Thursday, November 23, 2006

Falsafah dalam Karya: Apa Pengarang Dapat Belajar daripada Surah Yusuf dan Strip Komik Amerika

Ada pengarang Malaysia berasa tersinggung lalu marah-marah apabila seorang penulis Indonesia mengatakan karya Malaysia tidak mengandung falsafah.

Isu apakah komen penulis Indonesia itu benar bagi SEMUA karya penulis Malaysia, ataupun ia benar bagi mana-mana karya yang pernah dibaca oleh penulis Indonesia itu sahaja, isu itu bukan persoalan penting.

Yang penting adalah menerima kenyataan bahawa karya sastera mesti mencipta kesan ke atas daya fikir pembacanya bahawa karya itu mengandung falsafah dan dia memahami mesej falsafah si pengarang.

Kesan falsafah itu mesti terang dan jelas, sambil membaca, pembaca sudah nampak apa falsafah yang terkandung dalam karya itu.

Bukan mesej falsafah yang perlu dicari-cari, digali-gali, diteka-teka apa barangkali falsafah yang cuba disampaikan oleh si pengarang. Bukan kesan samar-samar, ataupun yang cuma diada-adakan oleh pengkritik karya itu.

Bukan juga falsafah yang memerlukan IQ tinggi disertai oleh penguasaan ilmu-ilmu bantu yang tinggi-tinggi bagi mengesan dan memahami mesej falsafah itu, bukan yang perlu difikir-fikirkan dengan mendalam, perlu direnungkan, dimenungkan.

Bukan, bukan falsafah yang seperti itu. Jika begini persepsi kita, karya seperti itu tidak banyak gunanya bagi tujuan memandaikan pembaca, sedangkan adalah fungsi asas sastera memberi pencerahan, yakni membantu pembaca menjadi lebih bijaksana selesai membacanya.

Bukan juga mesej falsafah yang hanya dapat dimasukkan oleh pengarang selepas banyak membaca buku-buku falsafah Barat mahupun kitab-kitab tulisan ulamak-ulamak agung. Jika begini persepsi kita, maka tidak banyak penulis yang berani memasukkan unsur falsafah ke dalam karyanya.

Memang ada karya sastera yang bertaraf karya falsafah, yang ditulis oleh pengarang yang menguasai ilmu-ilmu falsafah, dan hanya dapat difahami mesej falsafahnya oleh pembaca yang memiliki banyak ilmu-ilmu bantu yang tinggi dan kompleks. Barangkali kategori inilah yang dimaksudkan oleh si penulis Indonesia itu.

Dari sudut pandang Islam, setiap penulis dituntut memasukkan mesej falsafah ajaran Islam ke dalam karyanya, tanpa kekecualian apakah karya itu cerita kanak-kanak, novel remaja, novel cinta ataupun fiksyen sains, dan tanpa kekecualian apakah individu yang membaca karyanya itu kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.

Justeru Islam tidak membataskan tugas berfalsafah itu kepada sasterawan yang menguasai ilmu-ilmu falsafah Islam, Barat dan Timur sahaja, ataupun kepada mereka yang menulis novel-novel bertaraf 'sastera' sahaja. Tuntutan Islam ini tidak membedakan penulis kepada kategori sasterawan dan bukan sasterawan, suatu pembedaan ciptaan pakar-pakar teori sastera aliran konvensional.

Justeru, dari sudut pandang Islam, penulis-penulis novel remaja, novel popular, novel cinta, novel sejarah, malah novel thriller sekalipun, dituntut memasukkan mesej falsafah dalam karyanya.

Apabila Islam menuntut semua penulis berfalsafah, maka timbul 2 isu:

(1) Isu pertama, apakah jenis-jenis falsafah yang mudah dimasukkan ke dalam karya, sehingga ia membolehkan penulis yang belum membaca buku-buku falsafah pun dapat memasukkan unsur falsafah dalam karyanya.

(2) Isu kedua adalah, apakah ada teknik-teknik yang mudah bagi memasukkan unsur falsafah ke dalam karya, sehingga penulis-penulis yang baru belajar menulis pun sudah dapat mempelajari dan menggunakan teknik-teknik itu.

......................

Pesan bagi mentee-mentee SifuPTS:

Memasukkan kandungan falsafah dalam novel jibunsyi adalah mudah. Ikut teknik yang digunakan dalam surah Yusuf. Teknik itu adalah dengan menggunakan dialog yang mengandung nilai. Maksudnya, mesej falsafah itu disampaikan dalam dialog watak-watak, bukan dalam naratif.

Teknik dialog mengandung nilai falsafah inilah yang digunakan dalam sastera komik Amerika. Inilah yang membolehkan, jangan dikatakan karya sastera, malah strip komik Amerika sekalipun, mengandung unsur falsafah. Justeru, si kucing Garfield itu pun seringkali mengucapkan dialog-dialog yang mengandung mesej falsafah!

(Teknik falsafah dalam dialog inilah yang membolehkan Garfiled diminati oleh semua kategori manusia, di semua pelosok dunia - dan tidak terbatas pada peminat kucing sahaja.)

Berdasarkan surah Yusuf, watak utama mestilah seorang yang mengucapkan dialog yang mengandung falsafah ajaran Islam. Prinsip inilah yang menyebabkan dalam teori sastera Islami (aliran surah Yusuf), watak utama tidak boleh merupakan individu yang tidak baik, yang tidak insaf sampai akhir cerita, sebab jika begitu, kita memberikan kemenangan moral kepada kemungkaran.

Ada dua jenis dialog falsafah dalam surah Yusuf:

(1) Dialog yang dengan jelas mengandungi mesej falsafah Islam.

Sebagai contoh, ayat 90: "Barang siapa yang hatinya sabar, Allah tidak menyia-nyiakan perbuatan baiknya."

(2) Dialog yang tidak secara jelas menyatakan ajaran Islam.

Sebagai contoh ayat 35: Dalam episod sewaktu isteri al-Aziz mengancam Nabi Yusuf, sekiranya dia tetap enggan membalas cintanya, maka dia akan pastikan supaya Nabi Yusuf dimasukkan ke dalam penjara.

Dijawab oleh Nabi Yusuf dengan berkata lebih kurang beginilah maksudnya, "...saya lebih cintakan penjara daripada cinta akan apa yang puan tawarkan kepada saya..."

Sifu sedang menyambung kajian ke atas surah Yusuf....

Jangan lupa! Besok, Sabtu 25 Nov, datang kelas tambahan!

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Sastera Islami
(16) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Perpustakaan Taipei Beli Buku PTS Previous entry: Menulis adalah Menulis Semula
zalisa  on  11/23  at  11:04 PM

wah, tidak sabar saya hendak menunggu sifu masuk semula ke bilik kuliah…
——-

alang kelana  on  11/24  at  12:11 AM

Falsafah dan mesej mesti jelas seperti sebuah dialog dalam sebuah siri polis di tv: “Kita akan perangi jenayah habis-habisan. Penjenayah semua mesti tahu yang ‘jenayah membawa padah’...”

Begitukah, Sifu?

Puan Ainon Mohd.  on  11/24  at  12:37 AM

Sheikh, sabar…. entri belum siap ditulis. (Tetapi contoh sheikh itu betul, cuma falsafah itu sudah klise. Cari yang lain… cubalah falsafah cinta pula! hehehe… lagi-lagi cinta!)

ez  on  11/24  at  03:14 AM

Tidak dinafikan dialog yang mengandungi nilai falsafah dengan teknik aliran Surah Yusof menambahindahkan sesebuah penceritaan dan langsung tidak ada istilah bosan untuk menghabiskan pembacaan novel tersebut malah ada yang membacanya berulang kali.

Puan Ainon Mohd.  on  11/24  at  03:25 AM

Puan EZ,

Jibunsyi Mohd. Rosul mengandung banyak dialog falsafah! Saya percaya Mohd Rosul akan dibayangkan oleh pembaca sebagai pemuda yang tampan lagi budiman, meskipun tidak ada ayat yang menerangkan ciri-ciri fizikalnya ataupun ayat-ayat naratif yang memuji peribadinya.

ez  on  11/24  at  03:32 AM

Sifu memang bijak membakar semangat mentee seperti saya ini yang baru melangkah ke dunia sastera yang amat luas ini. Terima kasih, Sifu.

rastom  on  11/24  at  03:34 AM

Tuan tuan dan puan puan (puan juga merujuk kepada cik-cik yang masih belum nikah),

Saya petik Puan SifuPTS: Justeru Islam tidak membataskan tugas berfalsafah itu kepada sasterawan yang menguasai ilmu-ilmu falsafah Islam, Barat dan Timur sahaja,..

Sudut non-linear ini terlihat disini juga. Falsafah biasanya digeruni orang, bunyi hebat, sedangkan ia satu usaha manusia merumuskan prinsip kebenaran. Pakar falsafah akan menghujah kata kata saya ini hingga kiamat. Tetapi sebagai muslim yang mahu kekal waras - al Quranlah jadi sumber piawai.Namun seperti Garfiled dan sebagainya, saya temui cebisan mutiara dalam aktiviti muzik saya. Muzik?! Pelik bukan? Cuba lihat apa saya tulis di SINI. (Dengan izin Puan SifuPTS)

Puan Ainon Mohd.  on  11/24  at  04:01 AM

Tuan Rastom, saya petik tuklisan tuan:

...“Falsafah biasanya digeruni orang, bunyi hebat, sedangkan ia satu usaha manusia merumuskan prinsip kebenaran….”

Apalah susahnya merumuskan prinsip kebenaran. ‘Tuhan itu satu.’ Itu adalah prinsip kebenaran. Kanak-kanak 7 tahun pun sudah tahu mengucapkan kebenaran itu. Jadi… mengapakah dialog bernilai kebenaran seperti ini tidak dituliskan dalam karya sastera kanak-kanak dan remaja?

Apakah faktor yang menyebabkan kita tidak memasukkan dialog-dialog yang bernilai kebenaran dalam dialog kanak-kanak dan remaja? SELF-CENSORSHIP!

alang kelana  on  11/24  at  04:46 AM

Selama ini di dalam fikiran saya bila sebut falsafah, maka terbayanglah falsafah seperti Teori Metafizik, Teori Existensialisme, Teori Kospirasi dan berbagai teori-teori (yang mana di antara teori-teori ini ada yang benar tetapi banyak juga yang sesat - nak faham pun sampai bikin pusing kepala.. seperti karangan Will Durant di dalam “The Story of Philosophy” itu…) lagi.

Sedangkan falsafah utama yang perlu dipelajari oleh setiap insan sejak waktu cukup umur ialah Falsafah Ketuhanan (Aqidah Islam).

Mungkin minda saya sudah sedikit sebanyak dipengaruhi oleh segala macam ‘input’ pengalaman.. tanpa saya sedari.

Saya tidak tahu adakah orang lain mengalami perkara yang serupa??

alang kelana  on  11/24  at  05:01 AM

1,2,3, testing..testing..guna wordpress (nak tenguk gambar saya nampak atau tidak..)

Puan Ainon Mohd.  on  11/24  at  05:21 AM

Sheikh, ejaan yang betul ‘tengok’ bukan ‘tenguk’.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  11/24  at  05:25 AM

selamat semua,

Benar. Jika cakap tentang falsafah saya pun turut membayangkan seperti saudara alang kelana. Walhal ianya merupakan aktiviti seharian yang kita lakukan. Bolehkah dikatakan falsafah itu adalah rumusan dari tindakan akal yang diterjemahkan melalui tindakan kata-kata ataupun tulisan.

Benar kata Puan Ainon, saya pernah terfikir juga kerana Calvin and Hobbes dibikin penuh nilai-nilai falsafah, Calvin tampil pintar berbanding usianya. Mengulangi kata Puan; Apakah faktor yang menyebabkan kita tidak memasukkan dialog-dialog yang bernilai kebenaran dalam dialog kanak-kanak dan remaja? SELF-CENSORSHIP!

Puan Ainon Mohd.  on  11/24  at  05:46 AM

Sdr ADI,

SELF-CENSORSHIP adalah musuh utama kejayaan. Tidak ada sesiapa yang mengatakan itu tak boleh kita lakukan, ini tak boleh kita lakukan, Quran tak kata begitu, hadith tak kata begitu, tetapi kita sendiri yang mengatakan begitu.

Mana ada larangan, mana ada sesiapa membuat undang-undang yang mengatakan dalam novel pengarang tidak boleh mencipta dialog bagi kanak-kanak 8 yang berkata, “Nabi Isa bukan anak Tuhan. Tuhan tidak ber-anak, dan tidak diper-anak-kan.”?

Habis, mengapa kita tidak menuliskan dialog kanak-kanak yang mengandungi nilai falsafah? SELF-CENSORSHIP!

SELF-CENSORSHIP adalah musuh yang wujud dalam diri kita sendiri, dan kewujudannya adalah hasil ciptaan kita sendiri.  Apabila kita gagal, kita salahkan faktor-faktor lain! Inilah ciri psikologi yang disebutkan dengan istilah ‘external locus’.

Kita cipta kotak, kemudian kita masuk ke dalam kotak itu….

Kita katakan kepada diri sendiri, kanak-kanak belum mampu bercakap tentang falsafah ketuhanan, itu bukan ciri daya pemikiran kanak-kanak.

(Seorang kanak-kanak bertanya kepada ayahnya, “Adakah Tuhan duduk dalam masjid, jika tidak mengapakah orang pergi sembahyang di masjid?” Jika ini bukan pemikiran tentang ketuhanan, apa temanya pertanyaan seperti ini?)

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  11/24  at  06:52 AM

Puan Ainon,

Saya rasa ini adalah kesilapan yang telahpun berakar umbi dalam masyarakat kita iaitu larangan untuk berfikiran kritis. Bukan mudah untuk mengubah persepsi ini dan akibatnya tidak ada cetusan idea-idea baru sebaliknya kita hanya bersandarkan pengetahuan silam sahaja. Bukankah kita sering diingatkan tentang dogma supaya JANGAN bertanya; sekiranya ada yang mengambil cabaran itu maka kita seolah-olah dianggap PENDOSA BESAR pula.

Saya teringat satu kisah tentang seorang pendeta dengan seekor kucing, yang selalu diikatnya pada tiang dalam kuil kerana sering menganggunya bermeditasi. Perlakuannya itu menarik perhatian anak-anak muridnya sehinggalah tuan guru mereka itu mati. Anak-anak murid yang tidak menggunakan fikiran logik terus pula mengikat kucing (selepas seekor mati diganti pula yang lain)  pada tiang yang sama, generasi demi generasi.

Saya juga pernah tumbuh sebagai kanak-kanak dan saya masih ingat pernah menanyakan pada emak lebih kurang begini bunyinya “perempuan itu adalah tercipta dari tulang rusuk lelaki, tetapi diakhir zaman nanti perempuan itu akan lebih banyak jumlahnya dari lelaki. Bukankah sepatutnya jumlah perempuan dan lelaki itu adalah seimbang? (Pada pemikiran budak saya, macamana hendak wujud seorang perempuan sebab perlu ada seorang lelaki untuk diambil tulang rusuknya-:)he… he…)” maaf, kalau saya merepek ke lain pula.

Puan Ainon Mohd.  on  11/24  at  07:07 AM

Sdr Adi,

Aduh, bagusnya contoh logik matematik seorang kanak-kanak yang cuba menggunakannya bagi memahami maklumat keagamaan yang pernah diajarkan kepadanya!

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  11/24  at  07:44 AM

Puan Ainon,

tetapi emak saya tak fikir begitu melainkan mengatakan saya ini ‘keterlaluan’.

agaknya sebab itulah imej kanak2 digunapakai kerana imaginasi mereka yang tak terbatas dan pada usia itu kanak2 tak terbelenggu pemikirannya.

oh kasihan, Hang Nadim. Keupayaan akalnya telah membuat orang dewasa hilang pertimbangan.

apapun langkah puan untuk mengembalikan semangat berfikiran kritis adalah sesuatu yang baik. Semoga Tuhan yang Pengasih dari segala yang pengasih bersama-sama dengan puan.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.