Sunday, February 05, 2006

Gambaran Pakaian: Teknik Surah Yusuf

Dalam seni aliran realisme, serba-serbi dilukiskan dan diterangkan dengan terperinci. Baca novel 'Salina' karya SN A. Samad Said, ataupun 'Perempuan Politikus Melayu' karya Faisal Tehrani.

Dalam surah Yusuf, ada beberapa unsur yang tidak diberikan maklumatnya secara langsung. Pakaian watak-watak adalah salah satu unsur itu. Kita tidak diberitahu dengan jelas bagaimana rupa pakaian Nabi Yusuf, Zulaikha dan lain-lain watak.

Dalam surah Yusuf, rujukan tentang pakaian muncul 3 kali:

1. Kali pertama dalam episod abang-abang Nabi Yusuf membawa pulang bajunya yang dilumuri darah serigala lalu ditunjukkan kepada ayah mereka sebagai bukti kononnya Nabi Yusuf mati dimakan serigala. Di sini baju Nabi Yusuf berfungsi sebagai alat perbuatan berdusta oleh abang-abang Nabi Yusuf.

2. Kali kedua dalam episod Zulaikha menarik baju Nabi Yusuf sehingga koyak. Babak ini memberi gambaran baju Nabi Yusuf menutupi bahagian atas badannya dan bajunya itu dijahit kukuh, tidak mudah terbuka ataupun terlondeh, tidak dibelitkan keliling badannya seperti pakaian orang-orang Yunani zaman Aristotle. Baju itu diperbuat daripada bahan yang mudah koyak, ertinya bukan daripada bahan kuat seperti kulit binatang. Di sini baju Nabi Yusuf berfungsi sebagai alat membuktikan pendustaan Zulaikha.

3. Rujukan pakaian kali ketiga berlaku pada episod Nabi Yusuf mengirimkan bajunya melalui abang-abangnya supaya diberikan kepada ayahnya, Nabi Yaakub. Walaupun abang-abangnya masih di tengah perjalanan, Nabi Yaakub sudah dapat mencium bau baju Nabi Yusuf. Baju itu kemudian disapukan pada kedua-dua mata Nabi Yaakub yang buta, lalu sembuh. Episod ini memberi gambaran Nabi Yusuf mempunyai lebih daripada sehelai baju, dan bau badan beliau tersangat wangi! Dalam episod ini baju Nabi Yusuf berfungsi sebagai alat pengubatan penyakit.

Ketiga-tiga rujukan pakaian itu dibuat pada baju watak lelaki, iaitu Nabi Yusuf. Tidak ada sama sekali rujukan pada baju watak perempuan, iaitu Zulaikha.

Adakah ini membayangkan bahawa dalam novel Islami pengarang tidak dibenarkan menerangkan pakaian watak-watak perempuan muda, perempuan cantik, perempuan penggoda, dan perempuan kaya, sebagaimana yang dilambangkan oleh watak Zulaikha? Kita berpandangan, ya, tidak dibenarkan.

Mengapakah hanya dalam 3 peristiwa ini sahaja rujukan pakaian berlaku dalam surah Yusuf, justeru ini adalah suatu unsur yang memerlukan analisis. Ahli-ahli teori sastera Islami perlu mengemukakan teori bagi menerangkan unsur ini.


.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Sastera Islami
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Unsur Kebetulan dalam Surah Yusuf Previous entry: Penerbit Kecil Lawan Penerbit Besar: Strategi Surah Yusuf
Romantis Selatan  on  04/04  at  02:09 AM

Salah satu topik yang menimbulkan perbincangan…

Seringkali apabila menulis novel, saya akan bayangkan novel itu dalam bentuk filem…

Apabila ini berlaku, pakaian itu seolah-olah perlu diceritakan… nampaknya sekarang, daripada topik-topik yang telah saya baca di dalam blog ini, ada dua atau tiga perkara utama berkaitan Teori Surah Yusuf yang amat perlu dibincangkan… tetapi dua atau tiga perkara itu sebenarnya berkaitan dengan…

teknik gambaran amnya…
——-

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.