Sunday, August 30, 2009

Gapena Desak Kerajaan Mansuh Segera PPSMI

KUANTAN: Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) hari ini mendesak kerajaan supaya memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan segera iaitu sebelum bermula sesi persekolahan Januari tahun depan.

Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein berkata, pemansuhan PPSMI yang sebelum ini diputuskan pada 2012 seharusnya dibuat serta merta dengan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dan bukan lagi secara dwibahasa.

Katanya, tindakan tersebut adalah wajar dan boleh dilaksanakan memandangkan keputusan pelaksanaan PPSMI enam tahun lepas mampu dibuat serta merta.

"Dulu masa kerajaan mahu tetapkan PPSMI, boleh dibuat sekelip mata tetapi mengapa nak memansuhkannya tidak boleh pula, kenapa mesti tunggu sehingga 2012," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kandungan Deklarasi Inderapura Pahang Darul Makmur yang dikeluarkan sempena Seminar Kenegaraan dan Jati Diri Melayu 2009 di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan pemansuhan segera itu dilihat boleh menyelamatkan pelajar yang mungkin gagal dalam peperiksaan disebabkan kelemahan mereka menguasai Bahasa Inggeris.

Ismail berkata, kandungan lain deklarasi itu ialah Gapena meminta kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi menampung kos psarana pengajaran dan pembelajaran, elaun guru, menambah guru pakar, penterjemahan dan penerbitan bukubuku serta penambahan peralatan multimedia.

"Kita juga mahukan Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di semua fakulti peringkat pengajian tinggi awam dan swasta seperti mana sebelum tahun 2003," kata beliau.

Bagi membina jati diri bangsa, beliau berkata, Gapena mencadangkan mata pelajaran Sastera dan sejarah kebangsaan negara dijadikan mata pelajaran wajib bagi semua peringkat pengajian dan aliran.

Ismail berkata, deklarasi itu juga menuntut kerajaan tidak menghapuskan identiti bangsa, kaum dan agama dalam sebarang borang rasmi kerajaan seperti dicadangkan pihak tertentu sebelum ini.

"Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Jika dihapuskan identiti, maka seluruh perjuangan untuk mengangkat status bumiputera akan terhapus atau tidak diberi penegasan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menyembahkan deklarasi itu kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan juga Raja-raja Melayu yang lain dalam masa terdekat. BERNAMA

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Memiliki Edisi Ebook Tanpa Izin Pemilik Hakciptanya adalah Melanggar Undang-undang dan Berdosa Previous entry: Majalah 'Gedung Kartun' Diramalkan Semakin Laku Keras Kerana Diharamkan

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.