Fungsi Novel Islami
Sejarah sastera Melayu moden menyaksikan perpecahan pendapat dalam ASAS 50, di mana satu kem berpendapat sastera mestilah bertanggungjawab terhadap kepentingan masyarakat, manakala satu kem lagi mengatakan sastera adalah untuk sastera.
Polemik apakah sastera harus mengabdi kepada masyarakat ataupun mengabdi kepada sastera itu sendiri, hal ini tidak berlaku dalam teori sastera Islami.
Dalam Quran terkandung banyak cerita. Dalam sejarah hidup Nabi Muhammad, salam sejahtera ke atas beliau, beliau banyak menyampaikan cerita.
Menyampaikan mesej-mesej Islam dengan menggunakan cerita itu ada presedennya dalam Quran dan dalam hadith. Maka hukum menulis cerita itu adalah sunnah Quran dan sunah Nabi Muhammad dan ia adalah ibadah.
Teori sastera Islami aliran surah Yusuf mengenal pasti 3 fungsi sastera, sebagai berikut:
1. Mengajak pembaca berfikir. Ayat 3 bermaksud, “Sesungguhnya kami turunkan Quran ini dalam bahasa Arab (sebab Nabi Muhammad adalah orang Arab – pen.), mudah-mudahan kamu memikirkannya. Ayat 4 bermaksud, “Kami sampaikan kepadamu sebuah kisah yang paling indah, melalui Quran yang kami wahyukan kepadamu, sedangkan sebelumnya kamu adalah antara orang-orang yang tidak mengetahuinya.”
2. Menyampaikan peringatan Tuhan kepada pembaca. Ayat 104 bermaksud, “....sedangkan Quran itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah peringatan kepada semua manusia.” Ayat 109 bermaksud, “....Sesungguhnya, kampung akhirat itu adalah lebih baik bagi sesiapa yang bertaqwa. Tidakkah kamu memikirkannya?” Ayat 110 bermaksud, “....Ingatlah, tiada kaum yang berdosa yang berdaya menolak balasan azab Kami.”
3. Menyampaikan pelajaran. Ayat 111 bermaksud, “Sesungguhnya, dalam kisah nabi-nabi itu terkandung pelajaran bagi orang-orang yang berfikir....”
Justeru teori sastera Islami aliran surah Yusuf menolak karya yang tidak ditulis bagi memenuhi ketiga-tiga fungsi di atas. Kisah Nabi Yusuf memenuhi ketiga-tiga fungsi itu.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment