Fokus, Fokus, Fokus
Salah satu syarat kejayaan sebagai penulis adalah menulis buku-buku yang temanya berfokus. Jika penulis mahu mendapat royalti tinggi daripada buku-bukunya, pilih satu tema, dan tulis buku-buku dalam tema itu sahaja.
Apa sekalipun tema yang dipilih, bidang itu ada peminatnya sendiri. Jumlah peminatnya mungkin besar, mungkin kecil. Buku-buku seni pertahanan diri mempunyai peminatnya sendiri. Begitu juga buku-buku sukan ataupun cerita-cerita perang.
Masuklah ke dalam sesuatu bidang itu dan jadilah penulis terkenal dalam bidang itu.
Ambil contoh bagaimana Tuan Samsudin Wahab memfokuskan buku-buku beliau dalam tema pengurusan majlis. Beliau adalah pensyarah di UiTM.
Tuan Ahmad Fadzli Yusof pula menghasilkan buku-buku 'resipi kejayaan'nya. Tuan Ahmad Naim Jaafar menerbitkan buku-buku pembangunan 'karisma'nya. Mereka berdua adalah pemegang ijazah undang-undang.
Dalam waktu yang singkat mereka sudah mempunyai ramai peminat bagi tema yang mereka tekuni.
Jumlah peminat mempunyai kaitan langsung dengan jumlah royalti yang diterima penulis. Lebih ramai peminat, lebih tinggi royalti.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment