedangkan sekali pandang, buku itu seolah-olah berada dalam kategori yang sama dan menggunakan logo yang serupa.

Contohnya, buku berjudul 'Tariq: Menang ataupun Syahid' memiliki label PTS Fortuna. Buku berjudul 'Salahuddin Ayubi: Penakluk Jerusalem' pula memiliki label PTS Millennia. Puas saya teliti kedua-dua buku tersebut. Kedua-duanya adalah novel sejarah Islam yang ditulis oleh penulis yang sama. Justeru, saya ingin tahu mengapa keduanya dilabel dengan label yang berbeza? Apakah maksud PTS Millennia dan PTS Fortuna? Saya memiliki buku 'Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain' yang dilabel sebagai PTS Millennia. Saya juga telah memiliki buku berjudul 'Yakjuj & Makjuj' yang dilabel pula sebagai PTS Islamika.

Saya agak keliru dengan label Fortuna, Islamika dan Millennia ini. Pasti ada perbezaannya, bukan?

Mohon maaf jika pertanyaan saya sudah memberatkan tugasan Puan. Saya sekadar ingin tahu dan tidak pula mendesak jawapannya daripada Puan. Mungkin pada satu ketika yang Puan berkelapangan, Puan boleh menulis berkaitan perbezaan ini di blog Puan. Pasti ramai pembaca buku terbitan PTS juga ingin tahu. Apapun, saya mendoakan semoga usaha Puan dan PTS menempa tradisi kegemilangan ilmu dipermudahkan Allah. Sekian, wassalam.

Marniyati Mohd. Nor
Puchong, Selangor
18 Mei 2009

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: 1 Sekolah untuk Semua: Malaysia Mahu Melaksanakan Model Benua India Previous entry: Emel Pilihan: Sastera Cina

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.