Wednesday, December 27, 2006

Etika Bagi Penulis dan Pakar Motivasi

Pasaran buku-buku motivasi adalah sepanjang tahun dan sepanjang masa. Oleh itu menulis buku-buku motivasi adalah pelaburan yang baik.

Salah satu etika penulis buku motivasi adalah berkata yang benar sahaja. Oleh itu seseorang pakar motivasi yang sah tidak memberi gambaran palsu tentang kemujaraban tip-tip dan petua-petua motivasi yang dikemukakan, baik dalam buku mahupun dalam ceramahnya.

Di negara kita hari sekarang, bidang motivasi adalah bidang bisnes yang banyak 'cowboy' masuk ke dalam 'cowboy town' ini, disebabkan tidak ada undang-undang yang boleh menyekat sesiapa daripada menggelarkan dirinya pakar motivasi.

Dalam keadaan sekarang, barang siapa yang tidak gerun bercakap di depan kamera, memegang mikrofon di depan hadirin, maka dia boleh menjadi 'pakar motivasi'.

Apabila memberi petua-petua tentang bagaimana cara yang betul mendidik supaya anak-anak menjadi solih, katakan juga, petua itu tidak semestinya mujarab. Petua itu mungkin efektif dan mungkin juga tidak efektif.

Tidak ada nas yang mengatakan ada cara mendidik anak yang dijamin dapat menghasilkan anak-anak yang solih. Sedangkan nabi-nabi pun ada yang mempunyai anak-anak yang tidak solih, seperti Nabi Adam, Nabi Yaakub, dan Nabi Nuh, padahal sebagai nabi tentulah mereka maksum, tidak melakukan kesilapan dalam mendidik anak-anak dan isteri mereka.

Apabila memberi petua-petua tentang mendidik isteri supaya menjadi isteri yang solih, katakan petua itu tidak dijamin efektif, sedangkan nabi-nabi pun ada yang gagal mendidik isteri mereka supaya menjadi isteri yang solih, seperti Nabi Nuh dan Nabi Luth.

Apabila bercakap tentang masalah moral, katakan ibu bapa tidak semestinya bersalah, sebab sedangkan anak-anak nabi-nabi dan sahabat baik Nabi Muhammad, seperti anak lelaki Umar bin Khattab, pun ada yang melakukan dosa besar.

Apabila memberi nasihat kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang bermasalah, katakan, itu mungkin bukan salah si ibu bapa, seperti dalam kes nabi-nabi dan sahabat baik Rasulullah SAW.

Sebaliknya, anak-anak dan isteri-isteri kita adalah sebahagian daripada ujian Allah, maka bersabar dan ridha atas ujian itu sebagaimana sampai akhir Nabi Nuh tidak dapat menyelamatkan anak dan isterinya.

Inilah etika menjadi pakar motivasi. Berikan tip itu, pada waktu yang sama beritahu bahawa tip itu mungkin efektif, mungkin tidak.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Motivasi Penulis
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Menanti Munculnya Novel-novel Cinta Versi 2.0 Previous entry: Buku Motivasi yang Memberi Harapan Palsu

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.