Gosip Industri Buku: Ada Bisnes Naik, Ada Bisnes Turun
Perbualan di kedai makan dengan beberapa rakan dalam dunia bisnes buku 3 hari yang lalu memberitahu Sifu bahawa ada khabar angin mengatakan:
Gosip 1: Sebuah rangkaian kedai buku elit akan membuka seksyen buku-buku Cina.
Ini adalah sebagai respon kepada jualan judul-judul Inggeris yang mendatar sejak beberapa tahun belakangan ini. Manakala jualan buku Inggeris jatuh, jualan buku-buku Cina dan Melayu naik dengan menggebu-gebu!
Gosip 2: Salah sebuah penerbit terbesar buku-buku bersilabus mungkin akan mengurangkan jumlah stafnya.
Bisnes buku bersilabus memang menunjukkan trend mendatar juga semenjak bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa penghantar subjek sains dan matematik. Kita mendapat maklumat ini daripada sumber kedai-kedai buku.
Tiga faktor menjadi punca jatuhnya jualan buku-buku bersilabus bagi kedua-dua subjek itu:
(i) Apabila buku teks diberikan kepada semua murid sekolah, penerbit kehilangan sebahagian bisnesnya. Kedai-kedai buku juga hilang sebahagian bisnesnya.
(ii) Disebabkan murid-murid dipaksa belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, ramai yang tidak faham apa yang ditulis dalam buku teks dan buku-buku ulangkaji. Akibatnya mereka tidak berminat dengan subjek itu, sekaligus mereka tidak berminat membeli buku-buku ulangkajinya.
(iii) Penerbit-penerbit terbesar buku bersilabus kini terpukul teruk oleh persaingan dari buku-buku ulangkaji yang diterbitkan oleh penerbit-penerbit kecil, yang tidak ada nama, tetapi berjaya menerbitkan buku-buku ulangkaji pada harga lebih rendah.
Penerbit-penerbit 'no-name' itu sebenarnya adalah bekas-bekas salesman yang dahulu bekerja dengan penerbit-penerbit besar itu. Mereka meletakkan jawatan lalu menjadi penerbit indie. Dengan pengalaman yang mereka peroleh semasa makan gaji dahulu, mereka berjaya mencuri banyak bisnes bekas majikan mereka.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment