Flanking dan Promosi Senyap-senyap Brand “PTS Islamika”
Ini adalah beberapa contoh produk-produk PTS yang memasuki pasaran menggunakan strategi flanking dengan taktik promosi senyap-senyap.PTS tidak pernah melancarkan ataupun mewarwarkan kemasukannya ke dalam sektor buku agama. Jadi pasaran tidak perasan kehadiran buku-buku agama PTS meskipun sudah 7 tahu PTS mula memasukkan kakinya ke dalam sektor agama.
Dalam sektor buku agama, siapakah yang ditakuti oleh PTS? Apakah, dan di manakah perlunya, maka PTS memasukkan buku-buku agama ke dalam pasaran dengan menggunakan flanking.
Tukul-tukul besi gergasi manakah yang cuba dielakkan oleh buku-buku agama ini, maka ia masuk senyap-senyap, menyusup masuk dari bawah kelangkang gergasi?
Apa, dan di manakah kelainan buku-buku agama PTS, maka dikhuatiri ia akan diketuk sampai mati, dan siapakah yang mahu mengetuknya?Kelainan buku-buku agama PTS adalah pada bahasanya. Cuba lihat judul buku-buku di sebelah ini.
Semua menggunakan perkataan "Tuhan" bukan "Allah" walaupun ketiga-tiganya adalah terjemahan semula kitab klasik Riadhus Solihin karya Imam Nawawi.
Apakah dalam sektor buku-buku agama sekalipun ada gergasi-gergasi yang berdiri di depan pintu dengan memegang tukul di tangan, bersiap sedia mengetuk kepala pendatang baru?
Ada dua gergasi yang ditakuti oleh PTS.
(1) Gergasi Tua
Sektor buku agama adalah sektor paling tua, justeru sektor ini paling besar, lebih besar daripada mana-mana sektor buku lain dalam Bahasa Melayu. Ini kawasan Laut Merah.
Jadi tidak hairan apabila dalam sektor ini sudah ada pemain-pemain besarnya. Sesiapa yang berkaitan dengan sektor ini tahu sangat nama-nama gergasi itu. Pastilah, macam Nescafe, mereka akan menjaga supaya jangan ada pemain baru masuk padang mereka. Mereka pernah berjaya mengetuk penerbit Cina yang cuba mencetak dan memasarkan buku surah Yasin dan Muqadam. Berdarah-darah kepala penerbit Cina itu!(2) Ustaz Tua
Anggota golongan "ustaz tua" mungkin terdiri daripada ustaz yang masih belum tua, hanya pemikiran mereka sahaja tua. Golongan ini yakin buku-buku agama hanya boleh dikarang oleh golongan ustaz-ustaz sahaja.
Mereka juga yakin buku-buku agama mesti menggunakan gaya bahasanya yang berbeza daripada gaya bahasa buku-buku lain. Jika gaya itu ditukar, nanti maknanya juga bertukar dan menjadi salah.
Mereka bukan penerbit, tetapi mereka menduduki kerusi-kerusi birokrasi pentadbiran agama negara ini, oleh itu mereka mempunyai kuasa mengetuk pihak-pihak yang berkaitan dengan urusan rasmi. Mereka berkuasa mengharamkan mana-mana buku yang pada penilaian mereka membahayakan agama rasmi negara ini.Gaya bahasa buku-buku agama PTS menyalahi norma-norma linguistik yang dianggap "betul" oleh golongan ustaz tua yang amat berkuasa itu.
Justeru, jika buku-buku siri "Tuhan" ini diwarwarkan, nanti ustaz-ustaz tua itu akan ternampak dan mungkin akan mengeluarkan fatwa buku-buku PTS patut diharamkan atas alasan kononnya bahasa PTS menghina Allah dan Rasul Allah.
Promosi senyap-senyap adalah jalan jauh, jalan panjang, jalan lama, jalan selamat.
.
.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Pn sifu,
Judul buku agama yang diterbitkan PTS nampak `ceria dan mesra pembaca`` manakala ilustrasinya pula nyata diberi perhatian teliti menjanjikan buku itu boleh menarik minat pembaca.
Sekali terpandang sahaja kelibat buku baru PTS di rak, sudah boleh memikat kita untuk membeleknya.
Kalau tak silap, saya dapati Pn Sifu banyak belajar dan memerhati buku-buku agama yang diterbitkan oleh jiran di seberang.
Syabas dan saya harap serta doakan buku-buku PTS terus berkembang dan senantiasa dinantikan pembaca.
——-
Post a comment