Sunday, June 17, 2007

Entri Ini akan Disaman! (Apa Sebab Penerbit Menyorok-nyorokkan Identiti Pemiliknya)

Sifu menerima mesej SMS yang menggertak entri ini akan dihantar kepada peguam bagi tindakan selanjutnya. Ini tentulah pelik. Entri ini tidak menyebut nama mana-mana penerbit.

Bagi beberapa penerbit yang nama mereka sekarang sedang hangat disebut-sebut oleh penulis-penulis yang tidak puas hati, langkah menghantar surat peguam kepada blogger bukan penyelesaian.

Penyelesaiannya adalah, bayarlah sahaja royalti penulis-penulis itu. Kalau tidak mampu membayar semua, bayar secara beransur-ansur.

Kos membuka fail peguam libel yang baik di KL ini adalah minima RM20 ribu. Gunakan duit itu untuk membayar royalti penulis.

Kalau kalah di mahkamah, pihak yang disaman malu boleh menuntut gantirugi. Sudahlah RM20 ribu hangus, kena bayar kos mahkamah pula, kena tuntut gantirugi lagi...

Kalau tidak sanggup nama kita menjadi perbualan komuniti penulis, jangan buka bisnes penerbitan buku.

Di bawah adalah entri:

Peringatan kepada penulis-penulis baru: Sebelum saudara menyerahkan manuskrip saudara kepada mana-mana penerbit, siasat dahulu siapa pemilik syarikat itu.

Ada sebuah penerbit novel cinta yang baru muncul dalam pasaran, tetapi nampaknya ia berjaya cepat naik. Penerbit ini menyorokkan identiti pemiliknya. Siapakah sebenarnya pemilik syarikat itu, sesama orang industri buku pun bertanya-tanya sesama sendiri.

Apabila kita tanya seorang yang mengaku hanya bertugas sebagai editor sahaja dalam syarikat itu, si editor mengelak-ngelak tidak mahu memberitahu siapa bosnya. Adakah si editor itu salah seorang pemilik syarikat itu?

Perbuatan menyorok-nyorok begini akan hanya menimbulkan banyak gosip dan fitnah.

Motif utama orang bisnes menyorok-nyorokkan identitinya adalah supaya dia senang lepas tangan apabila ada perkara buruk berlaku. Kedua, dia tidak mahu diganggu oleh penagih hutang dan penulis yang royaltinya tidak dibayar.

Jadi, hati-hatilah, wahai penulis baru...

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Royalti
(10) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Tepuk Dahi Previous entry: Tanda Bacaan
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  06/13  at  04:56 PM

Kenapa jadi begitu erkk..? agaknya orang kita ni nak cepat kaya koot. Sebab tu lah mereka suka masuk skim cepat kaya, masuk politik berusaha mencepat kayakan kroninya, buat bisnes menipu dan berusaha mencantas bisness orang lain, jadi pegawai kanan masuk jalan belakang ...

Bagaimana nak atasi masalah ini yee…??

AMARAN! Sekali lagi saudara menulis menggunakan Bahasa Melayu Rendah, saya akan padam nota saudara! Ini bukan laman bagi pengunjung yang memperlekehkan perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu Tinggi.
——-

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  06/14  at  01:23 PM

Maaf pn.sifu, saya tak berapa faham dengan konsep Bahasa Melayu rendah dan Tinggi. Pertama kali saya jumpa istilah itu dalam blog ini.

pn.sifu (SALAH) = Pn. Sifu (BETUL)
tak (SALAH) = tidak (BETUL)

Tengku Asmadi  on  06/17  at  10:01 AM

Assalamua’alaikum Pn. Sifu,

Pepatah ada mengatakan siapa yang makan lada dialah yang akan terasa pedasnya.  Maknanya, entri Pn. Sifu telah dibaca oleh mereka yang makan lada lalu menjerit kepedasan. 

Walaupun Pn. Sifu tidak menulis secara terang, hinggakan saya sendiri tertanya-tanya siapakah gerangan orang yang dimaksudkan, namun ia menjadi begitu jelas kepada yang terlibat. 

Jadi kepada yang telah ditempelak itu silalah buat pembetulan agar setiap usaha mendapat keredaan dan keberkatan Illahi.

rastom  on  06/17  at  10:38 AM

Gara gara ego tercalar, nah! saya percikkan sedikit garam. Penerbit ini wajib masuk kursus “Cara Saman Yang Berkesan”. Nanti saya bahaskan bab Fair Comment... hehehe

gara gara (SALAH) = gara-gara (BETUL)

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  06/17  at  11:08 AM

Makan cili!

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  06/17  at  09:58 PM

Puan,

Khabar dari seorang kawan, bukan sahaja penulis baru tetapi penulis lama yang ada nama dan berkawan baik dengan penerbit pun ditipu. Alahaiii…

Aini Murni  on  06/17  at  10:13 PM

Assalamualaikum Puan Sifu

Semoga Puan Sifu dikurniakan tuhan kekuatan dan pertolongan dari sisi-Nya.

Ini kali kedua saya membaca entri tentang ‘saman’. Kali kedua ini saya kurang terkejut.

Berdasarkan kepada fakta yang diberikan Puan Sifu, saya cuba menghuraikan satu persatu tentang hal ini untuk kefahaman warga pengunjung blog ini. Saya minta maaf dan minta izin terlebih dahulu kepada Puan Sifu kerana terpaksa menggunakan beberapa istilah Bahasa Inggeris. Ada beberapa perkataan yang tidak dapat saya ‘melayu’kan.

Puan Sifu yang budiman,

Berdasarkan fakta kes, saya berpendapat bahawa pihak pengirim SMS (selepas ini saya taip sebagai plaintif) cuba membawa tindakan saman malu di bawah undang-undang kesalahan sivil (Law of Torts)

Terdapat tiga elemen penting bagi membuktikan saman malu (defamation). Tiga elemen ini wajib dibuktikan.

(1) Penyataan yang digunakan itu memalukan plaintif. Contohnya : Ahmad seorang pensyarah yang pemalas. Perkataan pemalas itu memalukan kerana ia menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Ahmad.

(2) Penyataan yang digunakan itu merujuk kepada plaintif secara jelas. Ahmad, pensyarah fakulti sains yang pemalas. Ramai pensyarah nama Ahmad. Tapi Ahmad dari falkulti sains itu hanya ada seorang sahaja. Maka, pernyataan malas itu memang merujuk kepada Ahmad, pensyarah fakulti sains. Dengan menyebut Ahmad, fakulti sains, semua orang akan mengenali indentiti Ahmad secara spesifik.

(3) Penyataan itu mesti sampai kepada orang lain selain plaintif dan defendan.

Dalam masa yang sama terdapat beberapa ‘defences’ sekiranya plaintif mampu membuktikan tiga elemen di atas.

Sekiranya defendan dapat membuktikan ‘defences ini, maka pihak defendan terlepas dari pertuduhan ‘defamation’ dan boleh menyaman pihak plaintif pula.

‘Defences’ itu ialah:

(1) Penyataan itu benar-benar dilakukan oleh pihak plaintif.  Sebagai contoh, plaintif dapat membuktikan Ahmad seorang pensyarah yang pemalas dengan mengemukan bukti. Ahmad lambat menyemak kertas peperiksaan, lambat datang ke kelas, selalu menidakkan kelas tutor dan sebagainya.

(2) Penyataan itu ialah komen yang munasabah (Fair Comment). Sebagai contoh.
- Ahmad seorang pensyarah yang pemalas (SALAH)
- Ahmad selalu meninggalkan kelas tutornya tanpa sebab yang munasabah. Dia - memang pensyarah yang pemalas. (BETUL. KOMEN YANG MUNASABAH)
- Ahmad seorang pensyarah yang selalu meninggalkan kelas tutor. Dia pensyarah yang bodoh (SALAH. KOMEN TIDAK RELEVAN)

(3) Penyataan itu dibuat dalam parlimen (Absolute privilege) atau ketika menjadi saksi di mahkamah atau membuat laporan yang munasabah kepada pihak yang munasabah.


Puan Sifu yang dihormati,

Berdasarkan fakta kes yang saya perhatikan saya dapati bahawa:

(1) Puan tidak menyebut atau mengumumkan mana-mana nama penerbit secara jelas. Saya sendiri tidak pasti penerbit mana. Hanya penulis yang pernah terkena sahaja yang tahu.

(Entri Puan Sifu: Ada sebuah penerbit novel cinta yang baru muncul dalam pasaran, tetapi nampaknya ia berjaya cepat naik. Penerbit ini menyorokkan identiti pemiliknya. Siapakah sebenarnya pemilik syarikat itu, sesama orang industri buku pun bertanya-tanya sesama sendiri.)

(2) Puan membuat komen yang munasabah dan menasihati penulis baru supaya berhati-hati dengan penerbit yang dipilihnya.

(Entri Puan Sifu: Perbuatan menyorok-nyorok begini akan hanya menimbulkan banyak gosip dan fitnah. Motif utama orang bisnes menyorok-nyorokkan identitinya adalah supaya dia senang lepas tangan apabila ada perkara buruk berlaku. Kedua, dia tidak mahu diganggu oleh penagih hutang dan penulis yang royaltinya tidak dibayar. Jadi, hati-hatilah, wahai penulis baru…)

(3) Sekiranya entri ini benar dan dapat dibuktikan, pihak defendan (penulis entri tersebut) selamat daripada saman malu.

Mahkamah membenarkan sesuatu penyataan yang memalukan tetapi benar, diumumkan bagi tujuan menjaga kepentingan awam ‘public interest’. Penyataan seperti itu meletakkan plaintif di tempat reputasi yang betul di depan mata orang yang memandang plaintif.

Sekiranya defendan mengatakan bahawa plaintif (Ahmad) seorang pensyarah pemalas dan memang terbukti dia seorang yang pemalas. Maka defendan (Si pengata itu) sebenarnya telah meletakkan reputasi Ahmad di tempat yang betul iaitu reputasi sebagai seorang pensyarah yang pemalas.

Saya menyokong idea Puan Sifu. Lebih baik membayar royalti tertunggak penulis-penulis yang diabaikan itu daripada membayar yuran guaman.

Pada pendapat saya, kerana penerbit, penulis dapat menghasilkan buku dan kerana penulis, penerbit dapat buat duit, terbit lagi banyak buku. Lebih baik duit yang ada diberikan sebagai royalti kepada penulis kerana jasa penulis itu daripada diberikan kepada peguam yang tidak ada kena mengena dengan dunia penerbitannya itu.

Puan Sifu yang budiman,

Ini sahaja padangan luhur dari saya. Seperti biasa, disclaimer saya: Pendapat ini hanya ‘opinion’ dan bukannya ‘legal opinion’ dari saya.

Saya doakan semoga bisnes Puan Sifu dan seluruh warga PTS berserta semua penulis-penulisnya, semuanya berjalan lancar.  Semoga proses ‘memandaikan bangsa’ berjalan cepat dan pantas tanpa sebarang halangan.

Amin…..

Tengku Asmadi  on  06/18  at  10:28 AM

Wow.. Saudari Aini Murni!  Gaya penulisan bagaikan seorang peguam.  Betulkah tanggapan saya ini?

Ya, beliau orang undang-undang.

Faizul  on  06/18  at  10:33 AM

Anehnya, nama penerbit tidak disebut, kenapa mereka hendak melenting? Ini mesti kes terasalah ni. Siapa makan cili, dia yang terasa kesedapannya

Gunakan noktah pada akhir ayat!

Fadzli Yusof  on  06/19  at  07:55 AM

Saudari Aini,
Adakah mungkin ia boleh dianggap sebagai satu innuendo dalam undang-undang tort? Bagaimanakah aplikasinya di negara kita?

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: